Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Wednesday, 30 October 2013

Gembira.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


"Are you ready kids? A...yey captain"
Anak-anak, kanak-kanak, budak-budak, perkataan lain perangai lebih kurang kegemaran sama, bermain. Serius, aku cuak bila abi kata dia balik kerja macam biasa, bila dia kata dia on the way, ada apa-apa pesanan ke?, bila katanya nak balik rumahla ni...

Rumah? Ye balik rumah, rumah yang sangat tunggang langgangnya, rumah yang sudah tidak nampak lantainya, tiada ruang untuk dipijak, rumah yang bagaikan hampir hendak terbalik dikerjakan anak yang tiga ini. Tiga orang bagaikan ada sepuluh orang. Gila kentang.


Dengar sahaja bunyi pintu pagar, yang namanya anak-anak ini bagaikan histeria, terjerit, terpekik, teriak "abi-abi-abi" grill di pintu, di pintu longsor bergegar, nyaring bunyinya bagaikan hendak runtuh digegar, seorang harus lolos keluar, seorang panjat naik seorang tukang gegar. Aduhaiiii anak.

Aku? Berguling, berlari, berlari anak, macam buat warm-up sebelum berlari 100 meter, mengutip, membaling, menyimpan, menyapu, mengemas mainan dorang. Tidak sanggup melihat abi mengeluh letih sebaik sahaja melangkah masuk dalam rumah. Kebiasaannya, apabila abi masuk aku sedang mengacau air minuman di dapur, hehe.

Ruang yang tunggang langgang tadi kembali bersih dan kemas, walaupun hanya seketika. Jika abi balik lewat pagi, aku cuma mengemas alakad, biar hatinya lega meskipun dia tidak pandang persekitaran ruang tamu, terus sahaja mendaki anak tangga ke bilik dan tidur. Bagus juga, bila aku bangun pagi sedia untuk memulakan tugas, hati jadi lega sedikit kerana tidak banyak yang perlu dikemas. Hihiii. 

Trio ini, memang aku bagi kelonggaran bermain apabila aku sudah sibuk dengan art atau pun melayan drama di tv. Banyak drama yang aku layan bila mood tiada untuk membiskut or membuat kek (poyo) maksudnya, prepare untuk minum petangla. Drama Indo tv3, Love In Paris - owh, jatuh cinta sama itu Dimas Anggara. Tagalog tv3, Be Carefull With My Heart, drama Filipina yang banyak sangat pengajaran. Tagalog Astro Bella, Jade. Pun sama tentang kekeluargaan yang penting hero kacak, huahuahua. Drama melayu tv3, setiap jam 4-5pm, banyaklah. Aku memang suka menonton tv.

Yeah, Disney Channel Junior pun aku layan, Princess Sofea tu, Adli pun tau "Ya, umi Ya" - katanya. Arrizqi suka Hi-5. Dia akan setia dengar lagu dengan kaki tangan badan bergoyang, yeah! dia menari tau sambil gelak-gelak. Trio ni major suka Pocoyo dan Taiyo. Adli Auni nyanyi lagu Taiyo, Arrizqi goyang badan. Kadang-kadang aku sampai berhenti buat kerja gelakkan dorang bertiga. Kelakar. Bagi la satu kiss seorang sebab tidak bergaduh. 

Bila Auni pancing Adli naik atas, Arrizqi akan ikut sama, dari bawah aku dengar kekekan ketawa. Lunak dan lemak, hati pun digamit-gamit untuk melihat apa keadaannya. Alahaiii, main babacak balik langsir je pun, kemain gembira bunyinya. Happy sangat tapi jangan ditegur, baik atau jaga adik atau tengok adik sebab tidak lama lepas tu karang adalah yang menangis. Jadi biarkan je walaupun selepas itu aku yang menangis tengok keadaan selepas mereka bermain, hewhewhew!

Adli, dia memang adil, dengan adik dia ok dengan kakak pun dia ok. Auni, dia konker mainan. Leader, bila adik-adik tidak ikut apa dia kata, siaplah tangannya mencakar-singa betina. Betul-betul cakar, Adli dapat, Arrizqi pun dapat. Tidak dapat cakar, dia gigit. Betul-betul gigit. Buat masa ini Arrizqi, ikut sahaja apa abang kakak buat. Banyak bersendirian dan lebih suka dengan abang. Pegang atau jumpa mainan, dan orang ambil apa yang dia pegang, dia akan lari sorokkan. Paling kelakar, dia sakat ambil bantal busuk Adli sampai menangis abang tu dikerjakan. Tidak padan kecil.

Tidak tahula tahun hadapan bagaimana. Masing-masing sudah besar, in shaa Allah kakak Auni sudah pun ke sekolah pertamanya. Mesti dua orang ini akan rindu kakaknya. Ihiks! Kita tengok nanti. Moga-moga aku masih lagi berblogging waktu itu. In shaa Allah.

Phew! Pagi-tengah hari dan malam. 

Membalik fungsi basikal.

Berkhemah sebelah meja makan.

 Kakak Auni dan Arrizqi.

 Abang Adli dan Arrizqi.

Throw back, kakak Auni dan abang Adli.

Ok, ini sahaja. Tiada nada mengeluhkan? hahaa, aku dah biasa la. Saja je hendak cerita kisah anak-anak aku yang makin besar, makin potpetpotpet dan sebenarnya kuat bergaduh juga dorang ni. Adik beradikkan? air dicincang tidakkan putus. Kejap je pastu sudah berlari main buaya-buaya. 

