Thursday, 15 February 2024

ERFAN Tamat Darjah Enam.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Ingat lagi dak Michelin yang emaknya gigih mempuri saban minggu dulu? yang kerana dia emaknya ambil keputusan berhenti kerja. Dia sudah pun tamat darjah enam dan bakal ke sekolah yang sama dengan kakaknya, Erdina. Ini bermakna, hanya tinggal Ersyad Arrizqi sahaja masih bersekolah rendah di tahun enam, menggantikan Erfan.

Alhamdulillah, hari ini aku perlu ke sekolah untuk mengambil fail peribadi Erfan Adli, aku mengajaknya ikut bersama namun dia hanya menggelengkan kepala. Cuti sekolah mahu dihabiskan dengan bermain komputer sahaja. Aku keluar menaiki kelisa tuan suami, lama sangat berada di garaj, kelisa dilekati bunga-bunga kecil yang luruh tumbuh berdekatan. Pada tuan suami, aku khabarkan meminjam kelisa comel untuk orang yang comel, hahaa. 

Aku menunggu Linda, kerana sudah berjanji untuk pergi bersamanya. Aku memerlukan teman untuk berurusan dengan perkara begini, tidak betah buat seorang kerana urusan ini bukan berada dalam jadual harian biasa. Berjumpa dengan Linda buat hatiku lega, kami akan compare ootd lebih dahulu, kadang-kadang boleh sedondon. Dalam dewan, terlihat YDP PiBG sedang menguruskan kaunter kelas Erfan Adli, sambil mengisi dokumen, aku ditegur Ms Nik merupakan cikgu Erfan Adli dan juga jiran setaman. Dia bertanyakan Erfan Adli. Inginkan bantuan tetapi malu untuk mengkhabarkan, haaa kan sudah buatlah seorang. Perbualan hanya menggunakan U and I menarik perhatian beberapa orang berada berdekatan. Kami sebaya.

Selesai sahaja urusan di SK kami ke SMK pula, aku hanya menumpang kereta Linda kerana paling berdekatan, sudah alang-alang keluar buatlah urusan hingga selesai. Kami berusaha meramahkan diri bertanya supaya tidak dimaki, rupanya dokumen masih tidak lengkap, kami keluar daripada SMK menuju SK balik semula untuk melengkapkan dokumen pakej brunch bersama. Haaa sempat! aku suka ajak si Linda ni, lepak sambil makan-makan.

Kami order menu sama, roti kosong bersama dengan teh ais, menu tidaklah berat sangat tetapi menjadi berat apabila, roti kosong di pinggan aku dua lapis. 
'dapat satu free' kata budak yang hantar. Aku tengok Linda, Linda tengok aku, aku tengok balik pinggan Linda, iya dia punya sekeping aku punya dua keping, dah kenapa?
'alahaiii, semoga murah rezeki selalu' tu je aku doakan sebelum budak tu kembali ke kaunter roti canainya. Roti kosong lebih tadi, aku bahagi dua dengan Linda, gila nak habiskan semua. Perut aku bukan stokin. Elok Linda habiskan sekeping setengah, datang lagi sepinggan roti telur pula.
'eh?' kau dah kenapa dek? nak try acik ka? kata aku dalam hati saja.
Linda pandang aku, aku pandang dia balik semula, mungkin dia mahu habiskan roti canai jualannya kerana hari sudah hampir masuk tengah hari. Kedai ini akan tutup waktu tengah hari. Dibuka hanya pagi dan petang sahaja.
'free je' kata budak yang sama tadi. Lepas tu dia lekas-lekas menghilang tanpa bayang.
'habiskan Linda, kita sudah tidak larat ni' suruh aku kepada Linda. Dia mengerat setengah dengan sudunya, aku masih lagi terkial-kial menghabiskan roti kosong. 
'dia nak habiskan agaknya, nak tutup' terang aku apabila melihat mereka sudah mengemas sebahagian kedai.
'ha a, buka petang nanti pula. Takkan la nak try pula, kami mak-mak dah ni' hahaa Linda ni, macam tetau pula gelodak hati aku. Selesai makan, kami kembali ke SMK, aku memandu kelisa, Linda menunggu di SMK dengan keretanya.

Sampai pondok pengawal, dokumen masih lagi tidak mencukupi, aiyaaa... entah mengapa blur sungguh kami berdua hari ini, sebenarnya baca je surat tawaran itu, akan tetapi entahla, tidak di hadamkan dengan sungguh-sungguh, kami kembali semula ke kereta menyelongkar fail peribadi anak-anak. Hah! lega, yang diperlukan sudah ada, mari kita masuk semula ke SMK, hahaa.

'ok ni last, done lah ni!' ujar aku sambil di puji (alhamdulillah) pak guard dan seorang guru yang menyelia di situ sejak awal lagi tadi. Gelak mereka berdua melihat kekacau bilauan aku dan Linda. Kami selesaikan hingga ke akhirnya, syukur dan aku berpisah dengan Linda. Dia terus pulang, aku hendak singgah di pasaraya sebentar, membeli barang dapur. Sekian, drama huru-hara emak dikala cuti sekolah, hahaa.


Tamat SK.

Tamat SRA.

Dak Michelin.

Pipi kami yang lebih mauripan.

Wednesday, 14 February 2024

ULANGTAHUN KELAHIRAN 2023

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Annyeonghaseyo!
Wordless Wednesday.


Erdina turns 14yo.
Biasanya yang paling diraikan oleh tuan suami.


Erfan turns 12yo.
Empunya badan hanya mahukan kek cocopie.

Ersyad turns 11yo. 
Elok pula terkena pada hari sukan sekolah, empunya badan tidak mahu kek.

Turns 16yo. 
Alhamdulillah.

Friday, 9 February 2024

PAHANG, kami datang!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Setelah satu minggu menyelesaikan tugasan tuan suami (memandu sendirian daripada Johor-Selangor), dia telah menyediakan satu tugasan lagi, follow dia ke Pahang. Kenapa Pahang? ini kerana kursusnya selama sebulan bersama Sime Darby Plantation telah tamat, maka dia akan memulakan tugasannya di Pahang. Penempatan pertama setelah dia bertukar kerjaya. Seragam polis yang dipakai selama 16 tahun kini disimpan tanda kenangan apabila dia memilih untuk berpencen awal. 

Baiklah! proses mengemas bermula. Tiada apa sangat yang perlu di bawa, berikutan kami hanya berada di sana dua hari satu malam sahaja. Tuan suami akan mengadakan majlis bacaan Yassin dan Doa Selamat ringkas sempena masuk rumah baru. Awal pagi, aku sudah meriuh mengendalikan anak-anak, biasalah makin besar mode "nantilah" "sekejaplah" mereka makin berleluasa manakala tuan suami masih sibuk dengan Ford Ranger nya, entah apa yang tidak beres. Sambil membebel sambil menenangkan hati sendiri. Perjalanan ke Pahang tidaklah jauh, hanya 2 jam sahaja, akan tetapi tetap aku nervous kerana ini kali pertama aku akan memandu SENDIRI ke Pahang.

Tuan suami menawar, siapa hendak naik bersama dengannya, aiii kenapalah aku kena memandu sendirian ni? hahaa. Lekas sahaja Adli dan Arrizqi menerima pelawaan abinya, alaaa peneman dan pembaca petaku! aih. Perjalanan dimulakan, isi minyak kereta dulu dan episod follow-kena tinggal-follow-ditinggal lagi, bermula. Mencabar betul, jalan ini benar-benar asing untuk aku. Tol demi tol demi tol entah berapa tol, aku jadi gagal mengira. Ford Ranger vs Alza. Laju betul dia, dia fikir aku ni terror baca peta ke? haih. Rasa hendak berhenti tepi pun ada. Aku jadi lega sedikit apabila masuk lebuhraya Karak, LEGA? noway! walaupun tidak banyak kereta namun jalannyaaa, huaaa! orang racing mesti suka jalan ni. Lagi-lagi berselisih dengan lori kontena, hooomaigaaad! aku rasa bagai hendak terbang ke jalan sebelah sana, gila betul. Part corner tu laaa, bikin badan-badan aku sekali ikut senget. Hilang doa dan zikir berselang seli dengan kata-kata sumpahan, bila lega sedikit aku karaoke. Aku hanya bersama dengan Auni, Auni tidur di seat belakang, keep calm Syasya! 

Aku agak terpujuk sedikit dengan keindahan alam sekitarnya, benar-benar cantik. Rasa sejuk dan tenang, ala sebenarnya sebab nampak hijau dengan biru langit sahaja, warna semula jadi. Aku jeling papan tanda, Lanchang-Mentakab, ok hampir ke destinasi. Masuk di Pekan Mentakab, dapat vibes jalan-jalan Kulai. Aih! rasa safe je, aku suka walaupun masih kena follow tuan suami di depan, ada juga yang terus hilang dari radar ni karang.

Masuk satu kawasan taman, masuk pula satu kawasan kampung.Ooo inilah kampung yang dinyatakan tuan suami sebelum ini, diteruskan naik satu jambatan sebelum masuk tanah merah dan hrmmmmm... tuan suami, saya baru cuci kereta ni! isk-isk-isk.

Kami disambut seorang anggota polis di pondok pengawal, dia harus buka pagar untuk kami. Rumah kami dalam sana, dalam ladang tanah merah, atas bukit. Alhamdulillah, pemandangan indah betul. Vibes rumah felda mamapapa. Felda dengan Sime Darby Plantation, sama-sama kelapa sawit. Kufikir sudah menua begini tidaklah lagi dengan kelapa sawit, namun rezeki Syasya dan kelapa sawit berpisah tiada. Tuan suami buka pintu rumah, luas dan terang berderang. Hanya terdapat beberapa perabot versi lama yang masih elok, bersih. Mungkin asbab tuan suami hendak tinggal di rumah itu, mereka membersihkannya. Aku suka sebab lapang dan luas.

Segala pujian hanya untuk Allah swt, kami mengemas sedikit dan menunggu Zohor. Tuan suami mengajak keluar untuk membeli barang keperluan rumah. Bawa isteri, isteri pandai memilih, bukan begitu? hihiii. Sebelum cari shopping mall, wajarlah makan dahulu. Kami makan di Gobang Maju Tol,  uwaaah selesa dan menunya sedap belaka sesedap harga apabila membayarnya, hahaa. Berpandukan maps tuan suami membawa kami shopping di Pasific Hypermarket, Mentakab. Biasalah, sudah jauh beribu batu MR DIY tetap dicari, hahaa! Selesai berbelanja, kami pulang ke sarang, bersedia untuk malam pertama di rumah baru. Gitu! selepas Maghrib tuan suami mengajak keluar untuk makan malam, aku tidak mahu, kepenatan merajai setelah menyental tandas dan membersihkan seisi rumah sebaik Asar tadi. 

Malam pertama di rumah baru, tidur lena. Aku jarang, tidur lena di tempat asing. Entah mengapa aku serasi dengan rumah baru ini, aku suka semuanya. Rasa kembali ke rumah mamapapa dahulu, vibes yang sama zaman aku bersekolah. Hari Pertama di tempat baru dalam kehidupan aku tamat dengan rasa terharu dan penuh syukur. Terima kasih Allah swt untuk semua rezeki yang telah Engkau kurniakan.
"hai orang Pahang!"

Follow gajah.

Lunch.

Shopping.

Home.

Monday, 5 February 2024

Rekod baru: Memandu Johor- Selangor.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, pergh peribahasa ko bagi Syasya.

Kisah reunion belum tamat lagi, makan malam bersama teman sekolah sudah selesai malam tadi, jadi esok paginya keluar hotel selepas makan sarapan. Aku suka bila tuan suami ni menyusun jadual perjalanan, walaupun ada bahagian yang akan berlaga dengan rancangan adik ipar, (Ina) tuan asben tetap boleh kolaborasi dengan baik.

Jadi kami berpisah di Loaf Adam selepas shopping roti harga kayangan, harga kayangan wajib sedap. Jika tidak, maunya aku beli dengan rasa tidak ikhlas. Aku satu keluarga dengan mama papa kembali ke Bandar Tenggara, aku perlu menghantar tuan suami ke Kluang pula. Dia akan tinggal di Kluang beberapa hari mengikut jadual kerjanya. Aku hanya membawa mama dan anak-anak sahaja, mama is my map reader, dia pandai jalan sekitar JB. Alhamdulillah, dengan bantuan mama dan Adli, aku berjaya memandu balik semula ke rumah mama papa. 

Ok kisah bermula, hendak balik Selangor tanpa tuan suami, ini sejarah peribadi. Aku bersiap dan menguruskan barang-barang sebagaimana biasa tuan suami bila mahu pulang ke Selangor, just repeat but for this time I do all of it. Daripada mengemas barang, mengurus anak-anak, isi minyak kereta, isi touch and go. Bagi setengah orang, ini perkara biasa but, not me. Walaupun agak huruhara pada permulaannya, so far, semuanya baik-baik sahaja. Terima kasih pada teman-teman yang tidak jemu memberi kata semangat, makin semangat dibuatnya.

Adli sebagai pembaca peta, walhal jalan ini entah berapa kali lalu, lebuhraya je kot? hahaaa! eh, I is nervous okey, biasanya jadi co-pilot saja, cukup masa aku tidur, but kali ini. No way! aku kena memandu sampai ke destinasi.

Syukur ada seorang teman yang guide dgn peta ringkasnya, jalan pun tidaklah sesak. Semuanya lancar. Tiga kali berhenti dek daktiga hendak terkucil bagai. Kami selamat sampai di Selangor tepat jam 2 petang. Seperti mana biasa bila bertolak dengan tuan suami. Alhamdulillah!

Rumah berantakan, mama bekalkan bermacam-macam makanan, makan itu sahajalah sehingga ke malamnya. Sedang aku menyedia tempat tidur terdengar bunyi enjin kereta tuan suami? aik? sabar je la dengan dia ni, isk!

shawl ole-ole Vietnam, kurung Pahang from mama. mode ungu belum habis.

taken by Adli: cuaca membantu sangat, syukran Allahuakbar!

MALAM TEMU MESRA ALUMNI SMKTH 1997-2001

Assalamualaikum, salam Februari 2024. Alhamdulillah.

Baik, Syasya mahu mula menaip entry dengan panjang lebar sambil tersenyum manis mengenangkan malam silaturrahim teman-teman persekolahan daripada tahun 1997-2001, alhamdulillah. Tahun ini kami semua menyambut ulangtahun kelahiran ke- 40. 

Sejak masuk fasa menua ini, aku terasa lebih perlahan dalam mejebakkan diri dalam majlis yang melibatkan ramai orang. Aku berasakan lebih tenang berkerja di rumah, di sebalik tabir sahaja. Aku hanya menunggu aturcara program dan merangka perjalanan untuk ke majlis seperti yang dirancangkan oleh ahli jawatankuasa malam tersebut. Entah bagaimana, alih-alih dijemput presiden untuk sama-sama menjadi AJK selepas minggu ke-tiga barisan AJK ditubuhkan bagi menggantikan seorang AJK yang menarik diri. Aku diberi tugasan di bawah AJK Program bersama beberapa orang lagi. Baik!

Pada tuan suami aku khabarkan, walau apapun terjadi aku hendak juga menyertai majlis makan malam ini, bertekad membawa daktiga balik Johor sendirian kerana dia baru sahaja berkerja dengan Sime Darby Plantation. Hotel dan juga perancangan semasa di hari kejadian juga sudah aku dan adik iparku selesaikan. Persiapan untuk dibawa ke majlis juga sudah aku siapkan tanpa kompromi. Alhamdulillah, rezeki tuan suami dapat balik ke Johor bersama tetapi aku perlu memandu sendiri apabila pulang ke Sungai Buloh nanti. Tidak mengapalah, fikir nanti sahaja. Yang penting aku kena menyertai majlis makan malam tersebut.

Sampai sahaja di hotel, sudah ada beberapa AJK yang sampai, mereka sudahpun bersilat dengan barang-barang untuk Alumni dan persiapan dewan. Riuh, bila bertahun tidak berjumpa, bersua semula. Mereka di JB ada juga la berjumpa sekali sekala, aku ni jauh di Selangor memang ada acara besar sahaja dapat memunculkan diri. Sambil tangan kaki berkerja sambil mulut tidak berhenti berbual. Argh! terasa sangat zaman usik mengusik dan bergurau senda masa sekolah.

Selesai mengisi goodies bag, aku naik ke bilik bersolat Asar. Keluarga yang aku bawa ke hotel sudah punya agenda mereka sendiri, adik iparku termasuk tuan suami sudah hilang di bandar JB. Turun semula membantu AJK menyiapkan hiasan pentas. Berbelit dengan reben dibuatnya. Alhamdulillah terima kasih teman AJK Zulkarnain dan Hanafi. Aku pernah satu kelas dengan mereka berdua di tingkatan 4 Sains 2.

Aku naik bilik semula dan bersedia untuk majlis makan malam. Masa ni lah anxiety datang namun terpaksa aku layankan, yang akan aku jumpa nanti bukanlah orang baru, mereka yang sama-sama bersekolah di satu sekolah yang sama juga. Aku berfikir satu persatu, apa yang perlu aku bawa turun bersama, apa yang perlu aku pakai, apa yang perlu aku lakukan, aku cuba berdamai dengan diri sendiri, menarik nafas dalam-dalam supaya tidak gabra, argh! dada berdebar hebat, toloooonglah not this time. Inilah masalah bila bersiap seorang sahaja di tempat yang sangat asing. Aku minum air, solat Maghrib dan berdoa banyak-banyak. It's okey.

Aku jengah ke bawah, barisan pendaftaran sudah panjang. Argh! sabar. Sambil menyusun barang, aku berzikir banyak-banyak. Jangan relapse! Keep calm! Pakai kasut, angkat barang-barang, kunci pintu, kunci tinggal di kaunter sahaja kerana aku tidak tahu jam berapa majlis ini akan tamat. Nafas ku tarik dalam-dalam, dah mula rasa nak muntah, ayooo. Smile Syasya, smile! Aku menuju dewan, tidak melihat pun teman-teman yang sedang beratur untuk pendaftaran, aku berjalan terus masuk dewan, meletak barang-barang yang ku bawa, bukan sombong, aku tengah menenangkan diri sendiri sebenarnya. Terdengar nama aku disebut, namun sabar jap, aku perlu tenangkan bukan je hati tapi kepala juga. Mereka tak bersalah pun. 

Melihatkan dewan belum ramai, aku kembali semula ke pintu tempat pendaftaran, ke buku tetamu bahagian aku ditugaskan, come on Syasya! speak loud! semua tu kawan-kawan kau, kau kenal dorang. Menyapa Syasya! ajak tandatangan buku yang kau dah buat dengan kasih sayang. Alhamdulillah! terima kasih pada Intan, Mem dan Haniza yang menyapa aku dengan lantang, hilang rasa segan tadi, hilang perasaan nak balik seperti petang tadi. Keriuhan mereka bertiga membuat aku lega dan satu persatu mereka yang lain menegurku, alhamdulillah. Aku menjadi lebih lega apabila Haniza menemankan aku bersama. 

Majlis makan malam berjalan lancar, walaupun ada beberapa program terpaksa di potong, namun acara utama tetap berjalan dengan baik dengan kerjasama semua Alumni. Apabila acara santai bermula, aku mencari teman rapatku semasa di sekolah dahulu, Min, Noren, Rahiffah. