Friday, 20 June 2025

AIDILADHA 1446-2025: Melaka, Kita Hadir!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Mata memasing dah jadi mata pembaris la. Keluarga sepetlah katakan.

Mannequin Challenge?

Pertama kali mereka sampai di Rumah Ladang Berpagar Automatik ni, rumah tuan asben yang terletak berdekatan dengan simpang empat berlampu isyarat. Kami dua kereta, adik memandu ditemani Ina dan tokpapa manakala aku ditemani daktiga juga tokmama. Kecoh betul sewaktu hendak memulakan perjalanan sebaik usai solat Sunat AidilAdha tadi, macam-macam hal hendak sampai ke rumah tuan asben.

1. Ina cari farmasi untuk beli koyok untuk tokpapa sebab sakit belakang.
2. Tokpapa cari kedai makan tapi tutup sebab hari perayaan.
3. Aku, tokmama dan Arrizqi cari tandas sebab nak terkucil sehingga akhirnya kita terus masuk plaza tol berhenti di RnR.

Bekalannya, semua manis belaka.

Dapat juga memasing melepaskan hajat yang kecil-yang besar, tokpapa pun dapat cari air nescaffee nya, habis semua orang dipaksa minum dan makan walhal kita baru sahaja membuang segala isian perut sekejap tadi. Aku hanya duduk mengawasi daktiga dan tempat duduk, hendak apa-apa hanya hulur wang sahaja kepada daktiga, dorang okey ja melayan emak ni tapi cukai dikenakan pun tinggilah juga. Sempat aku mencari Super Ring dan kerepek pisang buat kunyah-kunyah, walhal perjalanan taklah sampai lima jam pun, ahahaaa.

[Gedikejap] Weih, bolehlak kita hugs taknak lepas ea? nak melekat je boleh dak? ghindu nyah! setelah tiga minggu tidak berjumpa dengan tuan asben, rasa macam orang angau. Bengong tui! Kami bertukar driver, aaa barulah terasa disayangi dan terbela, muahahaaa. Berbaloi pakai baju baru, kasut baru, tudung baru, ngehehe! Aktiviti di rumah tuan asben:
1. photoshoot dan video shoot
2. kutip pelam
3. ke tandas lagi

Kita tidak stay di rumah tuan asben kerana aku, Ina dan mama sudah bosan sangat hendak tengok rumah, kitanya semua fulltime housewife tapi punya tabung untuk pergi bercuti, jadi kita booking homestay di apartment Residensi Seri Serindit yang terletak di Bukit Serindit, Melaka. Satu malam RM250 kerana ia dimiliki oleh kenalan Ina, isteri kepada adik aku. Herlok sangat memang ngam-ngam untuk pasukan kesebelasan team bolasepak kami ni. Master bedroom untuk kita berlima, dua bilik lagi untuk adik-Ina dan tokmamapapa memasing.

Aktiviti petang itu: 
1. Makan bekal AidilAdha menu aku dan tokmama ayam tua masak ungkep, nasi impit, rendang daging, sambal tempe ikan bilis dan kuah lodeh, juga lepat pulut dibeli oleh Ina. Sate sudah habis dalam perjalanan kereta team tokpapa dan adik.
2. Adik dan tuan asben bawa team 5A tu mandi pool yang terletak di bangunan sebelah manakala aku, Ina, tokmamapapa cas tenaga, tidur. Best wooo... 
3. Makan dan menonton televisyen sehingga mereka semua balik mandi kolam dan bersiap untuk keluar berjalan.


Sudah namanya percutian kali ini kita hendak berjalan makanya kita berjalan di Uptown Pahlawan Walk. Kami hanya bersepuluh tanpa tokpapa yang masih melayan sakit kepalanya, dia hanya mahu tinggal di rumah sahaja. Aku sudah teruja, boleh dating. Aku-tuan asben. Auni-Akma. Adli-Arrizqi. Ina-tokmama. Adik-Ali. Eheheheee, patut aku dengan tokmama, tapi tu la bila dah jumpa tuan asben, memang aku lupakan semuanya- paipai! 


Layankan-layaaankan.

Jalan punya jalan masuk Jonker Walk berlaga badan, adoi ramai betul umat manusia. Dorang ni tidak beraya ke? eh, cuti semua orang keluar termasuk weols. Memang tidak berhajat langsung untuk shopping bagai, aku sudah mamai. Tangan sebelah dipegang tuan asben sebelah lagi pegang keretapi yang kejap bersambung kejap putus, macam rombongan sekolah. Bila hilang dari pandangan cari adik yang berbadan besar dengan topinya oren, hahahaaa.

"banyak pork la umie" bisik Arrizqi. 
"banyak orang seksi, jauh lagi ke umie?" rungutan si Adli ni buat aku gelak. Adoiii!
"jomla pusing balik, takde apa dalam tu. Sama ja" ajak tuan asben. Dan kita pun berpatah balik semula sempat aku menangkap gambar Wang Yibo. Kitakan cdrama queen.
"korang gi naik beca, Akma-Ali-tokmama. Auni-Adli-Arrizqi. korang? pandai-pandai la, kitorang nak jalan kaki" Ina entah muncul dari mana mengeluarkan arahan. 

Akhirnya aku dengan tuan asben pun naik beca juga, sama pula natang beca tu dengan daktiga, Pika-Pika-Pikachu, hahaaa. Jika aku dengan tuan asben pun berjalan, nanti siapa hendak tunggu anak-anak tu bila sampai, tokmama? tokmama pun dah warga emas kategori kita jaga dia. Lagi ditempat asing begitu, maunya nangis semua.

Tuan asben belanja coklat kunafa untuk aku, itupun si Adli yang nampak. Ikut hatinya hendak diborong semua yang ada di gerai tu namun kutahankan, kitanya cut sugar kononnya. Dia juga membelikan air untuk semua di bawah jagaannya. Sebaik sahaja Ina dan adik sampai, kita terus balik homestay setelah berkali-kali berpusing mencari kedai makan yang beroperasi namun, orang yang menunggu untuk makan lebih muatan kapasiti kedai. Adik dan Ina hanya tapau Nasi campur dan roti canai di Restoran Nasi Kandar Subaidah, alhamdulillah. Sedap juga.


Masing-masing keletihan namun Arrizqi dan tokpapa masih segar bermain board games Scrabble. Tokmama membelek gambarnya yang bukan main banyak di galeri, tuan asben, adik dan Ali-Akma masuk tidur awal, aku dan Ina masih dimeja makan sambil mengemas sampah, sambil berbual. Curhat. Esok kita sudah kena check-out. Team suami kena kembali berkerja pada Isnin, kita tidak jadi stay dua malam. Tidak mengapa, ini pun sudah cukup seronok. Nanti kita deal lagi.