Aku hendak layan dorang baca buku kejap, dengarnya tadi Auni sudah berbunyi katak, Adli sudah pun melompat seperti katak, Arrizqi gelak sahaja, hahaa. Daaa...

Monday, 28 October 2013

Berdikari.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Konon, hendak update blog setiap hari, haih! lap peluh. Barula sedar tangan cuma ada sepasang sahaja. Kiri dan kanan, hihii. Banyak sangat aktiviti yang hendak dibuat, lelebih lagi kalau sudah mula 'menurun' memang lupa segala. Syok sangat bila sudah dalam dunia buat 'projek' memang kerja lain akan tolak tepi lelebih lagi bila trio masih mood senyap. Tidur.

Ramai juga yang pelik melihat aku masih mampu buat art disamping menjaga trio tu. Kerja rumah, sememangnya tidak pernah habis, apatah lagi bila keseorangan tanpa abi meladeni kerenah anak-anak. Letih memang letih tetapi bila melihatkan pending order yang tidak surut-surut kena ada inisiatif dan kena curi-curi masa untuk membuatnya.

Sudah namanya pun hobi, makanya kita buat jika punya masa terluang sahajalah. Bila sibuk dengan anak-anak memang aku tidak akan sentuh langsung art, kadang-kadang masak, cuci pakaian pun aku tolak tepi, anak come 1st. Anak-anak ni pun ada mood, kena bagi apa yang dorang hendak, kena layankan, macam Adli Arrizqi bila paksa dorang tidur, dorang akan cari pangku emak. Berebut. Tetapi jika tune dorang memang hendak tidur, bagi sahaja susu terus sahaja tidur syaratnya Adli mesti sebelah Arrizqi atau sebaliknya. 

Lima hari tanpa abi, tidak pula abi hantar ke kampung makanya aku berdikari sendiri. Huaaa, struggle. Jika hari biasa struggle, hari tanpa abi menjadi berganda strugglenya. Sabar je la, emak tidak biasa ditinggal sendirian begini. Hendak menangis pun ada. Akan tetapi, alah bisa tegal biasa. Jika tidak bermula sekarang, esok lusa kena lalui juga, makanya kena kuat mental dan fizikal lebih daripada hari biasa.

Tambahan lagi abi bukanla seorang yang suka melaporkan aktivitinya bila pergian. Jika dua minggu dia kerja di luar, dia hanya akan beritahu aku sebelum dia pergi dan ketika dia pulang. Itu sahaja. Sedih juga, tapi hendak macam mana, aku mengadu pun bukan dia boleh datang dengan bersegera, sama ada hendak atau pun tidak, kena lalui jugalah. Hihiii.

Cemburu juga bila melihat orang lain ke sana ke mari pergi bercuti, ikut suami pergi bertugas, suami rajin membantu menguruskan rumah, anggap sahajalah rezeki masing-masing, lain orang lain rezekinya, lain pasangan, lain caranya. Mungkinlah. Aku? hanya menunggu pelangi indah selepas hujan, pelangi yang kadang ada, kadang tiada, kadang nampak jelas, kadang hanya samar, tapi tetap cantik dipandang mata. Pelangi ada tujuh warna. Positif.

Pelangi emak.

Yeah, aku ok je. Cuma anak-anakla yang biasanya buat aku touching lebih, bertanyakan abi. Lelebih lagi Auni, dia rasa macam lama sangat dia tidak berjumpa abi. Anak yang tidak biasa ditinggal abi lama-lama, jemu agaknya asyik tengok emak sahaja. Abi tidak muncul-muncul. Hari kedua, baru berani hendak bertanya mana abinya. Aku jujur sahajalah menjawab. Setiap petang bagi peluang main di luar, biarkan mereka sibuk hingga lupa untuk rindukan abi.





Akhirnya, abi balik juga. Hrmmmm...lupala kepada emak, sibuk bercerita dan mengadu hal masing-masing. Yang bergaduh, yang bercakar, yang dahi bocor, yang potong rambut sendiri, yang lebam dahi, cerita, cerita semuanya. Aku hanya mampu menarik nafas kelegaan. Kali pertama belajar berdikari sendiri tanpa abi. Alhamdulillah aku berjaya lalui dengan penuh rasa sukarnya, haih! 

Once again, tolong...jangan samakan aku dengan orang yang sudah biasa suaminya kerja luar lama-lama, serius aku baru belajar. Aku baru hendak tahu bagaimana perasaannya, baru hendak tahu bagaimana aku hendak aturkan hidup aku yang juga baru setahun dengan jawatan pengurus rumah tangga. Dahulu, jika abi pergian aku masih ada kakAna, kakTi, (pengasuh anak-anak) dan aku kerja untuk hilangkan stres yang melanda. Now, lone ranger. Buat sendiri. Dan, ok ianya masih boleh aku lalui dengan sisa gagah yang ada. Syukur.

Wednesday, 9 October 2013

Mengeluh, tiada apa yang berubah pun.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Entahlah, kawan-kawan kata aku ni supermak, supermak la sangat. Bukan ke semua emak pun buat kerja yang sama dengan aku? Mengurus rumah, mengurus anak-anak, mengurus suami sehinggakan emak sendiri yang mengurus. Apa yang tidak biasanya? Sebab anak-anak aku yang berderet itukah? atau sebab kebolehan aku menguruskan kesemuanya tanpa rasa letih?

