Showing posts with label mrAbi. Show all posts
Showing posts with label mrAbi. Show all posts

Wednesday, 2 July 2025

Memori Bukan Mimpi.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Jika rasa tak mampu nak baca, skip je okey. Aku simpan sini buat ingatan dan kenangan.

Dari kejauhan sudah dengar deruman enjin motor berkuasa besar. Hatiku mula berbunga-bunga, aku suka sangat melihat dia menunggang motor kuasa besar itu. Selesai meletak motosikal, dia masuk sebaik memberi salam seraya menyambut huluran salamku, mengemas barang peribadinya dan meninggalkan aku yang asyik menonton Anime Slam Dunk di Netflix. 

Aku menantinya turun, ikut jadual dia akan bertolak pulang ke Melaka petang ini juga kerana esok, rutin akan bermula seperti biasa. Otakku gagal fokus, jemariku sibuk mengemaskini gambar di galeri untuk di photobook kan. Usai mandi dan bersolat dia turun, tidak bersiap seperti mahu pulang ke Melaka, eh? Dia duduk di sebelahku dan berkata,
"nanti lepas Asar kita keluar pergi makan, kita berdua sahaja." aku melihatnya dengan penuh tanda tanya. Melihat dia berkain pelekat sahaja pun aku sudah gembira, apatah lagi dia mengajak berdating, rasa hendak senyum sampai koyak rahang. 
"kita nak makan di mana?" tanyaku perlu memastikan outfit bersesuaian dengan tempat.
"adalah" jawabnya perlahan bernada sepertinya sangat istimewa.
"pakai baju kurung boleh tak?" aku bertanya sambil mengeluarkan tudung Emboss Turkey bidang 60 yang baru sampai tadi.
"pakailah apapun, pergilah siap" ujarnya semula. Dia fikir aku bersiap lama sangatkah? hehe.

Aku menggosok tudung, tidak jadi berbaju kurung aku mengenakan blouse hitam dan jeans simple sahaja. Dia naik dan bersiap juga, mengenakan kemeja lengan panjang dan jeans senada dengan warna outfitku. Kasut pun sama warna, putih. Argh! I feel the vibes, back to zaman bercinta dulu-dulu. 

Dia memandu kelisa, sesungguhnya I'm in love again and again. Nostalgia susah hendak dilupa bila dengan kelisa pemberian arwah emak ini, kelisa inilah yang dipandu sejak zaman kita bercinta lagi sehingga bernikah dan beranak satu dan sehingga sekarang, wiii!

Aku memang tidak tahu mana arah tujuan, ikut sahaja sambil berborak kosong mencari kedai jam tangan luar shopping mall. Kehendaknya ini membuatkan aku berfikir, belum pernah lagi aku berjumpa kedai jam selain dalam shopping mall, pernah ada jumpa tapi bertahun yang lalu itu pun di tempat kelahiran aku JDT, muahahaaa! 

Sesekali dia menjeling jam dan GoOgle Maps, setelah masuk tol berkali-kali akhirnya kita sampai di sebuah tempat dinamakan Plaza Kelana Jaya, tempatnya seperti agak baru, tidak banyak kereta dan sunyi sahaja. Plaza apa ini? dimanakah shopping mall kesukaan saya? Ada apa disini? persoalan hanya berlegar dalam kepala aku sahaja sambil mengontrol perasaan bunga-bunga biar tidak ketara sangat nampaknya. Kelisa dipakir di salah satu petak berdekatan dengan pintu restoran, restorankah? kenapa macam pintu SPA sahaja? dia menghulur tangan membantu aku keluar daripada kereta dan kita berpimpin masuk ke satu pintu kecil terdapat frame berbentuk hati di sebelahnya, alahaiii shoshuwit!

Masuk sahaja restoran, mataku dijamu dengan pelbagai frame art didinding, kita tak stanby kamera pun dek terlalu leka dan teruja. Di jemput seorang pelayan dibawa kebelakang turun tangga dan waaah! ada tasik dengan air pancut di tengahnya berserta awan kepok-kepoknya. Masyaa-ALLAH cantik ciptaanNYA. Kita duduk di salah satu meja lengkap dengan hiasan lilin dan ros dalam botol dengan gaya astetik. Padanan decoration ala-ala restoran Itali gitu. Tidak jauh dari tempat kita duduk terdapat khemah-khemah kecil dihiasi lampu disekelilingnya. Ini kali kedua aku dibawa ke restoran mewah serba romantik begini. 

Terasa betul candle light dinner macam dalam drama tapiii ini belum drama lagi. Dia orderkan aku minuman dahulu sementara menunggu cuaca redup sedikit, sempat dia mengangkat panggilan dari tempat kerjanya. Aku perhatikan sahaja dirinya yang telah fits badannya berbanding dahulu. Dia memang gemar angkat dumbell dan berbasikal.

Pelayan datang menghantar minuman dan kita masih menunggu cuaca redup sedikit. Kita berbual ringkas dan minta pelayan siapkan menu untuk dinner. Pabila cuaca redup sedikit, pelayan datang lagi minta kita berpindah, dia memimpin aku menuju ke salah satu khemah kecil dihiasi lampu tadi, eh? 
"Happy 17th Anniversary" dia berbisik kepada aku dan aku just speechless, menekan-nekan kedua belah pipi dengan tangan bagi sedar dari mimpi. Pelayan datang membantu bawa minuman dan memotret momen manis yang aku akan kenang sampai bila-bila. Penat tau hendak mengontrol senyum melihat meja berhias jambangan bunga dengan taburan kelopak rose. Oh my! ini betul diluar jangkaan fikiran, sudah over sangat ni!

Lampu sekeliling khemah dipasang, dua ketul penyejuk udara dihala kepada kita berdua sahaja. Makanan sampai pun sudah tidak ku endah, otakku sibuk merakam momen terpaling wow dalam kehidupan aku. Membelek segala benda di atas meja dengan perasaan menggebu terharunya. Pelayan berlalu pergi dan tugas memotret beralih kepada tuan asben, berkeping-keping photoku dipotretnya, nikmat apa lagi yang aku dustakan Ya ALLAH! 