Sebenarnya banyak lagi gambar, aku ambil yang skema je, gambar-gambar penting gitu. Kalau dah semua pegang kamera, gambarnya sama jadi rabun nak memilih. Kisah bersambung pada keesokkan hari, jadi kita sambung entri lain.

Sebenarnya lagi, aku sudah taip alanovel, entah macam mana eh ter'delete' weih, tapi ni pun panjang juga cuma tak jadi la novel. Draft cincai ja. See ya! Bonus lagi.

Adik aku, photoboom tanpa sengaja. Ergh!

Wednesday, 18 June 2025

Menenangkan Hati di Hari Sukan Sekolah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sememangnya aku adalah terpaling bersemangat bila diadakan hari sukan sekolah, kitanya bekas atlet olahraga sekolah, opkos la teruja. Daktiga ni, seorang pun tiada yang masuk acara akhir, masing-masing mencari alasan hendak mengelak diri untuk terlibat dengan sukan apatah lagi hari sukan kali ini diadakan pada hari Sabtu. Mudah sebenarnya bila semua berada dengan aku, lepas hari sukan kita lepak mana-mana kedai makan, barulah berehat sepanjang hari. Namun, Adli lebih dahulu menarik diri. Dua hari aku pancing dia dengan macam-macam umpan, sikit lagi nak mengugut jawapannya tetaplah TIDAK MAHU.

Arrizqi, pada awalnya tidak mahu pergi akhirnya mengalah dipujuk kakakAuni supaya temankan aku kerana Auni sendiri terlibat dengan Kem Sejarah yang sudah di tempah harinya sebelum hari sukan lagi. Kehadiran pada hari sukan adalah dikira seperti hari sekolah, jadi seperti disayangkan jika hanya duduk di rumah sahaja sedangkan hari itu boleh bermain dengan kawan-kawan tanpa masuk kelas.

Adli rumah hijau, Arrizqi rumah biru dan Auni rumah kuning, agak-agak rumah mana satu yang aku sokong? baju warna apa yang harus aku sarungkan? hehe. Aku buka kabinet baju tuan asben, memilih salah satu tshirt lengan panjangnya, memilih seluar treksutnya. Hari itu rasa macam semua tshirt sendiri sangat membosankan. Almost warna hitam, tidak sesuai dengan cuaca yang sangat panas berdenting. Aku memilih warna neutral sekolah, maroon hitam. Tambahan lagi, aku rindu sangat dengan tuan asben. Rindu bau dia (ahaks jiwang).

Pagi Sabtu, kita keluar awal dari rumah dengan alasan:
1- Auni perlu berada di sekolah sebelum jam 7pagi.
2- mendapatkan tempat letak kereta.
3- membantu melancarkan perjalanan acara sukan pada awal pagi.
Diikuti rapat Linda di belakangku, jika sudah bestie keluar rumah tanpa rancangan pun tetaplah bersama, kita ada ikatan kimia yang kuat kesan sudah terlalu lama sangat berteman. Lagi pula, Qashreen anak sulongnya satu kelas dengan Auni satu rumah sukan dengan Arrizqi. Qaseh anak keduanya sebaya dengan Adli satu rumah sukan dengan Adli juga. Qashreen masuk acara tarik tali peringkat akhir penentu johan dan naib johan. Qaseh masuk perbarisan rumah sukan secara tidak langsung aku menyokong semua warna rumah sukan, memang aku jadi lalang pada hari itu, tak apalah support anak member janji satu rumah sukan dengan daktiga, hehe!

Aku suka betul tengok anak-anak sekolah berlari, tidak pula berjumpa dengan crush aku si Ryan Nafis, pelari daripada rumah kuning kawan si Adli sejak darjah enam dulu. Sekarang, aku penyokong rakan sekelas Adli yang datang beraya di rumah haritu. Salah seorangnya, Shafiq rumah kuning dan Daniel rumah biru. Okey cun. Tapi masa acara larian berlangsung, memang aku tengok siapa paling depan, itulah yang aku jerit. Orang yang duduk depan asyiklah tertoleh-toleh pada aku yang di baris dua belakang hahahaaa... nasib situ.

Hujung-hujung acara, ada pula acara untuk ibubapa dan guru. 10 orang bapa lawan tarik tali dengan guru + alumni sekolah. Acara tersebut dimenangi oleh guru+alumni tapi bapa yang dapat hadiah penyertaan, begitu juga acara mencari harta karun untuk 10 orang guru dan 10 orang ibu termasuklah aku terselit, adeih. Aku tidak mendapat tiga utama pun, disuruhnya cari lipstik ditengah padang tu, memang bukan akula. Sekali bertanya pada sekalian cikgu semuanya menggeleng kepala. Anak sekolah yang bertanya apa yang aku cari, bila aku kata lipstick sebaris tu semua menyelongkar beg masing-masing namun aku hanya layak mendapat saguhati sahaja. Terima kasih anak-anak, korang memang best. 

Sementara majlis penyampaian hadiah berlangsung, Linda bercerita tentang masalahnya, itu dan ini. Berbisik-bisik kami berdua di tengah keramaian. Aku cuba menjadi pendengar yang terbaik untuk dia, hendak ku nasihat lebih-lebih aku dan dia situasinya hampir sahaja serupa cuma tidak sama, aku harap hatinya lapanglah sedikit pabila masalahnya didengari walaupun tidak dapat kucampuri. Emak seperti kami ni, biasanya hanya mahu didengari dan difahami sahaja.

Linda hilang sebaik sahaja pengumuman rumah sukan yang menjadi johan tahun ini, 
1. rumah biru (belatuk)
2. rumah kuning (kasawari)
3. rumah hijau (helang)
4. rumah merah (merak)
Aku menyusun kerusi di khemah tempat aku duduk bersorak tadi, selesai bersih satu khemah barulah aku menunggu Arrizqi di pagar sekolah. Pulang dari sekolah, aku mengajak Arrizqi mengisi minyak kereta dan shopping barang dapur. Petang nanti aku keluar lagi untuk mengambil Auni yang pulang dari seminar Sejarah.

Sampai di rumah, bersiap aku mandi dan tidur, penatnya menggila. Gila betul rasa badan bila sudah lama tidak workout. Aku rasa kena start yoga semulalah, pastu briskwalk. Ajomslah! Malam itu aku ugut daktiga, supaya terlibat dengan sukan tahun depan. Badan memasing dah fits, stamina pun ada sebab hari-hari dok jalan kaki naik turun tangga jejantas, why not! Baru best aku nak bersorak.

Kejohanan Sukan Olahraga SMKS 2025

Perbarisan terbaik: Kasawari
Khemah terbaik: Helang

Berpeluh jugak walaupun tidak berlari satu padang.

Hantar Auni dahulu, dia dah naik bas baru masuk sekolah dan bersukan.