Jujurnya, aku capek deh, capek bangat! - ah sudah pengaruh Kaka Dimas Anggara (Love in Paris), hehe. Tapi tu la, mengeluh bebanyak pun bukan ada orang peduli pun. Mengeluh pun, tiada apa yang berubah baik bertindak melakukan sesuatu yang membuatkan sendiri tidak jadi mengeluh. Bila tidak mengeluh maka tidaklah jadi datang yang namanya tekanan. Manusiakan? mana ada yang tidak ada tekanan cumanya cara hendak mengawal tekanan tu, sama ada makan banyak, tidur, buat aktiviti yang disukai atau paling senang IGNORE semua benda.

Masa bujang dahulu bolehla ignore je bila tekanan, sekarang tidak. Aku ada tiga askar yang hendak diuruskan. Ragam memang tidak sama, perhatian semua kena bagi sama, layanan semua kena bagi sama, kalau boleh badan aku ini hendak dibahagi tiga. Jadi, boboboi. Tekanan memang tekanan, aku bagi je apa yang dorang mahu, layankan je selagi tiada yang menangis mengada hendak perhatian lebih, aku sudah bersyukur sangat. Tambah-tambah dalam mengejar due untuk handmade art.

Bila tengok dorang bersama-sama, rasa sangat lega. Bila tengok dorang munggah rumah, rasa sangat air mata hendak keluar. Bila dengar dorang buat bising, fuiyoo rasa sangat hingar bingar. Bila nampak dorang tengah memprojek sesuatu, rasa sangat bangga. Bila mereka kantoi emak tengah skodeng, rasa bahagiaaa bangat, ketawa sama-sama, nangis sama-sama, minta susu sama-sama, makan sama-sama yak sama-sama, mandi sama-sama, main sama-sama dan tidur sama-sama. Ianya sangat bermakna. 

Paling best, kitorang suka main kiss-kiss, emak kiss adik, abang kiss emak, abang kiss adik, kakak kiss emak, kakak kiss abang, emak kiss kakak, emak kiss abang, emak kiss kakak lepas tu ketawa, lepas tu main kejar-kejar atau lompat-lompat atas katil atau main khemah-khemah atau guling-guling. Hihiks. Abi work, bila abi ada aktiviti terhad sikit, hehe.

 Dah macam baju tadika pun ada, hihiii. Pondok-pondok dalam rumah.


Sedang membina istana, kononla. Arrizqi yang dah tidur.

Spotted, berkhemah di bawah meja kerja emak. 

Time to sleep. Pink for princess Auni, green for baby Qiqi and blue for big brother Adli.

Is me, mummy of three superkids ;) 

Jujurnya lagi, aku mengeluh juga bila sudah penat melampau, aku hanya manusia biasa je wei, jadi robot pun ada masa berhenti kena servis, inikan manusia. Walau macam manapun, aku tetap cuba menjadi yang terbaik meskipun meng'google' resipi untuk membuat sesuatu yang baru. Meskipun, kerjaan itu aku lakukan hari-hari. Meskipun, aku hanya di rumah sahaja.

Jangan pernah memandang rendah kepada isteri, walaupun kerja mereka di rumah nampak remeh tapi tanggungjawab mereka besar hampir 24jam. 

Ermmm...ada betul juga quote ni :) Peace!

Tuesday, 8 October 2013

Dulu dan sekarang.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Ok, ini entry interframe, muahaha. Hujung minggu lepas, punya la hendak menggoda dan tergoda akhirnya, aku mengenakan semula kebaya hijau sepuluh tahun lepas. Sepuluh tahun lepas dengan potongan badan ala kerengga bolehla cerita. Comel, cun, comel, cun. Minggu lepas? hahaa.

Muat lagi tapi bukan potongan ala kerenggalah. Dah macam ulat bulu dalam kepompong, ulat bulu dalam kepompong pun comel apa, bulat-bulat, cute-cute gittu. Ok melalut. Layankan je la, pengurus rumah tangga melaram kebaya pose sebelum badan dibalut apron, hahaa.

Kenangankan? dulu 42kg je, lepas raya hari tu 46kg, sekarang 50kg ada kot, hahaa. Gebu sana sini, mungkin daripada aku bersama Maajun Anggun Bistari (MAB), mungkin juga aku bersama Collagen Cappuccino Vitamin C, mungkin juga kerana Everlyn Virgin Coconut Oil atau mungkin juga dengan Sheseido Masker. Ye, aku amalkan sesemua tu, hohooo.

Ohooo, tidak lupa untuk kekalkan spare tyre (ada juga tau) gunala Premium Beautiful dengan Slimshape AQasia Lotion, huahaaa. Macamlah boleh kembali asalkan? tidak mengapa janji berusaha, demi suamiku.

Adli yang tidak pandai-pandai buat isyarat V (peace).

So inilah permata hati kami berdua, salah satu menyumbang emak maintain dengan sit-up seorang dapat sepuluh kali, itupun kalau emak ingat dan tidak letih selain bersenam turun naik tangga yang purata sehari 4-5kali. Belum termasuk menguruskan rumah, bilik air, halaman depan. Terima kasih juga dengan gelaran pengurus rumah tangga. Miahahaa. 

Ok, sejak kebelakangan ini, aku lebih suka berbaju kurung di rumah, sayang baju kurung duduk dalam almari sahaja. Terima kasih kerana membaca entry interframe ini, maaf jika bosan ye, hihii. Daaa.