Datang lagi pelayan membawa belon berwarna hijau putih, dan mengalihkan penghadang halang cahaya, terus nampak pemandangan sekeliling yang cantik betul. Boleh mereng aku cenggini. Pelis la tuan asben, what are you doing today? salah mimpi ke? tapi kita masih in karektor okey, berulang-ulang kali aku mengucapkan terima kasih, kita buka cerita tentang pertemuan kita dulu, tentang daktiga, sambil makan. Makan dengan kekasih hati, ditepi tasik dengan berlatarbelakangkan matahari terbenam, maigosh! entah berapa keping tuan asben mengambil photo aku sebaik dia menghabiskan hidangannya. Segan, tapi suka. 
"kenapa yang ke 17?" aku bertanya sambil memandang mukanya.
"apa?" dia tanya semula tidak memahami.
"special anniversary kan biasanya 5thn, 10thn, 15thn kenapa 17thn?" gitulah pemahaman si Syasya ni.
"owh, sweet seventeen" that's all. Jawapannya pun, berlengas. Kita habiskan hidangan utama dengan bersungguh-sungguh. Pelayan datang lagi, bertanya semuanya cukup atau tidak, semua good dia hendak bawakan desert pula. Pelayan bernama Benjamin itu datang dengan sepotong kek dengan tulisan Happy Anniversary kembali dengan karektor juruphoto laju sahaja dia mengambil gambar kita berdua, menyuruh pose mesra dengan pelbagai gaya, aku malu Ya ALLAH! tuan asben je la penyelamatnya. Sukar nak expose keromatikan de amore dikala ini. Depan someone yang kau tidak kenal tapi dia baik, keras jadinya.

Benjamin menyuruh aku membawa balik belon hijau putih sebagai tanda kenangan, rasa macam budak-budak pula jadinya. Aku tebalkan sahaja muka dan berpimpin masuk ke kereta untuk balik ke rumah. Sekian drama sebabak Erwandi-Syahida sempena ulangtahun perkahwinan kali ke tujuh belas. 

Okey dah, silalah korang muntahkan sekalian geli-gelian selesai membaca entri ini. Lama wei nak dapat romantik gini, banyak pengorbanan yang dikorbankan dan terkorban, semoga ikatan ini kekal sampai syurga. Doakan semua yang baik-baik buat kita semua. Terima kasih.




Me: Fiesta Fillet Mignon + Strawberry Ice Blended
Dia: Poached Salmon & Mango + Ice Lemon Tea


Photo yang mendapat love terbanyak di wA.

Wednesday, 5 November 2014

Kenangan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Parah, ini betul-betul parah, betul-betul mencabar minda akal namanya namun pembaca sekalian mesti ternanti-nanti entry pada hari ini bukan? saya menaip dengan senyuman paling manis sekali, hahahaaa. Bekas kekasih eh? Oleh kerana sedang mencabar diri untuk 30 days blogs challenge makanya kita perlu deal dengan tanpa mengelat.

Pitams saya macam ni, hahaha. Ok tidak mengapa, mari kita teruskan sahaja dengan penuh berharap suami tidak membaca entry ini, muahaha. Bekas kekasih? Jujurnya, saya tiada bekas kekasih. Sabar-sabar, mari saya ceritakan. Bagi saya, kekasih itu ialah kawan lelaki istimewa yang saling menjaga, saling memahami, saling memikirkan apa akan jadi pada masa akan datang, saling lengkap-melengkapi, saling nasihat-menasihat, saling-saling-saling dan saling. Kekasihkan? Ok, saya tiada itu. 

Jika mereka yang lebih dahulu mengenali diri saya ialah mereka yang berada pada zaman persekolahan lebih dikenali sebagai cinta monyet. Kenapa cinta monyet tidak pula saya tahu, istilah ini memang popular digunakan kan? Kawan lelaki cinta monyet ni adalah beberapa orang, amboi over kan? hahahaaa, tapi kesemua mereka sudah pun berumah tangga dan punya keluarga sendiri. Begitu juga, pada kawan lelaki istimewa masa saya sambung belajar sebelum saya berjumpa dengan suami, dia juga sudah mempunyai dua orang cahaya mata. 

Day 5, 3 perkara yang anda ingin katakan kepada bekas kekasih.

Walaubagaimanapun, untuk memenuhi kriteria entry pada hari ini, saya ingin katakan "move on". Apa yang kita pernah lalui, just jadikan kenangan manis sahaja. Oleh kerana semua sudah berumah tangga maka jagalah keluarga masing-masing dengan sebaik-baiknya.

Usah di tanya kenapa kita tidak bersama. Kan jodoh itu di tangan Allah?, percaya pada jodoh yang Allah berikan, pasti dia pasangan terbaik buat kita. Tidak kiralah terlalu banyak kekurangannya, terimalah seadanya, manusia mana ada yang sempurna.

Jadikan kenangan manis. Kenangan zaman sebelum berumah tangga ialah kenangan paling manis, kita budak-budak, kita kanak-kanak, kita remaja, kita belia, kita dewasa, semua itu boleh jadikan cerita hebat untuk anak-anak kita nanti. Satu hari nanti, mereka akan lalui apa yang sudah pernah kita lalui walaupun zaman mereka semakin canggih, boleh juga diambil sedikit pengajarannya. Mereka pasti hendak tahu apa yang kita lalui dulu-dulu. Indah bukan?

Saya gembira dengan kehidupan sekarang, sederhana dan biasa-biasa sahaja. Betul, saya bersyukur juga kerana diberi peluang untuk mengenali pelbagai karektor kawan-kawan lelaki sebelum berumah tangga sehingga akhirnya saya memilih yang berani, yang tidak romantik sangat, yang berdikari, yang menyayangi, yang memahami, yang sanggup terima saya seadanya diri saya. Saya masih boleh buat aktiviti yang digemari, saya masih menjadi diri saya sendiri, saya masih buat perkara gila-gila walaupun sudah beranak tiga. Kekasih sehidup semati ialah suami saya, in syaa Allah.

Kesimpulannya, suami saya ialah kekasih paling istimewa sekali dalam hidup saya. Walaupun permulaan perkenalan kami, tidaklah sebaik mana. Kami musuh dalam kelas, hahahaa. Saya pasti pembaca sudah pun mengetahui kisah bagaimana kami berdua bertemu. Disebabkan itu saya benar-benar menggelarkan dia kekasih. Kekasih-suami. Cinta-Auni. Hati-Adli dan Jiwa-Arrizqi.

2004

2014

Ok, done untuk hari ini. By the way, terima kasih sudi baca entry panjang-panjang bloghijau ini, entahlah saya pun hendak taip sedikit sahaja namun ayat yang keluar tetaplah menjadi panjang berjela. Saya berhenti di sini dahulu ye, jumpa entry esok. In shaa Allah. Salam sayang, daaa...

Monday, 28 October 2013

Berdikari.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Konon, hendak update blog setiap hari, haih! lap peluh. Barula sedar tangan cuma ada sepasang sahaja. Kiri dan kanan, hihii. Banyak sangat aktiviti yang hendak dibuat, lelebih lagi kalau sudah mula 'menurun' memang lupa segala. Syok sangat bila sudah dalam dunia buat 'projek' memang kerja lain akan tolak tepi lelebih lagi bila trio masih mood senyap. Tidur.

