Monday, 12 May 2025

Ada Yang Manis Tapi Bukan Gula.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kebiasaan Ahad hari gantung kuali kerana tuan asben akan tapau sarapan dan makan tengah hari sebelum balik Melaka. Ahad kali ini, aku ke dapur juga apabila melihat daktiga asyiklah ulang alik dapur dan ruang tempat dorang main game. Megi goreng dan samosa otak-otak sahaja. Itupun merangkap makan tengah hari terus. 

Tuan asben balik mengayuh basikal, itulah aktivitinya setiap pagi bila pulang. Dia datang memberi back-hugs dengan aku yang sedang mengadap tumisan dalam kuali. 
"masak apa?" tanyanya menjengah kuali.
"megi goreng" jawapan pendek kuberi, kita ni emo bila jadual Ahad tu tak macam biasa.
"petang nanti kita keluarlah, pergi tengok wayang" dia bergayut di bahu aku. Eh, macam mana dia tahu aku hendak tengok wayang?
"petang? bawa daktiga?" tanya aku membalik bahan tumisan.
"ikutlah" jawapannya.
"kita kuar malamlah, dating. Berdua ja. Midnight!" aku cuba berkompromi sambil angkat-angkat kening.
"ikutlah, nak petang ke, nak malam." dia berlalu pergi. Aku menghabiskan perang dengan dapur. Sebelum di temuramah Arrizqi bertanya itu dan ini, Arrizqi menunggu aku siap masak.

Petang berlalu, sambil baca komik Slam Dunk otak aku berfikir menu makan malam untuk daktiga. Si Arrizqi minta nasi dan telur goreng, tidak pasal-pasal aku kena masak nasi juga, dak ni tidak beri peluang langsung. 
"kita pergi berdua je ea?" tanya tuan asben di balas dengan anggukan pantas aku dan gegas ke dapur siapkan menu teringkas untuk daktiga. Disuruh buat sendiri, macam-macam alasannya, menyampah aku.

Tuan asben telah tempah tiket jam 8.45pm bermakna kita keluar lepas maghrib tepat jam 8.00pm. Macam lipas aku bersiap, hahaa! Ini bukan midnight tapi night je tapi okey je la, selagi berdua. 

Lama betul tidak menikmati angin malam, lawa gila lampu-lampu di jalanan, kena pula hujan rintik masih turun ditambah lagi tuan asben memandu kelisa membangkitkan lagi nostalgia zaman berchenta dolu-dolu. Dolu, dari Cheras ke Damansara. Sekarang dokek yo sebelah menyebelah, 20 minit terbang, sampai Damansara tu- nampak nipunya. 

Tidak berlengah lagi, kita terus ke TGV Cinema. Akulah, 40kali pergi One Utama (OU) ni, 40kali tu la aku sesat sememang tak kuasa nak menghafal segala ceruk tingkat OU tu, lagi tempat letak keretanya, heh! capek. Aku pernah sesat dalam OU ni sampai lambat masuk opis, hehe! Dulukan kita ulangalik tempat kerja dengan OU untuk keluar makan tengah hari.

Tuan asben belanja pop-corn dan latte, self service. Pastu kita layan wefie jap, layan iklan dan okey time to Beto Kusyairi. Kita tengok filem Gayung bukan untuk ceduk air tetapi Silat Gayung. Untuk aku, ok je leh Google la ye, aku memang tidak reti jadi pengulas filem ni, bagi aku momen menonton filem di panggung wayang tu yang penting, muahahaa!

Bila tayangan sudah habis, kita pun terus berlalu pulang. Aku ajak tuan asben ke pasaraya SC untuk beli sedikit barang dapur, sedikit? tiada maknanya jika yang bershopping itu adalah aku, dua plastik besar juga, aku ambil kesempatan je, tidak mahu balik rumah awal-awal.
"nak burger tak?" tanya tuan asben apabila ternampak gerai Otai Burger.
"belilah, boleh buat breakfast esok pagi" yeye'or je la si Syasya ni. Balik karang dia bedal gak.
"budak-budak?" 
"dua taknak sos, yang lain macam biasa, burger daging." jawab aku dan membelek hp. Menjawab pertanyaan Auni bertanyakan bila mahu pulang, dorang nak stanby lettew. Aku memang percaya ketiganya tidak akan tidur selagi tidak dengar bunyi pintu pagar dibuka, esokkan cuti.





Dan memang tepat, buka sahaja pintu Adli dan Arrizqi sedang acah-acah tidur, ahahahaaa. Mereka membantu mengemas barang yang aku bawa dan Arrizqi bercerita segala abang dan kakaknya masak megi walhal aku sudah masak nasi. Masing-masing sudah kenyang rupanya namun Adli dan aku makan juga burger yang tuan asben beli, kan? Breakfast konon! Dua jam lepas tu baru aku masuk tidur, eheks!

Sekian cerita. Akhirnya dapat juga berdating berdua sahaja dengan tuan asben. Dulu, lagi syiok siap midnight esok pagi masuk kelas dengan mata rabak. Sepanjang midnight buat apa? nonton wayang, pi jamming, lepak mamak sampai ke Subuh, adeih!