Wednesday, 2 October 2013

Bila sel otak berhubung.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kepintarannya, aku rasa sangat tidak setanding dengan aku masa kecil, meskipun begitu aku tetap the best sebab boleh membaca sebelum tujuh tahun. Mestilah kena menang kalau dengan anakkan? hahaa dasar emak tidak tahu malu. Macam mana pun, kepintaran pemikiran, aura imaginasi si Auni ni memang diakui sangat diluar jangkaan.

Selain sangat pening kepala hendak berlawan cakap dengan dia, perbuatan dia, kelakuan dia sangat membuatkan aku separa stress dan entah, habis perkataan hendak marah. Baru-baru ini, abi tiada dia midnight tengok tv sesorang, perangai lama dia kembali. Bila sudah syurga keseorangan, mulala buat aktiviti yang bikin hati emak panas. Siap aku pesan off kan tv dan naik tidur, dia kata "baiklah" bila aku sedar waktu paginya, memang mengucap panjang.

Cebisan-cebisan seluar elok sahaja berkumpul disebelahnya manakala sang gunting atas bantal yang dijadikannya selimut. Auninya? separa bogel sebab seluarnya habis digunting. Pergh! memang habis mood aku hilang awal-awal pagi. Aku sudah simpan elok gunting tu, dalam kotak art, malah dalam kotak lagi yang memang aku pasti dia tidak dapat bukanya. Auni, dia memerhati, dia belajar, dia eksplore dan dia praktikkan. Yang paling membuatkan aku frust, dia gunting baju tidur Bee yang sedondon tiga beradik, adus!

Itu baru satu part, satu part lain dia ajak adik-adik main kerusi meja makan. Tahula set meja makan emak tu ala-ala bujangan punya set. Tidaklah mewah cukupla seorang satu kerusi bila duduk makan bersama. Awal-awal dia main pondok-pondok, lepas tu jadi pula gelongsor, satu part yang aku tidak tahan dia sendiri jadi kerusi. Ya Allah anakku...

Macam biasa, she is a team leader. Adik-adik melopong melayankan dia, si hero aku ni bila diberi apa jua permainan sangat cermat gaya bermainnya. Bila beri kereta, fungsinya keretalah. Bila beri bas fungsinya jadi baslah. Bagi pada Auni, herm...dia boleh masuk ralajawak membalikfungsi barang-barang disekelilingnya. Dengan Auni, memang sangat speechless. 

Itu belum masuk dia menyanyi mengubah lagu, tidak tahan betul aku dibuatnya. Auni pandai bercakap sambil menyanyi. Serius! Bila aku tengah masak dia serbu masuk dapur minta biskut atau susu atau apa sahaja dengan menyanyi. Dia suka ubah lagu Twinkle-twinkle little star-lagu ni je dia boleh nyanyi sampai habis siap lagu melayunya. 

Yang paling mengkagumkan aku selain pandai berdikari sendiri ialah adik-adiknya, ikut sahaja apa yang dia kata. Kalau Arrizqi tu, sampai melopong tengok kakakAuninya. Adli pandai ketawa, bila kakak buat kelakar. Adli rajin layan kakaknya seorang tu walaupun dia tahu kakak akan buli balik. Part buli balik ni yang menyampahkan aku sebab, mesti ada yang menangis.

Aku sendiri sudah lupa, pentagon, heksagon, oktagon, Auni tahu dan dia boleh gunting bentuk oktagon dengan jayanya. Tercengang emak. Bila aku datang dekat lagi, dia gunting bentuk segiempat tepat dengan pelbagai ukuran dan susun menjadi robot. "umiii tengok ni, robot" huahahaa emak nangis. Pandainya anak emak.

Lain-lain hal, jangan katalah. She is everything. Dia penawar, dia racun, dia pelawak, dia penyanyi, dia kental, dia kuat dan paling ikut emak dia kreatif. Sangat kreatif melampau. Bila dengar dia berborak di telefon, habis segala rahsia terbongkar, hahaa. Sabar je la.

Mengajak adik main kombat katanya. Hakikatnya main ekzos kereta abi.

Kali terakhir memakai baju tidur Bee sebelum baju arwah digunting. 

Part ni la paling aku tidak boleh tahan. Dia panggil aku yang sedang sibuk,
Auni: ummiii tengok saya.
Umi: buat apa tu?
Auni: Jadi kerusi...
Kan...anak korang macam ni juga ke? manalah aku tidak pening. 

 Ini part yang buat aku sangat lega, main sama-sama.

Outing with abi. Suka bila masing-masing dapat kaki. Semua orang pandang mereka bertiga, hahaa. Kena paksa sedondonkan...abi pun sporting, biru juga masa ni. Emak je lain. hihik...

Semoga dia sentiasa ceria dan terus belajar mengenali alam sekelilingnya. Good job Auni, proud to you.

Friday, 27 September 2013

Cahaya kesyukuran keadilan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Siapa? Ya, betul dia anak kedua aku. Mengimbau kenangan melahirkan dia, ianya sangat mudah. Sangat-sangat, ke hospital dengan menaiki motosikal dan ditinggal dalam bilik bersalin yang gelap kerana disangka tidak berorang, pabila tiba waktu meneran rambutnya telah pun nampak. Paling manis, aku tidak dikenakan sebarang jahitan pun.

Adli, berpantang dengannya sangat mudah, tidak kuning, breastfeeding dengan jayanya, tidak meragam dan aku tidak rasa sangat berada dalam tempoh waktu berpantang pada ketika itu. Syukur, membesarkan dirinya sangat mudah. Adli tidak menangis meskipun hendak susu, Adli tidak menangis meskipun hendak makan, Adli tidak akan menangis jika orang tidak pedulikan dirinya. Adli sangat sempoi, tidurnya hanya berteman bantal angry bird merah dan menghisap jari. Itu sahaja. 

Mereka menceriakan hari-hari aku.


Dia menangis apabila aku lambat mencucikan beraknya. Dia menangis apabila kakak atau adik mencuri atau menyakat ambil bantal busuknya. Dia menangis apabila seseorang mengganggu kosentrasi kerja yang dilakukannya. Selain itu, dia hanya diam dan membawa diri sendiri.

Adli sangat suka dengan kakak, Adli juga baik dengan adik, Adli ok sahaja dengan siapa-siapa pun. Sekarang Adli merekrut adik, mengajar adik Qiqi nya segala ilmu yang dipelajari daripada kakak. Senyumannya sungguh menggoda. Adli suka mengalah, mengalah bukan bererti kalah. Adli lebih lembut, dia juga pemalu serta sangat takut bila emak marah. Adli sahaja yang takut dengan emak, kakak adik tidak hairan pun bila emak marah. 

Adli, butir bicaranya mula terserlah, belajar-belajar dan terus belajar. Banyak juga lagu yang dia sudah tahu, bila hendak makan lekas sahaja dia angkat tangan berdoa, begitu juga hendak tidur. Dia juga suka menegur orang seperti kakaknya dahulu. 
"hai kawan, buat apa tu?" manis sangat bunyinya bila dia yang menegur dengan pelatnya. Sudah sedia pandai menyebut umi, abi, kakak, mama, atuk, acu dan adik Arrizqi jadi Qiqi. Boleh sahajalah.



Selamat ulangtahun kelahiran ke dua Adli. 
27 September 2011-27 September 2013 bersamaan 28 Syawal 1432-21 Zulkaedah 1434.

Semoga Adli terus menjadi anak, adik dan abang yang baik, soleh, dan sentiasa menyayangi orang-orang disekelilingnya. Dikurniakan kesihatan yang sentiasa baik untuk terus menjalani tumbesaran yang sangat menyeronokkan. Tahniah Adli.

Genap setahun, aku menjadi pengurus rumah tangga. Alhamdulillah, akhirnya aku gembira.

Saturday, 21 September 2013

Maajun Anggun Bistari (MAB).

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, tidak rugi berkawan dengan siapa-siapa sahaja. Walaupun aku pengurus rumah tangga, namun aku masih dikelilingi kawan-kawan yang sangat memberi sokongan. Tang tajuk tu? ingat lagi dengan entry Keluh kesah kisah mak hijau aku salah seorang duta Maajun Anggun Bistari (MAB). 

MAB yang sangat aku cari-cari, terima kasih team PERKEP sebab perkenalkan aku dengan MAB ni. Kerana sudah tahu aku ini seorang yang subur, makanya tindakan awal perlu aku lakukan. Sebagai langkah berjaga-jaga, dengan persetujuan abi makanya aku menjadi disiplin demi kesihatan diri sendiri dan demi menjaga keluarga dan demi suami tersayang, abi.

Jika berminat hendak mencuba boleh hubungi terus nombor tu puan Dyla Jamaluddin. Hendak bertanya pun boleh. Hendak order dengan aku pun boleh juga, aku akan belikan. Aku punya ada lagi, sekali borong 6 botol hari tu, hihiii excited.

Rasa herba, bau herba. Sehari sebiji, aku ambil waktu malam. Kunci jam bernada kuat-kuat. 

Aku rasa, sesiapa yang merancang kehamilan dengan pil perancang klinik kesihatan mungkin berminat untuk mencuba MAB ini. Alhamdulillah, hari ini aku berehat untuk tujuh hari sebelum ke botol yang ke-empat. Diam tidak diam, aku bersyukur aku masih lagi datang bulan dengan kitaran tetap dan Arrizqi sudah pun hampir ke satu tahun, boleh diisytiharkan bahawa aku tidak pregnant. Yeay!

Setelah beranak tiga ini, kesan daripada bersalinkan Arrizqi tempoh hari, aku menjadi lebih sayang kepada diri sendiri, aku tidak mahu sebarang kaitan dengan klinik dan hospital. Aku tidak mahu orang lain menyakitkan diri aku lagi, entahlah aku pun tidak tahu kenapa terlalu fobia dengan doktor. Hendak habiskan check-up bulanan Arrizqi pun aku terhegeh-hegeh, inikan pula hendak bertemujanji dengan doktor setiap bulan. Jujurnya, aku malas. Lain orang lain pendapatnya kan? masing-masing.

Jadi, aku disiplinkan diri dengan MAB. Bukan susah sangat pun hendak telan sehari satu biji, 21 hari sahaja. Jom kita tengok apa bagusnya MAB ini selain tindakan utamanya mencegah kehamilan.

MAB ialah produk berasaskan herba semulajadi merupakan kaedah merancang kehamilan yang paling selamat kerana bebas daripada sebarang bahan kimia dan cara pembuatannya yang halal lagi suci. MAB terhasil daripada herba-herba seperti manjakani, senduduk, kacip fatimah, serapat, inai, habbatussauda, madu dimana khasiatnya baik untuk merancang keluarga, mengaturkan kitaran datang bulan, awet muda, dan juga membantu mendapatkan zuriat.


MAB juga perlu diambil mengikut peraturan sebagaimana pil perancang kehamilan yang lain, perlu diambil selama 21 hari dan berehat 7 hari sebelum ke botol seterusnya. Kenapa mengapa dan bagaimana, Google je la ya, aku hendak terangkan panjang berjela pula entry ni nanti, ihiks. 

Kesan daripada aku ambil MAB ni, botol pertama segala mak nenek mukus dalam hidung keluar. Resdung. Bila berludah kahak pekat keluar. Dua minggu juga hidung aku tersumbat dan badan rasa hendak demam. Aku terus search, rupanya ia adalah proses tindak balas MAB dengan sistem badan. Masuk minggu ketiga, aku kembali sihat dan terasa lebih segar. Badan menjadi lebih ringan dan lekas berpeluh sebab kandungan herba dalam badan membuatkan berasa panas membuatkan kita rasa sering haus. 

Selain mendisiplinkan diri mengikut jadual makan pil ianya melatih aku supaya suka minum air masak. Kesannya aku menjadi lebih sihat dan segar dan bisa membuat kerja rumah tanpa bertangguh. Alhamdulillah, aku temui dengan apa yang sesuai dengan badan. Syukur sangat bila melihat muka abi yang berseri-seri, ihiks. In shaa Allah akan stop makan bila aku sudah bersedia untuk mengandung lagi. Terima kasih MAB.  

Thursday, 19 September 2013

Stesen kerja.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

New place in the house, yes workstation. Simple je, ingat nak beli tray in-out tu, then fikir balik nanti dulula, beli drawer yang sebesar A4 boleh letak atas meja dan semuanya dalam tu. Rahsia. Sekarang, guna apa yang ada dahulu.

Pelukan besar untuk abi di atas pemberian meja siap dengan kerusinya sekali. Aku suka bangat. Rasa hendak, makan dan tidur di tempat baru ini saja, muehehe.

Saja ambil mood office, susun barang pun ikut meja opis dedulu, hihii. Tempat buku DIY saja, daripada kotak susu anak-anak. 

Syukur sangat, sejak ada tempat ini masa untuk art lebih panjang daripada sebelum ini jadi dapatla menyiapkan tempahan-tempahan dengan jayanya, laju je menggapai itu dan ini. Auni dan Adli hendak bersila atas meja, lekas sahaja biji mata aku besar-besarkan sebesar yang boleh, kasi gerun jangan diusik tempat emak. 


Mereka sangat suka mengacau emak menonton tv, saja je.

Waktu petang aku lepaskan mereka main diluar, ha bergasak berguling bertiga. Baju memang akan kotor berlapuk, bau masam peluh, puas main aku kerah masuk dan rest sekejap sebelum mandi. Sekarang dorang sangat suka. Arrizqi sahajala yang agak cengeng sedikit, tidak boleh kena tinggal sekejap memang confirm akan bunyi. Adli tidak boleh diganggu jika dia yang main, biasanya Auni yang suka conquer semua yang dipegang adik-adik. Aku menyinga betul Auni buat perangai macam tu, memang sejam aku membebel tanpa henti ke dia.

Auni, dia bukan kisah pun. Dia takut abi sahaja-ngaku sendiri. Haaaa, abi tiada menjadi-jadila dia ambil kesempatan. Sabar je la aku.

Cinta, hati, jiwa emak macam biasa.

Apapun buat masa ini, biarlah mereka bertiga sihat-sihat sahaja, mereka sihat makanya dorang akan ikut semua jadual emak. Masa mandi, masa makan, masa tidur, masa susu, masa bermain, masa membuang, semuanya sentiasa bersama-sama. Bergerak bertiga-tiga namanya.

Syukur, aku berterusan menerima tempahan handmade card. Masih juga ada yang suka hasil tangan ni kan? Sekarang masa untuk menyiapkannya mengikut giliran. In shaa Allah aku cuba yang terbaik. Terima kasih kepada sahabat blogger yang tidak putus memberi kata semangat dan perangsang. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan. Kamu sungguh berharga. 

Tuesday, 17 September 2013

Balik rumah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Yeay, akhirnya home sweet home. Buka sahaja pintu rumah, tadaaa...abi telah menyediakan sebuah meja dan sebuah kerusi untuk workstation art aku, hurey! i like. Berkobar-kobar. Entry ini, bertaip di atas meja sendiri, muehehe. 

So, sedang gigih membahagikan masa dengan anak dan art dan bisnes tupperware, eh panggil bisnes ke? bolehla kecil-kecilan. Hari pertama, macam biasa mengadap rumah setelah dua minggu ditinggalkan, baju bersih sebakul lebih macam aiskrim mengambil masa dua hari untuk beres melipat, tandas atas dan bawah, terus sahaja aku kerjakan. Hilang sinar dan kilatannya dek kerana tiada orang yang pedulikan. Phew! 

Senang bila semua diam dalam troli canni. Beli barang dapur sebelum balik Sg. Buloh.

 Balik-balik, Auni berjaya rekrut Adli naik turun tangga bila pagar tutup. Arrizqi pun dah reti nak mengamuk bila tak dapat naik tangga. Cis!

Lain-lain hal, macam biasa sahaja. Rutin sudah kembali semula. Akan tetapi sejak ada meja baru ni, kerja art menjadi lebih mudah. Arrizqi aku tinggalkan bermain dengan Auni dan Adli di anjung rumah, buka pintu luas-luas, berkejaranla dorang bertiga keluar masuk. Kejap dengan basikal, kejap dengan kereta, kejap dengan kayu, kejap dengan mainan. Riuh rendah janji tidak ada yang menangis.

Baju seluar dah berlapuk, kotor, barula masuk rumah berehat sebelum pesta main air bermula, hahaa. Senang kerja emak. Semua buat berjemaah. Lepas mandi, kita minum susu. Arrizqi pun sudah mula minum susu sama dengan abang kakak, pastu main kejap sebelum makan malam dan masuk tidur. Rutin bersambung esok hari pula. Sekian.

Nota hijau: Meja kerja belum boleh tayang, belum siap kemas lagi, hehee. Nak juga buat Small Office Home Office gittu. Ewww!

Friday, 23 August 2013

Sabar je la mak!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Errr, marah-tak marah, marah-tak marah, marah-tak marah, ambil Samsung S2 yang sedang di cas baterinya, pilih butang kamera, snap-snap-snap mengabadikan moment indah dalam aktiviti hari-hari. Kelakar betul jadi emak zaman sekarang ni. Edit sikit di photogrid kasi nampak lebih sibuk dan post Instagram. Sekejap sahaja hampir mencecah 15likes (sebab tiada ramai follower) untuk dua keping gambar.

Gambar apa? hahaa, gambar apa lagi...askar makcik yang menghijau ni la. Jom tengok, apa yang dorang telah buat bila emak bagi peluang selongkar. Asalnya, hendak mujuk Arrizqi saja. Pakcik tu, pantang betul, lekas sahajalah dia buat kerja, memang tidak padan dengan kecilnya, gaya dia selongkar tu memang gengster, siap dengan kaki lagi. Habis keluar sebaris mangkuk hidang, dia masuk dalam kabinet tolak yang baris kedua daripada dalam, muntah periuk, bakul, mangkuk kesemuanya.

Bergaya Arrizqi, busy sangat! hot chick betul.

Arrizqi sudah letih, memerhati abang kakak pula. Testing-testing. 

"besar sangat tu Aie, cuba yang ni pula" - Auni. 

 "ini lebih sesuai" - Auni. Sebelum Adli buat benda yang sama kepada Arrizqi. Terhuyung-hayang Arrizqi berjalan, nampak gigi besarnya sahaja.

Adli datang, melihat emak tidak kisah, dia pula duduk sama mengadap Arrizqi, tunggu daripada luar. Kecoh sudah, abang mengajar adik bergendang periuk belanga. Mendengar kekecohan, Auni pula datang terhegeh-hegeh, terus memeriahkan projek. As a great team leader, bila turun padang sepakat membawa berkat, hrmmm...emak mampu mengeluh di tepi sajalah. Memerhati.

Ini sahajalah yang buat hati gembira, bila bergabung bertiga sangatlah berkerjasamanya. Kadang tu, aku terlelap, kakak bagi coklat, biskut, roti pada adik-adik, makannya di celah-celah, di sudut-sudut yang jauh daripada emak, takut emak marah (walhal, aku tak marah pun, bila dah buat kerja bersama-sama). Suka lagi ada, sebab kakak pandai jaga adik.

Hiburan seorang emak, bila anak-anak tidak buat hal. Sebab, bila seorang buat hal, yang lain pun mood habis swing. Yang jadi mangsa? emaklaaa. Sabar je la mak!
 * Msjbox hijaucantik (sidebar) sudah boleh digunakan :) 

Sunday, 18 August 2013

Aidilfitri 2013.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Syukur, Aidilfitri tahun ini amat sederhana tetapi kemeriahannya tetap dirasa. Aku juga gembira melalui hari-harinya walaupun sejujurnya terasa sedikit kecil hati namun rasa yang sedikit itu terubat dengan keletah anak-anak.

1 Syawal 1434H disambut penuh kenyukuran.

Auni berubah total apabila tidak lagi berperangai tidak mahu bersalam. Mungkin dia sudah sedikit matang dan memahami kemeriahan hari raya, pakai baju cantik, cari kawan bila bertandang ke rumah orang, makan gula-gula banyak serta duit raya.

Tahun kedua Adli berhari raya sudah pandai berlari, melompat, makan-makan-makan. Muka jangan kata memang terpeta raut garang dan nakalnya, namun begitu Adli tetap menjadi pujaan hati semua orang dengan perlakuannya yang tersendiri. Baik dia atau pun Auni sangat menjaga diri dan mendengar kata. Lasak budak-budak, itu perkara biasa.

Si peramah Arrizqi, oh tuhan...sesungguhnya dia memang seorang yang pembawa rezeki dan rahmat Allah. Jika Adli menjadi pujaan ramai, Arrizqi pula romeo hati ramai. Dia punya aura membuatkan orang jatuh suka dan rela untuk menjaga dia. Punya sikap ramah dan suka ketawa emak, punya gigi besar emak, punya mata cantik dan most important dia sangat behave seperti Adli dan Auni yang tidak susahkan orang. Walaupun aku yang menjaganya sendiri namun bila orang lain take over, dia tidak ada masalah. Main-main-main. Dengan semangat jitunya, melihat abang dan kakak main, Arrizqi sudah boleh turun tangga dengan cekap dan berjalan dengan lebih kerap. Perkembangan yang lebih cepat daripada Adli.

How cute they are... abi punya kerja.

Menggayakan kaca mata bersama baju tradisional keluaran Jkid. Dah macam pentas peragaan pun ada.

Tahun ini beraya di Hulu Langat, agak sunyi dan hening kerana hujan turun pada Syawal yang pertama. But, habis juga melawat makcik, pakcik, nenek yang tinggal sekeliling kampung. Menjelang petang barula mencari jalan pulang sebelum bersambung sebelah malam.

Keesokkan paginya terus bergerak balik Johor serentak keluar dengan mertua yang pulang ke Terengganu. Aku hanya sempat memandikan Auni dan Arrizqi sahaja, Adli yang masih tidur mandikan di RnR waktu abi berhenti untuk tidur seketika. Tidak lama aku sampai keluarga bonda QWP datang ke rumah mama. Syukur, pertemuan ini berlangsung dengan suasana cukup mengharukan. Insan yang selama ini jauh sudah kembali kepangkuan. Kemeriahan Syawal kali ini terkesan juga dihati aku. Tersentuh melihat anak-anak kami mesra bagaikan mereka bersua hari-hari. Bergelak ketawa walaupun hati emak bapanya bergalau dengan perasaan berbaur. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Tutup buku lama buka buku baru. Ini pertemuan pertama kami selepas peristiwa jauh hati, makan hati, patah hati dan kecil hati beberapa tahun lalu. Tidak pasti, apakah yang aku seorang yang berperasaan begini? hrmmm...

That's it, kami bertemu. Link blog bonda QWP lihat sidebar bloghijau. Lama menyepi blog bonda. Pertemuan pertama kakakWiya dan Auni.

Hari seterusnya beraya lagi, rumah makcik, pakcik dan kawan-kawan pihak Johor pula. Habis satu hari dan macam biasa trio tetap sedondon walaupun pakaian di sponsor tok papa dan tok mama. I love sedondon. Yeah! Masih lagi ada yang bertanya darimana datangnya Arrizqi. Ngeee... Soalan cepuemas kenapa emak tidak besar-besar dan tua sedangkan trio sudah besar. Adeih!

Dua hari selepas itu, kami kembali ke Sg. Buloh. Sempat singgah di Negeri Sembilan melawat kawan opis abi, team Perkep je ada, kawan abinya kerjala. Giliran berhari raya di rumah sendiri pula. Jemputla datang, aku sudah di rumah untuk menyiapkan order handmade card untuk pelanggan. Kecil-kecilan aja, promote quilling tu kan? Dan, tiba-tiba berminat hendak jadi duta tupperware. Wiii...jom-jom beli tupperware.

Jom tengok apa yang aku ada:

Tok papa dan tok mama pun dah terpengaruh sedondon, ngeee...

Like always baju daripada cuties gergous, Arrizqi je daripada tok papa mama.

Ni pun sama dengan yang atas, Arrizqi daripada Anakku, baju Adli.

Sama juga daripada cutiest gergous. Adli tidur masa ni, sama dengan Arrizqi.

Hero-hero dalam hidup aku, love they all damn much!

Cuti raya ni memang pusing area Selangor dan KL sahajalah. Saudara mara sebelah abi memang merata. Seronok juga bila orang asyik lupa anak aku sudah tiga, hiks. Tau-tau sudah pandai jalan. Bersyukur sangat-sangat Syawal tahun ini boleh aku kata sangat istimewa dan penuh kemeriahan.

Dua tahun aku pakai baju brand Puteri daripada AEON, best dan selesa.
Dengan Arrizqi tu, baju kakIzan aka cikMot. Merasa pakai shawl radiusite. Beli sendiri, memang tidaklah.

Eh, tuan tanah nak interframe juga, ingat gambar masa hendak puasa hari tu, haaa masa 1 Syawal berat aku 46kg, turun. Menjelang je raya pesta makan penuh semeja, orang yang nampak aku kata aku gemuk, hahaa. Yang penting baju aku boleh muat S size lagi. Muehehe. Ingat aku diet? tak ada maknanya.

Ini saja cerita raya 2013 aku, simple sajakan? Tahun pertama beraya dengan gelaran pengurus rumah tangga, aku rasa teruja juga.

Tuesday, 6 August 2013

Terima kasih anak-anak.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Syukur sangat aku dikurniakan tiga orang ini, semakin hari semakin terserlah lasaknya, nakalnya, manjanya, comelnya, cerdiknya dan everything la yang boleh dikaitkan dengan anak-anak ini. Di kala hatiku gundah, dikala jiwaku kacau, dikala perasaanku galau, mereka membuat hatiku ceria dan berbunga.

Keletah yang berbeza tetapi masih boleh bersatu, saiznya yang berbeza tetapi masih boleh duduk bersama, karektornya yang berbeza bagaikan serasi bila bersama. Seorang yang menghiburkan, seorang yang rajin dan suka memujuk, seorang lagi yang manja dan berdikari membuatkan hatiku kembang-sekembangnya.

Lihatlah mereka menggunakan sofa lama milik emak dengan gembiranya. Yes, mereka berjaya memujuk emak di saat orang lain bergembira menjelang hari raya. 

Sofa as playground in the house. Jangan tidak tahu, yang paling junior tu pun dah gedik nak beraksi juga.

Sofa as a cho-cho train. Tengok siapa yang paling gembira? Arrizqi.

 Playing together.

Aku sangat suka semua gambar ini. Kakak, abang dan adik.

Kesyukuran keadilanku. Kehormatan ketenanganku. Petunjuk rezekiku.

Syukur alhamdulillah, aku memilikinya.

Aku masih lagi di rumah sendiri, tahun ini berhari raya yang pertama di Hulu Langat sekali lagi. Hrmmm. Semoga aku cekal.