Ramai juga yang pelik melihat aku masih mampu buat art disamping menjaga trio tu. Kerja rumah, sememangnya tidak pernah habis, apatah lagi bila keseorangan tanpa abi meladeni kerenah anak-anak. Letih memang letih tetapi bila melihatkan pending order yang tidak surut-surut kena ada inisiatif dan kena curi-curi masa untuk membuatnya.

Sudah namanya pun hobi, makanya kita buat jika punya masa terluang sahajalah. Bila sibuk dengan anak-anak memang aku tidak akan sentuh langsung art, kadang-kadang masak, cuci pakaian pun aku tolak tepi, anak come 1st. Anak-anak ni pun ada mood, kena bagi apa yang dorang hendak, kena layankan, macam Adli Arrizqi bila paksa dorang tidur, dorang akan cari pangku emak. Berebut. Tetapi jika tune dorang memang hendak tidur, bagi sahaja susu terus sahaja tidur syaratnya Adli mesti sebelah Arrizqi atau sebaliknya. 

Lima hari tanpa abi, tidak pula abi hantar ke kampung makanya aku berdikari sendiri. Huaaa, struggle. Jika hari biasa struggle, hari tanpa abi menjadi berganda strugglenya. Sabar je la, emak tidak biasa ditinggal sendirian begini. Hendak menangis pun ada. Akan tetapi, alah bisa tegal biasa. Jika tidak bermula sekarang, esok lusa kena lalui juga, makanya kena kuat mental dan fizikal lebih daripada hari biasa.

Tambahan lagi abi bukanla seorang yang suka melaporkan aktivitinya bila pergian. Jika dua minggu dia kerja di luar, dia hanya akan beritahu aku sebelum dia pergi dan ketika dia pulang. Itu sahaja. Sedih juga, tapi hendak macam mana, aku mengadu pun bukan dia boleh datang dengan bersegera, sama ada hendak atau pun tidak, kena lalui jugalah. Hihiii.

Cemburu juga bila melihat orang lain ke sana ke mari pergi bercuti, ikut suami pergi bertugas, suami rajin membantu menguruskan rumah, anggap sahajalah rezeki masing-masing, lain orang lain rezekinya, lain pasangan, lain caranya. Mungkinlah. Aku? hanya menunggu pelangi indah selepas hujan, pelangi yang kadang ada, kadang tiada, kadang nampak jelas, kadang hanya samar, tapi tetap cantik dipandang mata. Pelangi ada tujuh warna. Positif.

Pelangi emak.

Yeah, aku ok je. Cuma anak-anakla yang biasanya buat aku touching lebih, bertanyakan abi. Lelebih lagi Auni, dia rasa macam lama sangat dia tidak berjumpa abi. Anak yang tidak biasa ditinggal abi lama-lama, jemu agaknya asyik tengok emak sahaja. Abi tidak muncul-muncul. Hari kedua, baru berani hendak bertanya mana abinya. Aku jujur sahajalah menjawab. Setiap petang bagi peluang main di luar, biarkan mereka sibuk hingga lupa untuk rindukan abi.





Akhirnya, abi balik juga. Hrmmmm...lupala kepada emak, sibuk bercerita dan mengadu hal masing-masing. Yang bergaduh, yang bercakar, yang dahi bocor, yang potong rambut sendiri, yang lebam dahi, cerita, cerita semuanya. Aku hanya mampu menarik nafas kelegaan. Kali pertama belajar berdikari sendiri tanpa abi. Alhamdulillah aku berjaya lalui dengan penuh rasa sukarnya, haih! 

Once again, tolong...jangan samakan aku dengan orang yang sudah biasa suaminya kerja luar lama-lama, serius aku baru belajar. Aku baru hendak tahu bagaimana perasaannya, baru hendak tahu bagaimana aku hendak aturkan hidup aku yang juga baru setahun dengan jawatan pengurus rumah tangga. Dahulu, jika abi pergian aku masih ada kakAna, kakTi, (pengasuh anak-anak) dan aku kerja untuk hilangkan stres yang melanda. Now, lone ranger. Buat sendiri. Dan, ok ianya masih boleh aku lalui dengan sisa gagah yang ada. Syukur.

Wednesday, 31 July 2013

Keluh kesah kisah makhijau.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Ok, Jumaat lepas entry jiwa kacau. Lupakan-lupakan. Hari ini, Rabu sudah pun tiba malam 10 terakhir Ramadhan, sekejapan masa berlalu. 

Sabtu lepas, aku menyiapkan tugasan pengurus rumah tangga seperti biasa. Membersih rumah, menyusun atur semua dan clear dengan harapan si dia membawa kami ke IKEA, sudah hantar permohonan daripada minggu lepas lagi. Hrmmm...aku hanya mampu mengeluh apabila tiada IKEA. Muka, jangan kata sudah cemberut macam cencorot. Hodoh benar rasanya.

Tidak boleh aku yang mengajak, tangtangtangtu la abi dijangkiti demam. Demam sebab isteri mengajak pergi IKEA. Sabar je la. Tapi, disebalik tidak pergi IKEA tu aku belajar sesuatu. Memandu ke kedai bersama Auni, muehehe. Best juga, merewang dengan minah tu, mendengar dia potpetpotpet, kasihan Adli aku tinggal macam tu je dengan tangisan. Rasa hendak bawa juga tapiii, aku belum berani lagilah.

Ahad, aku memandu sekali lagi, kali ni malam. Hantar abi pergi klinik. Woahahaa, syabas untuk diri sendiri. Kali pertama dalam sejarah. Ngeee...best juga, dapat bersiar memalam minggu walaupun sesat barat menuju klinik. Lantakla orang lain sudah lali rutin begini, bagi aku ianya baru permulaan.

Isnin, akhirnya...dapat juga merasa berbuka puasa di luar rumah bersama team PERKEP, ikut kawan satu tempat kerja abi. Haruslah aku gembira pasal dapat keluar daripada rumah. Memang la best berbuka di rumah, masakan hendak dalam rumah sahaja. Bagi aku yang tempat kerjanya di rumah, mestila bosan. Bagi mereka yang berkerja of kos la suka berbuka di rumah sebab dah lelah seharian di opis.

Memangla best berbuka di rumah, aku pun perlukan juga kawan-kawan bercakap, perlukan juga ruang untuk aku bersosial dengan kawan-kawan yang masih ada, masakan hanya hendak berbual di laman sosial semata-mata. Memangla best berbuka di rumah, orang yang hari-hari berkerja juga suka apabila menghabiskan masa bersama anak-anak bila ada ruang masa, bagi aku yang di rumah ni, masakan hanya di rumah sahaja, aku perlukan juga udara luar daripada rumah. 