Atas: 1997 - 2001 rumah sukan aku sekolah menegah vs acara kegemaran saban tahun.
Bawah: 2019 sebelum kobid vs 2023 dah menua so kita join jalan je la.
 
Jap la nak gi daftar run or funwalk tempat lain, macam best je kan? - konon ja. 

Sudahnya makan kuaci layan cdrama juga, haih! 

Tuesday, 3 June 2025

Balik Johor.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kita memulakan perjalanan sebaik sahaja mengucapkan selamat berjumpa lagi selepas naik cuti dengan izin ALLAH kepada sembilan ekor dakutip di dalam sangkar, ada yang mengiau, ada yang termenung, ada yang tidak memperdulikan langsung keadaan sekeliling, ada yang bergumpal bersama dan ada yang masih berdengkur. Say goodbye to fish too, annyeong gheseyyo! dan tayar pun bergolek dengan iringan doa-doa agar dlilindungi sepanjang perjalanan.

Perjalanan kali ini, tidak singgah Melaka, kita terus menuju rumah tokmamapapa kerana kita akan ke Melaka pada cuti AidilAdha nanti. Ini bermakna, aku menyimpan 21hari rindu kepada tuan asben, sabar Syasya, sedikit hari sahaja lagi. Ku simpan rindu yang bertakhta di hati, aaagittu!

Perjalanan lancar sahaja, aku mengisi minyak penuh tangki dan tuan asben telah pun menambah nilai touch and go minggu dia pulang hari itu cukup untuk pergi dan pulang Johor. Alhamdulillah. Aku suka memulakan perjalanan awal pagi. Rasa masa tu akan jadi lebih panjang, tambahan aku tidak boleh tidur, waktu pagi aku adalah waktu paling terbaik untuk aku berkerja kerana tenaga masih banyak.

Aku hanya bertemankan Kopi Ala Kazim dan gula-gula, lapar gila tapi daktiga, enak betul tidur memeluk bantal sedangkan beg bekalan di tempat kaki mrPA, Arrizqi. Merentasi daerah-daerah Negeri Sembilan dan hujan turun sewaktu di Melaka, kita jumpa nanti Jasin Merlimau, kita tumpang lalu dulu. Masuk sempadan Johor, cuaca kembali terang, syukur segala pujian hanya bagi ALLAH. Kita berhenti di hentian Machap untuk shopping, aku teringin betull nak makan kerepek kacang dhal, aaaa sedapnya. Arrizqi turun menemankan aku ke tandas, dia hendak cari air minuman sekali. Kembali menyambung perjalanan dengan mengunyah kerepek kacang dhal.

Tokmama menghantar wA agar tidak membeli makan tengah hari, beli hanya untuk kita berempat sahaja kerana dia baru balik kenduri dan bawa nasi berkat. Sebelum sampai rumah tokmama, kita makan tengah hari dahulu di kedai makan Citarasa Thailand, gitulah kot. Kedai makan teman tokmama, makPah. Aku teringin makan sardin tapi biasalah bila tengok banyaknya pilihan lauk akhirnya memilih asam pedas ikan pari sahaja, eh Arrizqi pun sama. 

Melihat aku mengatur daktiga staff bertanya kepada Arrizqi dan Adli sewaktu mereka berdua mengambil nasi.
"kakak ke?" dia sepertinya konpius. Aduhaiii sudah tengah tahun 2025.
"taklah, emak. Kakak yang tu!" Arrizqi menunjuk kepada Auni berdiri berdekatan sedang berfikir hendak duduk di meja mana satu.
"emaknya nampak muda betul, umur berapa?" staff bertanya aku pula sebaik aku selesai membelek lauk di tray hidangan.
"41, kita anak mama la. mama Saloma, mesti kenalkan?" aku memperkenalkan diri. Staff menatap mukaku sambil berfikir.
"ooo, kenal-kenal. Nak minum air apa?" mestila kenal, mama Saloma tu one and only semua orang disuruh panggil dirinya mama.

Selepas makan tengah hari, singgah mengisi minyak dahulu dan terus ke rumah tokmamapapa. Aku mau qadha tidur. Kami sampai di rumah tokmamapapa tepat jam 2petang. Alhamdulillah.

Untuk tatapan tuan asben/abie

kemain syoknya.

Sampai.

Makan.

Makan malam dibelanja tokpapa.

teman tokmama/mama shopping barang dapo.
outfit tokmama bagi on the spot dipakai, ahaaah!

jalan-jalan shopping di 7E cafe.
tokmama mengadu pada tokpapa ada jual pisang satu biji rm6.


Aktiviti rumah tokmamapapa, sememangnya main game, layan drama, mengunyah, shopee(ing) dan memunggah baju dalam kabinet. Kita sama-sama get ready untuk menu AidilAdha dan berkemas untuk pulang semula ke Selangor.

Monday, 2 June 2025

Ditinggalkan Daktiga.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sudah tiga hari aku menyenaraikan tugasan untuk hari bertolak pulang ke Johor nanti, hendak meninggalkan rumah tanpa tuan asben merupakan satu tugasan yang perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin. Dalam pada berbalas wA dengannya, Mija (adik tuan asben) meminta kebenaran untuk dia membawa daktiga pergi menonton wayang. Emak, rasa berat hati untuk melepaskan namun yang meminta itu adalah adik kesayangan aku juga.

Masalah lainnya, paip sinki dapur yang tersumbat masih belum diselesaikan lagi menjadikan aku berada dalam situasi dilema apabila tuan asben menyatakan tukang paip akan datang pada hari Mija hendak membawa daktiga pergi. Tambahan masalah lagi, tugasan mengemas rumah perlu diagihkan kepada daktiga samarata, masakan aku hendak buat kesemuanya seorang? nehi.

Dengan pujukan Mija dan tuan asben, makanya daktiga kulepaskan jua untuk pergi bersama Mija, Mija datang bersama Afiq dan Aleesya merupakan sepupu daktiga anak kepada kakak sulong tuan asben. Sambil daktiga bersiap menunggu kedatangan Mija yang akan mengambil mereka, aku mengemas rumah. Selesai sahaja mengemas tukang paip datang bersama dengan Pak Wahab (pakcik guard merangkap pembantu tuan asben tatkala diperlukan). Elok juga sebelum aku tinggal keseorangan nanti.

'Seperti pernah kulihat tukang paip ini, tapi di mana ya?' aku melihat sahaja proses pembebasan paip yang telah menjadikan dapurku banjir dengan air sisa makanan. Aku telah berusaha mengerjakannya selama dua hari dua malam pakej Adli dan Arrizqi ikut sama meriuhkan suasana. Arrizqi, dawai pun dia tak tahu, pening kepala aku dengan dak gen z ni. Entah apa dibelajar di sekolah gaknya tetapi di Google nya  juga. Dia tahu kasa dawai, aku panggil dawai kasar yang sepatutnya kawad dawai, ergh! dedua memeningkan.

Jam melewati 11pagi, Mija sampai dan daktiga sudah sedia menunggu, tukang paip pun sudah berjaya membebaskan sisa makanan yang tersangkut, sinkiku sudah boleh beroperasi dengan seperti biasa,
"nak guna asid ni, puan kena letak air dulu baru tuang asid, baik-baik jangan kena tangan atau mata, tidakpun jika tersumbat lagi puan panggil je la saya, saya buatkan." tukang paip memberi penerangan penuh.
"puan tahu air kelapa di simpang tiga kedai cina bawah tu?" tanyanya kepada aku. Jap, air kelapa kakSiti tu ke? eh Siti ke nama gerai tu?
"haaa, patutla muka macam biasa je tengok." aku teringat ada seorang kawan tuan asben suka menyapa aku sekiranya kami berselisih, tapi bukan yang ini. 
"tahu ye?"
"tahu-tahu, ok baiklah. Selalu beli air kelapa di situ, lahaiii nak bayar berapa ni?" aku bertanya kerana dia membeli asid tu dengan wangnya tadi. Kawad dawai pun dia yang punya.
"ikut puanlah, asid tadi saya beli rm20" jawabnya. Aku hulur sampul berisi lebih RM20 atas arahan tuan asben. Dan kami berterima kasih bersama-sama. 

"nanti akak kena bersihkan tu kak." kata Mija sewaktu dia membuat pemeriksaan sinki dapur yang telah dipulihkan. Lantainya memang comot, bau takyah cakaplah. Bikin fening.
"ha a, memang nak mop satu rumah kejap lagi lepas uols bergerak." jawabku.
"Afiq cepat, kata nak tukar baju. Jom, cikSu tak pernah pergi OU tu nanti sesat." arah Mija. Afiq sudah berkepit dengan Arrizqi, sepupu berdua tu memang rapat benar. Aku menghantar mereka dengan iringan doa supaya selamat ke destinasi. Tinggallah aku mengemas rumah kerana kita akan pulang ke Johor pada hari esok. Mija bawa daktiga atas arahan Abah mertuaku, dia berhasrat untuk membelanja cucu-cucunya sempena hari ulangtahunnya jatuh pada hari esok. Hari ini pula hari ulangtahun tokPapa, comel ja ulangtahun besan sebelah menyebelah.

Selesai membersihkan rumah, aku beralih kepada dapur, kubereskan semua sekali supaya otakku tidak perlu banyak berfikir. Setiap 30 minit, Mija menghantar gambar kepada aku, hehe. Emak tak pernah berpisah dengan daktiga sebegini, ini kali pertama berpisah bukan ke sekolah. Mereka pulang jam enam petang, bersolat Asar dan Mija bertolak balik menghantar Afiq dan Aleesya pula. Terima kasih Mija.

"nah, saya tak guna pun duit umie bagi." kata Arrizqi sambil hulur IC dan wang RM20.
"thank you abang, abang belanja kitorang tadi." sambung Arrizqi lagi.
"duit umie bagi, terima kasih umie." kata Adli pula, aku dah gelak, memang tak harap daripada Auni, Auni kedek sikit jika part keluarkan wang.
"kakak?" tanyaku saja.
"kakak simpan." jawabnya ringkas. 
"korang simpanlah IC sendiri, jaga macam jaga diri sendiri." arah aku.
"saya taknak, umie simpan dulu." Arrizqi anak manja mak macam biasa, hehe.




Malam itu kita sama-sama mengemaskan kandang kucing dimana kesemuanya kena duduk satu kandang, hahaaa. Nasiblah situ, si Vico terpaling rimas dan bising sekali. Krimer dan Vico sila jaga adik-adik okey. Kitorang nak hoholiday, paipai! Nama lain yang telah dikesan, Mocha dan Sleepy, empat lagi belum ada nama. 

Nanti aku blogwalk okey, sedang ulangalik China, Korea dan Jepun ni, kekekeke!

Entri edisi campak belakang.

Saturday, 31 May 2025

Pameran Buku PWTC 2025.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

"umie, kakak dengan Intan nak pergi pesta buku." suara Auni sewaktu dalam perjalanan pulang sekolah.
"saya takde rancangan hendak pergi tahun ni, tahun lepaskan dah pergi. why not u pergi sendiri dengan Intan." sesungguhnya aku sendiri tidak rela melepaskan pun, don't you dare going without me, saja hendak menguji.
"alaaa, umie ikut sekali la, ada Fara, Iman tak tahu lagi, ayah dia susah sikit." pujuk Auni lagi.
"nantilah, saya susun jadual dulu. Saya nak kena kumpul kekuatan ni, kita balik Johor tanpa ur abie." jawab aku ibarat separuh emosi dah terbang.
"yeay, umie kan dah pernah journey dengan weols, siap singgah jumpa abie lagi. takpe, nanti kakak tolong temankan." tanpa putus asa Auni memujuk lagi, ye la tu teman. Walhal dia orang pertama akan tidur sebaik sahaja kita memulakan perjalanan.

Setelah berbincang dengan tuan asben, dia memberi kebenaran untuk aku temankan Auni dan Intan ke Pesta Buku Antarabangsa, KL tahun ini yang telah bermula seminggu yang lalu. Pada hari kejadian, Fara tidak jadi ikut  kerana tidak mendapat kebenaran keluar daripada ibubapanya, mungkin mereka tidak begitu yakin dengan kredibiliti aku as a mom, penjaga anaknya nanti. Tidak mengapalah. Rasa janggal pergi bertiga aku mengajak adik iparku Mija, yang dipanggil ciksu oleh Auni. Aku akan menunggunya di stesen LRT PWTC sahaja.

Perjalanan kali ini, lancar. Kita dihantar oleh Linda ke stesen MRT seawal jam sembilan pagi, tidaklah awal pun apabila orang sudah pun laju bergerak menuju destinasi masing-masing. Kali ini kami hanya bergerak dengan Touch and Go sahaja, kena pastikan nilainya cukup untuk perjalanan pergi dan balik. Tidak renyah untuk bergaduh dengan mesin beli token, hehe. Alhamdulillah. Banyak gelak daripada berbual. Entah apa-apa. Intan, aku perasan dia pakai tudung terbalik, tidak sempat sampai ke washroom, rupanya dia sudah betulkan sewaktu dalam kereta Linda tadi, macam magic.

Sampai di Stesen MRT Titiwangsa, kita bertukar tren LRT pula untuk ke PWTC, walaupun satu stesen, jika berjalan kaki mau lencun dengan peluh. Kita menunggu ciksu Mija di LRT PWTC, dia sampai tidak lama kemudian. Comel macam biasa. Adik tuan asben sedang menunggu tawaran mana-mana tempat belajar yang dipohonnya. Hendak berkerja abah tidak lepaskan, hendak duduk jauh-jauh, nanti abah sunyi. Hanya dia peneman abah di rumah, siap abah hadiahkan kereta untuk dia, siap tuan asben hadiahkan motosikal untuk dia, rezeki Mija jaga abah. Dengar sahaja aku keluar dengan Mija, lekas-lekas tuan asben top-up duit belanja. Terima kasih daun keladi, ada lagi tambah la banyak lagi!

Jadi kami bergerak ke pesta buku sebaik sahaja Mija sampai, berkicap juga. Gerai di luar dewan baru hendak memulakan operasi. 
"makan dulu atau jalan dulu?" tanya aku.
"jalan dulu umie, nanti ramai kat dalam tu." jawab Auni.
"betul juga." ok, kita set jam, set the step nak briswalk. Jika sudah niatnya temankan Auni dan Intan, maka memang tidaklah aku berhasrat untuk membeli apa-apa. Iya kah, pasti!?

Syasya dan buku berpisah tiada, lagi-lagi nampak reruai Daie Kreatif Venture (DKV) yang tahun lepasnya bukan main susah ditemui. Disambut pelukis komik Imanimex sendiri dengan ramahnya, tidak memasal aku memborong semua komik yang dilukisnya sendiri. Aigooo! Kemain hebat dia meracun aku supaya membeli, buku komik ilmiah. Best juga, hendak baca novel panjang-panjang, aku malas. Dia bertanya, mana satu anakku? aku memperkenalkan Auni, Intan dan Mija. Dia nyatakan emak pun dah nampak sebaya je ha, keke!

Kita berjalan dan mencuci mata, Intan dan Auni asyiklah hilang dalam keramaian. Lega juga ada Mija, tidaklah aku keseorangan. Sememangnya hari ini untuk Auni dan Intan. Kita sempat main treasure hunt di reruai Iman Publication sambil menunggu Auni dan Intan beratur untuk membayar hasil mengailnya. Cukupkan empat cop dan redeem the gift, tidak pepasal terjebak. Aku bersama Mija yang pada awalnya membelek tajuk buku, bila orang semakin ramai kami beralih main stamping. Dapat redeem, baucer KFC dan diskaun jika beli buku di Iman Publication. Malangnya Auni dan Intan sudah pun membayar buku yang mereka beli tanpa sempat dapat diskaun. 

Naik lagi satu tingkat, menunggu Auni dan Intan lagi bershopping untuk kawan-kawannya pula, baiknya lahaiii. Aku dan Mija menunggu di reruai Al Hidayah House. Bagus anak-anak, korang bagi mak tempat menunggu yang menginsafkan. Mahu sahaja aku membeli satu Ensiklopedia Rasulullah berkulit tebal namun melihatkan tulisannya halus bebenor, aku membatalkan hasrat. Lawa-lawa design kulit buku, memikirkan aku tidak bawa beg sandang, makanya beli yang tipis-tipis sahaja.

Selesai, aku bertanya mereka sama ada mahu shopping lagi atau keluar daripada situ kerana orang semakin padat, jalan pun sudah tidak nampak lantainya. Mereka mengajak keluar, jalan melalui truck menjual makanan, banyaknya. Namun, kita hanya berlalu pergi, bawa ge'girl' kan? semua sabar bila part makan. Macam biasa kita melawat Sunway Putra Mall untuk cari tempat makan tengah hari. Auni dan Intan sudah aim Mr. DIY, LAH! Kita makan di Secret Recipe, masing-masing dengan menu tersendiri. Intan dengan nasi goreng, aku dan Auni memilih pasta dan Mija dengan chicken butter. Air pun weols share sahaja, Auni coffee hazelnut, Mija epal asam boi, aku dan Intan air masak yang di bawa sendiri bagi mengurangkan bebanan beg.

Selepas makan, berjalan lagi di mall untuk mencari Mr. DIY, dalam perjalanan berjumpa pula dengan deretan Bakhlava from Syria. Alahaiii ini sangat menggoda. Ini kegemaran aku. Sukanya. Satu box RM40, aku beli dan aku makan seorang, huhuuu. Bila lagi! Keluar kali ini, aku berjaya tidak mencari coffee. Syabas Syasya! Sambung lagi, menuju Mr.  DIY. Aku dan Mija duduk bersila di hadapan pintu masuk Mr. DIY, kitanya menua. Lenguh betul kaki aku. Auni dan Intan menghilang lagi. Aku buka Bakhlava, makan satu, buat macam di rumah pula  siap berlunjur kaki duduk bersandar, ahahaha. Datang dua orang lain, duduk sebelah buka bekal, eh? memang baik punya port ni.

Aku merayu Auni supaya cepat, kejap lagi kita perlu menunggu bas, nak drive lagi. Cepat? tidaaak. Sambung shopping dalam Noko pula, aku hanya beli pewangi dan Mija beli tempat makanan kucing, ahahahaaa. Dapat plastik lutsinar pula, Mija ajak masuk Brand Outlet (BO) untuk dapatkan beg plastik canggih sikit. Eh, aku jumpa kasut sama persis dalam chart ttshop aku wei, ermmm. 

Habis sahaja shopping, ayuh kita pulang. Kita berpisah dengan Mija di stesen LRT PWTC. Tukar naik MRT di Titiwangsa dan terus pulang ke Sg. Buloh. Ngam-ngam tidak lama kemudian, bas pun hendak bergerak, kita turun di sekolah kebangsaan kerana di situlah aku meletakkan kereta tadi. Membeli ayam crispy kiriman Arrizqi dan menghantar Intan pulang ke rumahnya. Tidak berhasrat untuk ke mana-mana maka terus balik rumah. Kepenatan.

Di rumah, barang-barang ttshop mula tiba satu persatu. Alhamdulillah, sudah surut sikit chart ttshop aku, ahahaha! Aku beli mini vakum brand Simplus. Best-best! Aku beli baju kurung. Aku beli mini periuk nasi ngam-ngam untuk masak empat orang. Semoga my tuan asben terus dilimpahkan rezeki berkah melimpah ruah. Alhamdulillah. Sekian cerita PBAKL tahun 2025 ini, ada rezeki continue nextyear. Suka!

bila kau depan, memang HD la kekdahnya.
some of my friend said, semua nampak sebaya apabila gambar ini dimuatnaik di status wA.

Auni dan Intan.

ralit main ni, mengisi masa.

makan.

pencuci mulut.

nanti jumpa lagi okey.

berat jugak.

begitulah kehidupan.

iya, terbeli. RM45. tak puas pakai kasut putih sekolah dulu.


HAPPINESS is FREEDOM

 

Wednesday, 28 May 2025

Ujian Meningkatkan Kesabaran.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Jam menghampiri 10malam, ok masa untuk kemas meja kerja, makan malam pun sudah selesai, dapur sudah berkemas, buka Netflix, cari kudapan, bentang tilam, time for landing sambil menonton The Starry Love. Mula macam so-so je citer ni, eh melekat pula hendak menyampaikan episod terakhir. Kejap terlena, kejap tersedar undur semula scene Starry Love sampailah terdengar bunyi mengiau yang panjang.

Makin lama makin nyaring pula, tepi telinga je bunyinya ni. Suaranya halus tetapi nyaring. Argh sudah! aku buka mata besar-besar mencari punca siapakah punya suara membingit telingna di hari hampir ke tengah malam. Mata ku liar seisi rumah yang sudah separuh gelap, Krimer dan Vico catwalk dari arah dapur, memasang telinga juga, kepala keduanya tegak. 

Aku pasti ini bukan suara Vico, suaranya besar sedikit. Aku buka lampu suluh di handphone menjengah bawah sofa.
"alaaaaaaaahaaaaaiiiiiiiii Latte!" suara aku mengeluh, dalam hati rasa nak memaki. Sebenarnya aku dah kurung si Latte ni, untuk ia beranak dalam sangkar yang semuanya dah disediakan. Tuan asben la ni, gatal pergi keluarkan dan tidak dimasukkan semula. Ergh! 
"Kenapa umie?" Arrizqi datang menunduk gaya sama dengan aku. 
"Latte dah beranak, ada dua ekor." aku menjawab sambil berfikir macam mana aku hendak ngejakan. Bawah sofa nyah! mau tidak kena angkat sofa ni, keluarkan warga si Latte. Ruang tamu kembali terang walhal tengah malam.
"Lah, umie gunting je alas hitam tu, nanti angkat sofanya." kata Arrizqi. 
"ada tiga ekorlah anak dia, umie gunting dulu benda hitam tu, nanti saya tolong." tawar Arrizqi. Dia keluar membuka kandang dan mengambil besen. Jam 11.30malam weih. Aku dah lali-lali kena berkerja. Nama Adli pun kujerit sama, suruh membantu Arrizqi. Mereka berdua memindahkan Latte dan kiddos masuk sangkar. Sofa sudah pun diangkat untuk memudahkan proses membersih. Kerja-kerja membersih siap dengan seadanya, esoklah sambung deep cleaning terus, fuh! apa-apahal tidur dulu.

Sebaik hantar Auni ke sekolah, aku mengadap sangkar Latte dan bala tenteranya, bukan dua ekor bukan tiga ekor anaknya tapiiiii enam ekor. Noooowh! banyak kau. Aku hantar gambar buat si bapa aka tuan asben, macam biasa dia hanya bagi arahan sahajalah. Maleh aku! Aku tukar alas kotak, topup makanan dan air untuk Latte. Hang dudukla dulu jaga anak, jangan harap dapat keluar sangkar, lepas mandul baru kau bebas, ada faham! Ngiiiiiiiaoaaaaw! - ok bagus.
"ada berapa ekor anak ia umie?" tanya  Adli.
"enam." aku menjawab pendek sambil menguli si Vico dan Krimer yang landing atas sofa sama tempat aku duduk.
"banyak betul!" itu je respon si Adli.

Awal-awal ni harmoni je lagi, tunggu le besar si Vico - Krimer ni esok, mau terbalik rumah aku. Vico dan Krimer ni pun anak si Latte juga. Seekor lagi Kopi, suka sangat masuk bawah kereta, ikut tuan asben keluar hilang di pertengahan jalan. Udahlah gelap gelita bulunya, hilang tanpa khabar berita. Okey sekian cerita di satu hari di tengah malam. Kita wait and see je la dorang membesar.

semoga bertambah dakkutip ni, bertambah tinggi jugalah kesabaran aku.

Tuesday, 27 May 2025

Ais Krim Yang Mencair.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Akhir-akhir ini, aku craving dengan ais krim potong kacang merah, harga pun singgit dimakan sebaik sahaja selesai makan nasi. Stok dalam peti sudah habis, makanya petang semalam sebaik nampak kelibat Arrizqi balik sekolah, dengan tidak berfikir panjang memborong ais krim potong sampai RM6 dan entah apabenda lagi si Arrizqi beli jadilah RM12.50. Bila Adli masuk kereta aku tengah layan ais krim poli yang sudah bocor plastiknya, aih! melekit. 
"wei, saya lupa la nak pergi sc tapi pergi beli ais-krim pulak." bebel aku sambil mata memerhati sekeliling, suasana masing terang dan perkarangan sekolah rendah itu agak lengang kerana sekolah rendah tutup hari ini.
"kalo balik rumah dulu, saya dah malas hendak keluar semula." menunggu pendapat Adli-Arrizqi.
"ajom pergi sc, sempat la umie!" Adli menjawab pantas.
"tak cair ke? satgi meleleh bagai." aku beralasan.
"boleh je umie, balik nanti boh la dalam cawan." Arrizqi di tempat duduk belakang menyampuk. Oke nampaknya semua hendak pergi sc.

Bila sampai sc, dapat parking cun-cun ja, Arrizqi tarik bakul seraya memilih coklat.
"boleh beli sampai berapa umie?" tanya Adli sebelum hilang di rak biskut.
"beli je la apa abang nak makan." aku menjawab, memang selalunya begitu. Paling tinggi pun RM200 sekali belanja. Bawa dak berdua ni, dorang akan membeli sambil mengira, masih dapat beli semua barang namun harganya masih di bawah RM200. Sampai pertengahan, rasa macam banyak pula hendak dibeli, dari bakul tukar troli. Arrizqi tolak, Adli jaga depan. Troli pasaraya biasa dengan ketidak synchronize nya. 

Jalan-jalan cuci mata, aku beli apa yang tiada di rumah sahaja dan sendiri hendak makan, urusan bekalan stok kudapan serah pada daktiga, kerana mereka sahaja yang makan, jika aku pandai-pandai makanya tidak berusiklah makanan tu nanti.
Leka berjalan turun naik pasaraya, barulah teringat ais krim dalam kereta. Eh?
"wei ais krim cair, jom balik. Korang pergi kaunter dulu, saya nak cari minyak masak." aku menghilang di rak kawasan belakang dan Adli muncul.
"cepatlah, lepas ni turn adik" muka cuak si Adli, ahahahaaa. Ghisau kome ye! 
Tiba giliran kami di kaunter bayaran Adli tarik aku menjauhi meja kaunter, dia dengan Arrizqi menguruskan barang-barang, aku hanya swap mydebitcard dan memandu pulang sahaja, ooogitu!

Balik rumah, Auni sambut barang dagangan di muka pintu. Arrizqi berlari menyelamatkan ais krim yang sudah cair. 
"okey tak eskrem saya?" tanya aku memecah keriuhan didapur, mereka mengemas barang.
"ok tapi bentuknya dah jadi lain." jawab Arrizqi.
"ada satu batang kayunya dah hilang, tenggelam." terang Adli membelek ais krim. Aku melihat sahaja dari pintu tengah dapur. Biar sahajalah di peti tu, nanti-nanti bekulah semula. Alhamdulillah, selesai satu hari yang tenang. Hari sibuk bakal bersambung lagi nanti. Sekian cerita ais krim potong.

eskrem potong sudah hilang sebungkus.
aku fikir, ceo drama china je pergi shopping smart macam ni, anak aku pun tergolong sekali rupanya. Yang belakang tu, hendak keluar kan baju pun dia minta permission masih lagi bertali leher.

tema black-white minggu ni, tudung bawu.

Sunday, 25 May 2025

Kasut. Kesilapan Mata Memandang.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bila celik mata, aku suka betul ukur tapak kaki aku dengan Adli atau Arrizqi, hahaaa! Jika ada tuan asben, aku buat benda sama. Entah, jadi tabiat lak. 

Dengan Adli aku sudah kalah tiga saiz, saiz 40. Dengan Arrizqi, eh? 
"umie kena belikan saya kasut baru." pabila aku membanding tapak kakiku dengan Arrizqi. 
"kasut saya dah bocor kat ibu jari." betullah tu kena beli kasut baru. Saiz seluar pun sudah menghampiri saiz abang. Abang naik lagi satu saiz apabila seluar tuan asben pun dikebaspakai. Adeih!

Bermulalah ukur mengukur tapak kaki. Disebabkan aku malas hendak bawa ke kedai, kita beli online saja. Try test coba. Bila ukur kaki Arrizqi size 39, hang biar betik Arrizqi? 
"confirm ke Syad?" aku bertanya, macam risau, macam kenapa besar sangat? tak percaya.
"confirmla, beli je la umie. Kalo besar sangat umie pakai, kalo kecik kita sedekahkan, kawan-kawan umiekan ramai." balasnya selamba. Gitu pula! aku pun check-out dengan selamba. COD rumah oren, sebab kakak SPXpress tu memang da cong baik dengan aku. Dulu, sama menggebang tunggu anak-anak balik sekolah. Alih-alih dia jadi kurier pula.

Bila sudah dua tiga hari senyap sepi tanpa khabar, aku jadi curious. Selalu tu, cepat je sampainya. Dan, barulah terbuka mata luas nak semak semula pembelian. Lah!!! not from Selangor, it's from China, aaahaaaah! bersabarlah ya. Jangka sampainya 26hb namun 24hb kak CT SPX sudahpun hantar notis untuk penghantaran. Yeay!

"Syasyaaa...!" kak Siti memanggil namaku sebaik melihat aku membuka pintu.
"risau akak, ingat Syasya pergi bersukan di sekolah." katanya.
"taklah, kita mana ada anak sekolah rendah lagi." jawab aku mengenakan tudung, tudung pun terbalik, lantak situ.
"eh, dah takde sekolah rendah? ooo ye la anak kau sebaya anak akak." dia tanya dia jawab. Lepas tu panjang lagi berborak di pagar sahaja, kisah kasut juga. Kasut barunya habis dikebaspakai oleh anak-anaknya, ahahaa. Masing-masing tengah membesar.

Aku menyuruh Arrizqi cuba kasut yang baru. Aku sarung, longgar nyah!!! size 39, lah sudah panjang betul kakinya.
"elok umie, ngam-ngam!" sebaik sahaja sepasang kasut baru disarung. Anakku membesar lagi, huuu....
"terima kasih umie. Sempat saya pakai Isnin nanti." katanya sebelum tenggelam bermain game dengan Adli. Ada kisah baca buku? tiada.
 
Sekian cerita kasut yang disangka pesan dari Selangor, rupanya China, hrmmm.
Brooch tudung pun sama, ku fikir ku order dalam Malaysia, lah China juga. Apa sudah jadi dengan otak aku masa hari membuat pesanan tempohari? entahla.


Thursday, 22 May 2025

Buat Aku Tersenyum.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Aku memulakan hari seperti biasa, hari ni happy sedikit sebab kakak Auni tiada sambung kelas lepas habis sekolah nanti, dia tiada kertas peperiksaan hari ini. Yeay, ada geng berborak bila balik nanti, ini kerana setelah dua hari berturut aku tidak balik dengan anak sendiri tetapi membantu membawa teamkakmidah yang lima orang namun semuanya mulut bagaikan terkunci, diam tanpa berkata. Hanya suara aku sahaja yang suka bertanya itu dan ini, YA ALLAH, I is jenggg!

Dorang memang tidak ramah betul antara satu dengan lain, sedangkan tiga orang daripadanya dalam satu kelas yang sama, satu aliran dan tingkatan. Pemalu ke? tidak geng ke? rasa macam eh korang ni, memang semua pendiam ke? bukan baru tahun ini pun mereka satu kelas, bahkan daripada tahun enam lagi. Dahulu, mereka sekelas dengan Arrizqi dan Nazir (anak kakMidah), naik tingkatan satu hanya Arrizqi dan beberapa yang lain memilih kelas aliran biasa di sesi petang, berbanding Kelas Aliran Agama di sesi pagi. Bila semuanya sudah krik-krik-krik aku sambung karaoke je la macam biasa, nasib situ.

Selesai hantar semua berlima pulang ke rumah masing-masing, aku masih berborak dengan Auni, bercerita tentang hari happy day satu kelas hari ini kecuali beberapa orang yang ambil kertas Tasawur Islam. Sampai rumah emak terus sambung tidur sekejap mikirkan masak tengahari pun sudah suma tinggal angkat jemuran saja sekejap lagi. Hari ini terlalu mengantuk, mungkin sebab puasa dan kekurangan minum air. Bangun solat Zohor dan sambung buat quilling sambil layan Wang Hedi drama The Guardian of Dafeng. 

Petang ini aku tidak berhasrat untuk duduk bersembang sementara nunggu Adli dan Arrizqi pulang sekolah, kepala memikirkan rancangan esok hari, tangan membelek komik Slam Dunk. Sedang jauh berfikir, tingkap kereta diketuk. Linda, Nada dengan kakMidah menjengah, eh? kenapa? sememangnya, aku meletak kereta diantara kereta mereka berdua. 
"sya, sorry lambat, naaaah!" Linda hulur sekeping kad dan beg kertas, alaaahaiii! 
"terlajak birthday, selalu dengar terlajak raya je kan? kali ni terlajak beday, sorry tau lambat"
"aduhaiii kenapa comel sangat korang ni" aku buka kad membaca semua ucapan dalam tulisan tangan, aku sukaaa sangat! kakMidah pula ambil giliran, dia meletakkan beg kertas sebelah beg kertas Linda tadi di kerusi penumpang depan.
"sya, kad tu kira sekali tau, selamat hari lahir!" ucap kakMidah. Mama, me is going to cry.
"alaaa... kenapa susah-susah sangat ni. Bukan hari tu dah wish ke? kita suka yang macam ni je." aku angkat kad ulangtahun tadi. Aku belek lagi. Sambil mereka membebel dan bersembang menunggu anak masing-masing.
"tak cantik macam sya buat tau, sorry." Linda lagi, sudah berapa kali dia minta maaf. Semua orang tidak buat salah pun, why? why? aku suka kad dan ucapan bertulis tangan dibuat dari bahan kitarsemula, entah. Kreatif tu tidak ada yang salah, cantik di mata penggemarnya. Terima kasih, Linda, kakMidah, Fajjida, Nurul, Qatrunnada, Qisya, Shakeel, Qhaseh dan Qalesya, korang memang sweet, sayang ketat padat sampai tak muat.

Sebaik sahaja Arrizqi masuk kereta, mereka semua bersedia untuk pulang ke rumah masing-masing, aku masih tersengih membelek kad pemberian mereka. 
"dapat hadiah lagi umie" kata Arrizqi.
"Syad, pergi beli eskrem potong dua" arah aku sambil hulur wang RM10, kacau betul aku nak layan perasaan. Sebaik sahaja Adli masuk kereta, dia membebel pinggang seluarnya sempit, dia yang dah besar seluar dipersalahkan, maleh aku. Sampai rumah, aku menyambung membelek hadiah lagi, tak boleh move-on. Kad ucapan tu, kreatif sangat!

Sekian hari yang biasa-biasa jadi luar biasa sedikit. Semoga hari pembaca baik-baik sahaja. Selamat berhujung minggu, kekanda ku pulang minggu ini, yeay! hati munga-munga. Nanti kita balas berkunjung okey. 

terpaling mahal.
sweet besfren ever.
buat love ye, comel tau siap pin macam hantaran.
she pasang cctv at my tiktok rasanya ni, she tahu warna tudung yang belum check-out.
pantang dengar aku nak diet, she order she bagi rasa. hmmmm...

= Sahabat Sejati, Kini dan Nanti =

Wednesday, 21 May 2025

Misteri "x".

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Masuk minggu ke dua daktiga menghadapi Pentaksiran Pertengahan Sesi Akademik (PPSA) 2025, bahasa pasarnya periksa tengah tahun. Sebagai emak, aku hanya mengerah dorang membaca buku dan melayari nota subjek di tiktok, hahaaa. Lawa-lawa kot nota yang dikongsikan, aku pun jadi hendak ikut belajar sama. 

Aku tiada masalah sangat dengan Auni dan Arrizqi yang nampaklah juga "belajar"nya cuma si Adli, yang nombor dua, penghidupannya itu sama je, peperiksaan atau tidak "saya kan dah masuk tidur awal." gitu je? gitu je? at least berlakonlah sikit. Buat rasa-rasa vibe peperiksaan. Petang semalam, Arrizqi turun dahulu mendapatkan aku. Senyum.
"Sains tu, senang je umie. Yang saya baca semuanya keluar." ujarnya sambil diperhatikan kakMidah dan Linda.
"Matematik?" aku bertanya.
"okey je, awal-awal tajuk senang." jawabnya sambil berlalu ke kereta. Itu Arrizqi. 

Tidak lama kemudian Adli pula sampai bertanya sama ada emak ada beli kudap-kudap atau pun tidak.  Semalamnya, dia sudah kongsi ayam gunting dengan Arrizqi. Emak jawab tak ada, jom balik makan di rumah saja.
"so macam mana misi mencari x?, okey ke soalan?" emak bertanya.
"saya tak hafal satu rumus, tak sempat hafal Syafik ambil kertas umie print tu." lah! Matematik, kena banyak buat latihan.
"jadi tidak jumpalah dengan x?" tanya emak sambil tergelak membayang perbualan Isnin lalu.

"Matematik senang tak Ersyad?" emak bertanya sewaktu dalam perjalanan balik sekolah.
"senang je" jawab Arrizqi, dia dengan Auni memang suka matematik. 
"mana ada senang, adik tunggulah tingkatan 2 nanti, asyik kena cari x je!" tiba-tiba Adli menempelak. Emak diam, mencerna. Dalam fikiran, iya tak ya juga. 
"x ada sebelah y" jawapan Arrizqi buat aku tergelak, laju kepalanya berfikir. 
"nama je matematik tapi semuanya huruf abc, xyz punca kuasa, tiba-tiba cari x? lah! apa masalah dengan x tu pun taktahulah! misteri betul!" Adli meluahkan rasa berbukunya, membuatkan emak pun jadi berfikir sama. Aku dulu pun kena cari x juga? kaaan?
"kat jawapan takde ke bang? x sebelah y" Arrizqi meng'api'kan perasaan si Adli. Walhal dia pun mengadap sama je, cuma Arrizqi ni nampak suka belajarnya.
"adik tengoklah nanti, daripada tingkatan 1 sampai tingkatan 5, asyik cari x ja villain betul." part ni emak dah berdekah. Berdendam betul Adli dengan Matematik. Lama lagi hendak habis sekolah Adli.
"abang berdendam betul dengan x ni!" emak menambah, macam rasa boleh meredakan emosi Adli.
"entah apa gunanya si x tu bila lepas sekolah, cukupla saya tahu kira tambah, tolak, darab, bahagi, nilai duit, untung, rugi" bebelnya lagi. Ya ALLAH anakku! emak hilang kata-kata. Hendak menyokong, perkataan terbaik hanya tersekat dalam kepala sahaja. 
"takpela bang, abang score mana yang boleh, saya taknak markah tu merah. Itu ja!" emak percaya, Adli sejenis nampak tak belajar, bila keputusan dia boleh cemerlang. Selalunya memang cikgu sahaja yang akan nampak potensi dia.

Hari ini kertas Pendidikan Islam dan Sejarah, kata Arrizqi boleh cair otak hendak kena baca semuanya. Emak hanya gelak, emak tolong mana yang boleh sahaja. Selebihnya diri sendiri kena berusaha. Minggu peperiksaan jadual waktu balik Auni pun tidak menentu, ada hari balik awal ada hari balik lambat kerana ada kelas tambahan. Apa-apa yang berkaitan belajarnya ni, semuanya kena bermula awal. Sekian bebelan emak-emak.

Borak dengan anak-anak SMK ni, kena jadi macam member, baru seronok. Semoga diterangkan dan ditenangkan hati untuk menjawab soalan peperiksaan. Sikit je lagi, minggu depan cuti sekolah pun bermula. Let's go!

abang-adik.

my chaotic duo

with daktiga