Thursday, 8 May 2025

Smartwatch Tanpa Pengecas.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bingung aku memikirkan bagaimana hendak cas smartwatch ini, sudah dibeli pengecasnya namun tidak serasi, tidak ngam. Hendak cari semula butiran lanjut, aku malas. Pula tu, smartwatch aku dan Arrizqi adalah tidak sama jenis. Maka, aku kena cari akal. Hendak beli pengecas lagi, tidak mahu pisang berbuah dua kali. Boleh beli, kena cari kedai yang memang supplier brand yang sama - ini tidak rajin.

Setelah membuat penyelidikan di youtube maka terjumpalah satu video "How to charge smartwatch without charger." Aku ni, setengah part memang menggigih. Smartwatch Adli tu, lawa pula memang sayanglah jika tidak berfungsi.


Klik je la link tu ada caranya, guna kabel USB yang biasa-biasa tu ja, aku ikut betul langkah demi langkah dalam video. Jenuh gakla, tapi bila tengok bateri smartwatch tu penuh, happy beb! Adli kata terbaikla umie, you are genius! hahahaa. Sedangkan Adli sudah beli jam tangan baru kerana sekolah tidak benarkan pelajar memakai smartwatch kerana pelajar jadi leka main game di smartwatch.

Bila Adli tidak mahu pakai, Arrizqi juga ikut tidak mahu pakai. Keduanya diberi kepada aku sampai aku kehilangan smartwatch aku sendiri, entah di mana letaknya, sampai ke hari ini aku tidak berjumpa. Bolehlah aku pakai ikut turn cuma aku pula jadi tak rajin nak workout, hrmmmm.

rasa mcgyver sangat.

sedang operasi.

done.

Sekian cerita random, semoga semuanya baik-baik sahaja. Nanti, aku marathon blog ke blog. Daaa...

Wednesday, 7 May 2025

Core Hari Kemenjadian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Korang okey ke tu di bumi? kita belum rasa nak balik bumi lagi ni, hahaaa. Ayat mengusik generasi terkini, aku pun tumpang sama. Setelah semalam jerih diusik adik beradik, sepupu rapat, teman sekolah rendah, teman sekolah menengah, teman tempat belajar, teman tempat kerja, teman rumah lama, teman briskwalk, teman merangkap jiran, teman nunggu anak balik sekolah, termasuklah teman blogger, TERIMA KASIH.

Aku diusik hanya kerana sekeping gambar yang dimuat naik di status wA siap dengan lagu. Yang pertama mengusik sudah tentulah adik beradik tuan asben. Masa kejutan sampai pun, aku sudah tergamam. Tanya soalan sampai tiga kali pada yang menghantar tu. Tahun ini Auni menjadi orang pertama memberi ucapan ulangtahun kepada aku, lebih istimewa dia menghantar ucapan dalam berbentuk video pendek yang dia grafik sendiri, comel sangat. 


daripada Auni.


ahah! dia bikin lomantik.

Berbeza dengan tahun lepas, semua aku sediakan sendiri, daripada ucapan sampailah ke kek, semuanya buat sendiri. Tahun ini, banyak dapat kejutan. Mungkin masing-masing sudah menua, jadi ucapan yang biasa sepotong ayat bertukar menjadi ucapan panjang penuh emosi. 

Aku pun sejenis manusia, yang bila tahu ulangtahun seseorang, aku usahakan untuk ingat dan beri mereka rasa dihargai. Bagi aku hari menjadi lebih istimewa jatuh pada hari ulangtahun kelahiran dan hari ulangtahun perkahwinan. Sudah emak-emak begini, jika tidak diri sendiri siapa lagi hendak hargai diri sendiri, eh? bolehla.

Antara ucapan yang buat aku luluh semalam:



teman blogger sejak 2009.

teman sekolah menengah sejak 1999.

terpaling transparent, teman blogspot is bestie. love u chingu.

teman sekolah menengah, iya lelaki. crush aku masa sekolah. dah habis sekolah baru dia dapat tahu aku suka dia, ahahaha! masih kawan pengganti arwah Ahmad Sapix.


"HB Syasya, semoga Allah anugerahkan segalla yg baik2 buat awak sekeluarga, amiiin." - mama.

"Happy Birthday yg ke-14, semoga berbahagia dunia dan akhirat warohmatullahiwabarokatuh di bawah payungan Allah SWT. - adik.

hahaaa 14tahun ye, terbalikkan.

Dan hari ini, aku terima lagi ucapan ulangtahun kelahiran daripada teman paling rapat dengan aku, memang biasa saban tahun akan lewat sehari, kakak Zila dan Khaida akan berlumpa menjadi siapa yang terakhir untuk memberi ucapan. Namun aku berasakan Edzna atau pun Shuriza bakal menjadi orang terakhir, hahahaa. Masing-masing kelakar. Teruntuk rakan-rakan blogspot, terima kasih atas ucapan harmoni kalian semalam. Alhamdulillah. Lagi sekali, terima kasih atas ucapan dan doa yang baik untukku, didoakan juga agar semuanya dilimpahkan berkat rahmat atas rezeki setiap masa. TERIMA KASIH. Spread love!

Yesterday!