Bagi aku yang sudah merasa bagaimana berkerja dan merasa bagaimana duduk di rumah, sudah tentu-tentulah semuanya masih baru bagi aku. Tahun ini tahun pertama aku berpuasa bergelar pengurus rumah tangga, sudah tentu aku akan membezakan dengan zaman aku makan gaji dahulu. Gelaran kita sama cuma kisah dan perasaan kita belum tentu sama.

Suka tengok anak-anak dibelakang tu. 

Dorang kata, empat sebelah kanan ialah duta Maajun Anggun Bistari. Anggunkan kami? Ye, termasuklah aku, muehehe. Kaki aku macam ranting kayu je.

Well, aku pakaikan oren untuk askar bertiga tu, aku macam biasa kena adil sama dengan abi, sama dengan anak-anak. Mudah untuk cari mereka sekiranya tidak duduk diam. So far, alhamdulillah. Semua orang jadi kagum dengan mereka bertiga yang baik-baik sahaja. Adli diam dan makan, Auni diam dan main game, Arrizqi diam dan tidur. Waktu sudah makan pun, mereka masih juga baik ikut siapa sahaja yang sudi menjaganya. Aku dapat makan dengan tenang. Abi dapat makan dengan tenang dengan sedikit demam bersisa.

Tinggalkan mereka diruang pentas, mereka lekas sahaja berkawan. Baik Auni, baik Adli. Arrizqi pun diam sahaja malah suaranya langsung tidak kedengaran. Aku? macam biasalah dapat jumpa kawan setahun sekali macam-macam cerita la. Tahun lepas aku joint dengan tiba-tiba mengandungkan Arrizqi. Tahun ini, tiada lagi kisah pregnant tiba-tiba. Kami berbuka di Kampung Pengantin, dengan menu nasi Arab melayu, sedap.

Selasa, jam sudah menghampiri 11 malam, bawa Arrizqi ke klinik sebab sakit mata. Huh, aku sudah menguap berkali-kali, abi ajak juga pergi sebab Arrizqi takut sungguh hendak buka matanya.Woah! doktor tu memang sempoi, gila-gila. Dia terus bagi ubat cecair dan titis di mata, alhamdulillah hari ini beransur sihat budak aktif tu.

Tu belah kanan, budak sakit mata. Meligat tetaplah meligat. Mentanglah sudah dapat kaki, suka.

Rabu, aku gigih buat biskut makan sendiri untuk anak-anak. Hujung minggu lepas tidak keluar belanja, jadi menggigih juga la emak ni kan. Ok, sekian sahaja update untuk seminggu. Hadoiii. Jumpa lagi lain episod. Buka posa sorang-sorang balik semula, sabo je la.

Biskut mentega (atas) dan biskut milo ciptaan sendiri.

Selamat menyambut Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin kepada semua. Kasi wish awal, tatau bila dapat update bloghijau lagi. Jaga diri dan berhati-hati semasa beraya. Sayang semua daripada: Aku, Abi dan Askar tiga.


Thursday, 27 June 2013

5 tahun aku dan kasih.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Aku insan biasa, tiada punya harta, aku ada cinta, aku ada hati aku ada jiwa. Tanpa kasih, aku tiada cinta, hati dan jiwa. Alhamdulillah. Kasih aku abi:

Aku tidak sempurna, aku terus belajar, belajar dan belajar membantu engkau mengemudi rumah tangga, menguruskan, mengasuh, mendidik, meladeni kerenah si cinta Auni, si hati Adli dan si jiwa Arrizqi. Aku berusaha untuk membantu engkau menguruskan rumah tangga walaupun adakalanya aku sangat lelah hendak membuat kesemuanya, apabila aku sudah lelah maka dengan pantasnya keluarlah perkara yang aku sendiri tidak sukai, merungut. Maaf-maaf-maaf aku cuba juga untuk tidak ada rungutan itu tapi... [sila sambung sendiri].

Aku tidak tahu sama ada engkau perasan atau tidak, baju-bajumu aku cucikan, sidaikan, gosok dan aku sangkut mengikut warna, kebanyakkan bajumu berwarna hitam, biru gelap, sedikit warna kelabu, putih dan beberapa helai berwarna-warni. Dahulu stokinmu aku hanya lipat tanpa terbalikkan namun sekarang tidak lagi. 

Jika boleh aku mahu membuatkan engkau sarapan pagi, malangnya aku belum lagi mampu. Penyakit M aku makin merebak apatah lagi bila Arrizqi sudah celik mata. Aku hanya sempat membuat air minuman dan berharap engkau akan minum sebelum keluar bertugas. In shaa Allah, jika umur panjang, aku akan buat sarapan pagi untuk anak-anak sebelum ke sekolah dengan syarat engkau juga mesti ada di meja makan yang sama bersama-sama.

Aku tahu aku memang tidak sempurna namun aku hendak berterima kasih kepadamu kerana masih memberi peluang untuk aku membuat apa yang aku suka sejak dahulu lagi, membuat kerja hasil tangan, membaca novel malahan engkau terus menggalakkan untuk aku meneruskannya. Aku juga berterima kasih kerana engkau tidak pernah kisah mengeluarkan wang gajimu untuk belanja aku dan anak-anak.

Kasih, setelah anak tiga ini aku berasakan bahawa aku sedikit mengabaikan dirimu, maklumlah anak-anak lebih setia mencari aku dan aku sendiri tidak sampai hati untuk membiar anak-anak denganmu kerana aku bimbang engkau berasa letih dan tidak cukup tidur apabila menguruskan mereka. Aku minta maaf. Walaubagaimana pun, aku masih suka jika engkau sentiasa manjakan aku kerana itu membuat aku sedar bahawa aku telah mengabaikanmu.

5 tahun kita sudah bersama, 5 tahun juga aku belajar mengenali dengan dirimu. 
Engkau suka kereta, aku suka rumah. Engkau suka komik, aku suka novel. Engkau suka games, aku suka art. Engkau suka kicap, aku suka berkuah. Engkau suka ayam, aku suka ikan kering. Engkau suka vakum, aku suka menyapu. Engkau pendiam, aku membebel. 
Namun...
Kita pakai jam tangan di tangan kanan. Kita pakai baju warna senada. Kita suka perkara yang mudah. Kita gemar membaca,. Kita suka brand DutchLady. Kita punyai mahligai tersendiri. Kita ada cinta, hati dan jiwa. Sehingga akhirnya...
Sudah 10 tahun kita berkawan. Sudah 5 kali kita menyambut Syawal dengan sistem bergilir. Sudah 5 tahun kita menyambut ulangtahun perkahwinan. Alhamdulillah. Aku seronok berada bersamamu. 

 Kasih berbaju hitam, jiwa bersinglet merah.

Us with my mom...Saloma binti Basar. Love u mama.

In shaa Allah, semoga kasih yang disemai sentiasa mekar di samping kehadiran, cinta, hati dan jiwa penyayang sehingga syurga. Terima kasih yang sentiasa mendoakan kami di bawah lindunganNYA.
Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke-5 Erwandi, Syahida pada 22 Jamadilakhir 1429 sehingga 18 Sha'ban 1434 bersamaan 27hb Jun 2008 sehingga 27hb Jun 2013
Maaf entry ni panjang sangat, tidak baca pun tak apa :)

Thursday, 11 April 2013

Anai-anai dan komik, habis.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Dalam pada gigih menyusun komik abi mengikut siri dan angka giliran, dalam pada perangai bertukar singa sebaik nampak anak3 mula menyentuh almari buku, dalam pada aku rajin memastikan ianya sentiasa kemas, rupa-rupanya ada juga puak yang mahu sama-sama buat tempat tinggal di almari yang sama. Ya tidak lain dan tidak bukan, anai-anai.

Mungkin terlalu kemas dan terlalu lama tidak di sentuh bahagian tersebut membuatkan ia membiak dengan jayanya, seronok dapat makan kayu dan kertas berkualiti daripada komik abi. Gemuk dan sihat.

Anai-anai ialah serangga sosial yang termasuk dalam order Isoptera yang kebiasanya membuat sarang dalam tanah atau kayu dimana kayu merupakan makanan utamanya. Terdapat banyak spesies anai-anai yang berfaedah dalam ekosistem hutan yang berperanan sebagai penghurai kayu dan daun-daun di permukaan tanah kawasan hutan. Cuma, bila ada yang baik ada juga yang terbalik, kira-kira 10 peratus daripada anggaran 4,000 spesies (kira-kira 2,600 telah dikenalpasti) merupakan serangga perosak.

Di Malaysia, ada tiga famili anai-anai yang biasa ditemui iaitu Kalotermitidae, Rhinotermitidae dan Termitidae [kelas kau Jah, bahasa saintis betul ni]. Hanya keluarga Rhinotermitidae yang menjejaskan ekonomi negara dengan merosakkan tanaman kelapa sawit, bangunan dan sebagainya. Anai-anai jenis perosak ini dapat dibezakan dengan yang lain melalui cecair yang dikeluarkan semasa ia menggigit.

Kitaran hidup anai-anai adalah kompleks kerana ia hidup dalam kasta. Bermula dengan raja dan permaisurinya yang menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskannya. Ribuan anak anai-anai kemudiannya menjadi pekerja, askar atau kadang-kala menjadi kelekatu (anai-anai bersayap). Kelekatu ini juga dikenali sebagai kasta pembiakan dengan mata yang telah berkembang baik berbanding kasta anai-anai lain. Kelekatu yang bersayap mempunyai jantina akan keluar dari sarang dan terbang pada waktu senja terutamanya selepas hari hujan, mencari habitat baru dan kemudiannya menjadi raja dan permaisuri serta membina koloni baru (baru tau kelekatu keluarga anai-anai juga).

Anai-anai pekerja biasanya tidak bersayap, mandul dan buta-ada pula. Anai-anai askar juga tidak bersayap dan mandul tetapi mempunyai kepala dengan mandibel (bahagian mulut serangga) yang kuat untuk menggigit bagi mempertahankan koloni.

Selain itu, anai-anai peringkat rendah terpaksa bersimbiosis dengan protozoa dan bakteria untuk menghadamkan kayu yang dimakan-biasalah kuli kan. Manakala anai-anai peringkat tinggi seperti anai-anai busut menggunakan kultur kulat untuk penghadaman dan pada masa tertentu cendawan busut akan keluar dari sarang anai-anai ini. Kebanyakan anai-anai makan secara trofalaksis iaitu askar akan memberi pekerja makan, sama ada dari mulut ke mulut atau anus (dubur) ke mulut, hah!!! - terkejut.

[Sumber Rujukan]

Seperti biasa, pemburu anai-anai di rumah aku seharusnya ialah abi. Sebut sahaja di mana ternampak sang anai-anai, lekas sahaja aku membuat laporan dan bergegas jugalah mengemas keluar barang-barang daripada almari. Dua tempat biasa, almari pakaian bilik bawah dan juga kabinet dapur [soh tukar lain kot-pergh!] Dan, entah macam mana hari tu abi terrrusik kotak jam tangan di almari bukunya dan disebabkan komik itu adalah kesayangannya maka, dengan rela hati sendiri, sendiri yang mengemas keluar buku-buku itu, banyak jugalah yang terkorban di ruang paling bawah sekali.

 Phew! cam letih je, sebab malamnya pakteh (adik abi) anak3 aku nak datang pula.

Gigih betul abi. Demi komik.

Isk-isk-isk, sayang betul. Botol kuning tu diisi dengan cecair racun anai-anai, bau dia pergh! memang abi sentiasa bersedia dengannya. Buat rumah lagi sampai lubang cacing pun abi racun. habis sesi ni dengan buku tersumbat dalam almari satu lagi, abi basuh kereta, tabah betul laki aku, hahaa.

Mujur, aku ialah isteri cerdik yang solehah (insyaALLAH) telah susun buku yang kurang baca dan tidak bersiri di ruang bawah tersebut, jadinya buang. Aku kerah abi untuk melihat-lihat kot ada di almari sebelahnya pula. Nangis weih, sebab lepas almari sebelah itu, ialah almari novel aku, maaaaaaakkkk tiiiidaaakkk!!!

Nota hijau: Selalula usik buku-buku anda, terutama yang rumah berisiko tinggi untuk anai-anai membiak. Buat almari buku macam peti besi leh tak ye?

Wednesday, 27 February 2013

Wanita daripada KRU.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Senang je wanita ni kan? aku rasa bagi bait lagu ni pun sudah cukup. Ah, terharunyaaa sobs-sobs-sobs...

Di sebalik semua lelaki di dunia
Pastinya didukung seorang wanita
Dia berkorban untuk
Memberi yang mampu 
Demi insan yang disanjung dalam hidup


Aku: Tidak sempurna, banyak lagi yang perlu aku belajar. Aku kena berusaha.

Tatang hatinya bagai permata
Luangkan masa untuk bersama
Bilang padanya kau sayangkan dia
Sepenuh jiwamu

Tenangkan hatinya bila resah 
Setia didalam ceria dan gundah 
Itulah saja balasan diminta
Seorang wanita


Aku: Yups, ini sahaja. Just hug and kiss everyday. Bila abi say terima kasih, OMG sangat terharu. 

Senyumannya mampu mengubati pilu
Ketika dunia tak kelihatan indah
Wajahnya yang ayu 
Menenangkan kalbu
Jangan kau hampakan cintanya yang tulus


Aku: Walaupun tidak seperti model, but I try my best to be the hottest, gorgeous and still friendly.

Itulah dia seperti dia menyelimutmu
Itulah saja balasan diminta
Seorang Wanita



Aku: Semoga abi sentiasa bersabar dengan mood, perangai, kerenah aku yang tah apa-apa ni, faham dengan angin malas yang datang tiba-tiba. InsyaALLAH, aku akan berusaha membaiki diri.

Comel tak mak budak ni? hahaaa...
[Ini semua poyo...phuiii]

Nota hijau: Berderai-derai air mata aku masa menaip entry ni. Jiwang pula hari ni, sobs! Kepada anda-anda-anda dan anda juga wanita bertulang besi berurat dawai. Proud to be woman and mommy [nak jugak].

Tuesday, 29 January 2013

Syukur.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Syukur rahmat ALLAH, syukur atas yang Allah aturkan, walaupun perit untuk dilalui namun pasti ada hikmah disebaliknya. Hidup ini indah, jika tidak sekarang menghargai kehidupan adalah amat sukar dan sentiasa merungut serta tidak ikhlas untuk hari-hari mendatang. Belajar menerima walaupun perit.

Auni, Adli dan Arrizqi. Lambang cinta antara aku dan abi, insyaALLAH jika panjang umur dan ada rezeki mereka bertiga akan beradik lagi, bukan sekarang. Buat masa ini, biarlah aku belajar menerima seadanya apa yang aku ada. Menjaga mereka bertiga adalah cabaran paling besar yang mesti aku tempuh sepanjang 29 tahun ini.

Auni, ku fikirkan baru tiga tahun rupanya dia sudah pun 4 tahun, banyak lagi yang belum berjaya dilaksanakan kepada dia. Ya, aku cemburu kepada mereka yang berjaya ‘free drypers’ anak-anak seumur 2-3 tahun. Auni, tidak ber’drypers’ tetapi aku tidak tahu di mana dia membuang, tahu-tahu seluar bajunya sudah lencun. Nasib-nasib sahaja aku ternampak dia membuang tu.

Ye, aku cemburu juga kepada mereka-mereka yang telah menghantar anak ke Taska, Tadika untuk perkembangan pelajaran pertama tetapi Auni? Masih bertemankan adik-adik di rumah. Kadangkala aku rasa sungguh kasihan kepadanya, yang hendak sangat bermain dengan kawan-kawan, tetapi aku perlu juga memikirkan adik-adiknya.

Aku berusaha untuk melatih Auni mengenal huruf, nombor dan alif ba ta. Huruf tu, dia sudah lancar menyanyi A-Z, nombor pun boleh sudah 1-10 walaupun suka tinggalkan nombor 2. Alif ba ta, baru dapat suku sahaja. Dia lebih suka ABC. Menyanyi, usah di kata...lagu ABC tu setengah hari pun boleh dia nyanyi tanpa henti. Pening.

My hero, Adli. Sekali tumbuh gigi serentak semua naik. Alhamdulillah kesihatan dan aktiviti makannya terus berjalan dengan lancar. Adli tidak gemarkan yang terlalu manis dan lebih suka makan nasi yang berkuah. Lasaknya Adli kurang sedikit berbanding kakak, Adli lebih soft. Belajar pun sendiri-sendiri, tahu-tahu Adli sudah boleh buat sesuatu, juga sudah pandai menerima arahan mudah dan menjerit sesuka hati.

Bayi rezeki, Arrizqi. Tidurnya sudah seperti abang dan kakak, sekali-sekala sahaja bangun malam untuk menyusu. Suka hendak berborak dan ketawa besar dan pantang nampak kelibbat aku. Size drypers sudah bertukar kepada M, besar sikit lagi baru pakaikan Cloth-Diapers pasal aku malas nak adjust butang. Sangat kuat menyusu, juga mula berkongsi baju dengan abang Adli. Syukur Alhamdulillah.

Looks like twin. Hahaa... perasan.



Melalui fasa kehidupan.

Melewati usia.

My big hero, teman sehidup semati, as always. Stay the same macam dahulu juga, Cuma rambut sedikit memutih. Semakin berdedikasi dengan kerja dan semakin tidak banyak bercakap. Lebih gemar dengan handphone dan komik. Syukurnya, pinta sahaja apa yang aku mahu insyaALLAH ada rezeki, abi akan tunaikan. Terima kasih cinta.

Nota hijau: Kehidupan menuju fasa keredhaan ALLAH, insyaALLAH.

Saturday, 5 January 2013

10 tahun.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Tanpa berterusterang, jodoh yang sepatutnya milik kita tidaklah akan kesampaian. 

Terima kasih lawan sebab menjadi kawan aku, 
terima kasih kawan sebab menjadi teman rapat aku, 
terima kasih teman sebab menjadi sahabat aku, 
terima kasih sahabat menjadi kekasih hatiku, 
terima kasih kekasih kerana menjadi peneman hariku, 
terima kasih kekasih kerana menjadi suamiku, 
terima kasih suami kerana menjadi bapa kepada anak-anakku, 
terima kasih yang tidak terhingga kerana masih mencintaiku, 
terima kasih atas pengorbanan yang dilakukan demi aku. 

Terima kasih kerana masih setia sehingga ke hari ini. insyaALLAH kita bersama atas keredhaan ALLAH.

Wandi, Syasya: 5 Januari 2003 - 5 Januari 2013
Ulangtahun pertemuan yang ke-10
Semoga ikatan yang kita bina terus kekal hingga ke syurga.
Tanpa keberanian mimpi tidak jadi kenyataan. - eh? macam kenal je ayat ni. hahaaa.
Ini bukan jaket TNB, harap maklum.
Konvo Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia.
Institut Latihan Perindustrian, KL. [ILPKL 2003]

Tahun lepas dah mengarang macam novel, tahun ni simple ja. Hehee.
[Manisnya memori itu-baca]

Wednesday, 2 January 2013

Kek coklat tanpa serbuk penaik.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Masa aku pergi beli bahan buat kuih tu, abi bawa pergi shopping di AEON, Kepong. Manalah aku tau dia hendak belanja beli barang-barang keperluan aku, maklumlah sejak habis pantang belum lagi beli kasut, beli handbag, badan ni pun rasa serabai sebab rambut masih panjang. Wajib ke tu semua? sejak sudah bergelar surirumah ni, kena tunggu orang pelawa belanja sahaja. Hendak minta banyak, segan.

Jadi, tidak berapa biasa beli barang dapur di AEON, kekerapan membeli adalah di Tesco. Sampai sudah hafal setiap bahagian Tesco. Makanya, siap senarai di tangan, sudah tertulis brand serbuk penaik pun jadi blank bila berhadapan dengan rak bahan. Bajet macam chef hebat  ja, milih bahan untuk buat kek, feeling hendak beli semua. Dan, tiadalah serbuk penaik.

Kali pertama seumur hidup, dengan dorongan kawan-kawan sekolah dan pakar membuat kek, aku bedal ajalah buat ikut resipi mudah dan tinggalkan tang serbuk penaik tu. Hahaaa... Kali pertama, haruslah ada cacat celanya. Dengan tiada sukatan tepat, dengan tiada mangkuk untuk kacau semua bahan, tiada loyang, gigih jugalah, pulun. Kukus dengan pengukus Tupperware, makanya comel je la kek coklat aku. Hihiii...

Syukurnya, masa dok bergelumang dengan bahan, Auni, Adli dan Arrizqi pakat tidur bersama-sama, cumanya bila waktu hendak mengukus tu Arrizqi tiba-tiba sahaja menjerit. Dan bila kek siap, aku ajak Auni dan Adli buat topping, suka benar dua beradik tu, tolong makan lebihan coklat dan manisan untuk hiasan. Panggil apa tu ek, yang warna-warni tu?

Macam biasala, tanya abi pulangnya jam berapa. Hrmmm... as last year juga, balik habis bunga api malam tahun baru. Itula nasibnya untuk tahun ini juga. Lepas ini, celebrate birthday serentak dengan tahun baru sahajalah. Tapi, aku as a wife rasa tidak best pula. Well, hari istimewakan.

Petang 1.1.2013 baru dapat potong kek coklat kali pertama ni. Coklat toppingnya tebal dan tidak sedap. Hahaaa... Aku main bubuh ja, sebab tiada whipping cream. Keknya, sedapla jugak. Abi kata kek coklat sedap. Auni dengan Adli jangan katalah, memang kenduri makan.

Memerlukan usaha lebih lagi.

Kena cuba buat lagi, banyak lagi keperluan membuat kek yang perlu disediakan. Seronok rupanya membaking ni. Hihiii...Oh! resipi kek coklat, search sahaja. Aku ada juga resipi kek coklat moist mama Mikhail, tapi dia guna penimbang, aku guna cawan ja. Heheh!



Arrizqi tidur. Aduiiilaaa...

28 tahun anak dah tiga, uban pun dah banyak. Hahaaa... Ye la, emak tua. Hohooo...

Nota hijau: Yeay, lepas ni puding roti pula. InsyaALLAH. Selamat Ulangtahun Kelahiran kakSal, empunya blog 3A.

Tuesday, 1 January 2013

Bersemangat.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat datang 2013.

01012013.

Gigih buat kek coklat untuk abi, seperti tahun lepas juga malam tahun baru merupakan malam sibuk untuk dia, sedih juga apatah lagi hari ulangtahun kelahiran serentak malam tahun baru. Yang kena pasrah, isterilah.

Ok, terima kasih 2012. Suka, duka, pilu, gembira, sedih, kejutan, kejutan tak menjadi, dan pastinya indah. Lebih kepada sangat indah, terima kasih Arrizqi. Hadirmu memberikan rezeki yang melimpah ruah. Syukur.

Azam tahun baru, hrrmmm [menggumam] jadi lebih independant. Dalam kepala otak aku ni, aku hendak menjadi seorang emak yang serba boleh. Tidak kisahla dalam bidang apa sekalipun. Hendak merebut Anugerah Pekerja Cemerlang, memang tidaklah kalau sudah tersurat terceruk di dapur. Hendakkan bonus, pun memang tiadalah kecuali ada yang offer.

Paling penting, aku hendak menjaga kesihatan supaya boleh membesarkan tiga askar yang sangat meligat dengan seribu satu macam kerenah.










My lovely, lovely, lovely super kids.





Cayok umi, cayok. Usaha.

Semoga lebih bertabah untuk hari mendatang. Disamping itu, aku akan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang kurang mengeluh dan sentiasa ikhlas kepada yang aku lakukan untuk abi, insyaALLAH.

Nota hijau: Aku cuba bangkit untuk menjadi orang yang penuh kasih sayang. Aminnn.

Monday, 31 December 2012

Hari sibuk dalam setahun.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

HAPPY 28TH BIRTHDAY ABIE ERWANDI!

daripada Adli, Auni, Arrizqi dan...


super cute mummy vouge de vas [sila muntah] ...


Nota hijau: Abi punya birthday, emak dapat handbag baru, kasut baru, baju baru, terima kasih Abi... ehehehe! Planning hendak buat kek sendiri, tengok apa yang jadi nanti. bahahahaa...

Friday, 14 December 2012

Semakin sibuk.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Entah bila dia hendak bersama kami, kami tidak tahu. Berikutan, dia hanya sibuk dengan ruang lingkup kerjanya. Berbaloi rasanya aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga, mengasuh, membesarkan anak-anak dengan tangan sendiri.

Kadang-kadang aku jadi kasihan sangat dengan dia, pergi pagi baliknya tengah malam, baliknya disambut dengan dengkuran anak bini, bila dia celik mata untuk keluar bekerja pun anak bini masih lagi berdengkur. Kejam betul bini tu kan? hiks, nak buat guane, waktu aku mula bekerja jam 8.30pagi. Aku masuk tidur jam 1 atau 2 pagi, sebelum anak-anak bangun hendak menyusu ikut turn. Jadi, istilah tidur untuk sihat selama 6-7jam tu memang tidak adalah.

Sejak ada Adli, kita tidak pergi mana-mana pun untuk bercuti, walhal masa ada Auni bercuti sakan sehingga ke Langkawi nun. Bila aku tanya takde cuti ke? dia tanya aku balik, kenapa? Bila aku suarakan orang lain sudah bercuti sampai ke luar negara, kita tidak pergi mana-mana ke? dia diam-diam sahaja. Bila aku kata, banyak sangat ke kes setiap kali yang pergi bertugas orang yang sama je, orang lain buat apa? Jawapan dia, habis kalau dah masing-masing masuk dan balik kerja ikut time, tidak boleh lambat sampai ke rumah, siapa lagi hendak buat kerja. Hrrrmmm... jawapan tu buat aku pula diam berfikir. Habis, dia tidak tahu ke aku pun mengomel setiap hari dek kerana dia balik lambat dan tidak bawa kita ke mana-mana. Tidak adil.

Aku anggap je, memang dia sibuk bekerja. Menjaga amanah negara bukan sesuatu yang enteng, janji keperluan anak bini tidak terabai, tetapi hati aku jadi sakit bila tengok wall FB aku penuh dengan gambar-gambar kawan pergi bercuti, tidak kiralah dalam atau luar Malaysia.

Hati aku jadi sedih bila, hari-hari Auni mengeluh, mencari dan menanya "mana abi?", "Auni rindu abi". Lagi-lagi bila dia tengok gambar dia bermain di taman satu tika dulu "Auni suka taman, Auni nak main" Adeih.. Hati aku jadi pilu bila hari-hari terpaksa memujuk Auni dengan kata-kata manis, hati aku jadi sebak bila tengok dia dengan Adli saling melindungi barang-barang milik dia. Betapa, dorang sayangkan abi dorang. Sobs!!!

Hendak di macam manakan, itu adalah pengorbanan. Makanya, tindakan aku menjadi suri di rumah memang tidak salah dan tindakan bijak. Aku hanya ada Diploma Teknologi Kejuruteraan Komputer sama seperti dia, orang kata tangga gajinya sudah berangka-angka sedangkan aku memilih untuk berada di segenap ceruk ruang rumah. Bagi aku melepaskan tangga gaji yang aku idamkan, apatah lagi memiliki tempat duduk sendiri, komputer sendiri, meja sendiri adalah sesuatu yang perit tetapi bila tengok anak-anak membesar day by day, aku jadi seronok. Dan, aku harap akan ada satu SOHO di rumah ini untuk aku berkubang ;)

Walaupun dia sibuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia, walaupun kadang-kadang pekerjaannya diperlekeh, walaupun setiap kali aku berpesan barang dan tidak singgah kedai aku tetap sayang padanya, walaupun dia tidak seperti suami-suami yang menunjukkan kasih sayang cinta dengan bunga, coklat, pergi bercuti, aku tetap memilihnya. Walaupun sudah tiga kali bersalin, dia tidak ada disisi aku tetap sayang dirinya, sebab dia ada cara sendiri yang lebih ikhlas untuk menyayangi dan mencintai aku. 

Ok, dah jiwang sangat ni. Hahaaa. Sebenarnya, aku nak nyatakan aku ingin hendak pergi bercuti ke Sarawak. Muahahaaa. Kenapa Sarawak? tah!

Penang, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah.
Tiba-tiba ada gambar family, hahaaa... kenangan.

Nota hijau: Dia sibuk cari rezeki, aku sibuk uruskan rumah [ye ke], anak-anak dan diri sendiri. Nak shopping online, bagi lebih sikit boleh? hahaaa.

Monday, 12 November 2012

Cinta hati jiwa kasih.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

12.11.12 - jiwang sikit.

"Dari kanan bertiga-tiga, cepat jalan" koman suara seorang emak beranak tiga. Bakal bergempita di sebuah villa bersederhana besarnya. Akan tiba masa Arrizqi menjadi seperti Auni dan Adli. Siapa geng siapa, kita nantikan sahaja perkembangan mereka. Aku juga tidak sabar untuk menyertai pakatan.

Aku harus bersiap sedia segalanya mental dan fizikal. Ya meskipun baru sahaja tiga, menggalas gelaran surirumah bukanlah sesuatu yang enteng dan mudah. Ini kerana, apa-apa perangai three soldier yang tidak berkenan di mata akan bermula daripada rumah seharusnya didikan seorang emak.

Cinta.
Lahir daripada rasa Kasih.

 Hati.
Lahir apabila ada Cinta dan Kasih.

 Jiwa.
Ada kerana Cinta, Hati dan Kasih.

 Kasih.
Terima kasih kekasih. I love u till end of my life ;)

Semoga aku kekal bertabah dan terus dikurniakan sifat sabar yang menebal untuk menangani mereka yang rapat-rapat ini. Ini kerana aku masih merasakan diri ini ibarat budak yang baru habis sekolah, perangai emak-emak bagaikan belum ada dalam diri berikutan dalam kepala otak asyikla mikir hendak enjoy sahaja. Hihiii.

Lagi-lagi apabila baju kekecik ngam-ngam badan masa zaman xs dan s dulu masih lagi boleh disarung dan dipakai meskipun sudah kelihatan lusuh benar. Tahap kena bebel dengan mama, sudah tiga kali bersalin asyiklah menyarung baju yang sama. Baju ni, makin lama kita pakai makin selesa, itula yang aku rasa.

Menyentuh hal-hal kerja rumah, semestinya tangan macam obor-obor. Dalam kepala aku harus menyiapkan diri terlebih dahulu sebelum menguruskan yang lain-lain. Apatah lagi perlu membahagi tugas antara, suami, anak-anak dan rumah. Nampak macam senang, hanya tiga bahagian. Cer pecahkan lagi, suami dan anak-anak [3+1] perlukan perhatian, pakaian, makan, layanan. Rumah? huh, lagi besar rumah lagi banyak ruang lagi pening nak mengemas.

Sudahla mengandung sembilan bulan, berpantang lagi, meladeni anak-anak yang sedia ada, huiii patutlah ustaz selalu kata perempuan sungguh senang masuk syurga dengan syarat buat semua kerja dengan ikhlas dan tidak merungut. Isk, penat ke tak ek? hahahaaa...

Supermak, supermom, supermummy, supermama, superman eh? jomlah kita sama-sama. Ngeee...

Nota hijau: Ini bukan merungut, cuma hendak bajet kerja seorang surirumah yang tidak ada cuti, tidak ada gaji, tidak ada socso, tidak ada kompromi [merujuk kepada diri aku sahaja]. Hendak minta satu aja, cobalah untuk menghargai. Sekian.

Wednesday, 31 October 2012

Bahagia milik semua.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Aku mulai dengan syukur segala nikmat Allah yang telah diberikan kepada aku sekeluarga.

Diikuti dengan anugerah-anugerah yang indah ciptaan Allah yang dikurniakan kepada aku juga.

Norerdina Auni Norerwandi 
July 2, 2009

Norerfan Adli Norerwandi
September 27, 2011

Norersyad Arrizqi Norerwandi
October 15, 2012

Seorang suami yang sangat pemikir, penyayang, bertanggungjawab, memahami, cool dan aku sangat sayang padanya. Menyediakan sebuah mahligai indah untuk didiami kami sekeluarga.

InsyaALLAH, bahagia kami bermula di sini. Syukur.

Nota hijau: Lambatnya hari berlalu, hati sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah. Aku? masih sama macam dulu juga. Masih biasa-biasa sahaja, esokla bergambar. Hihiii...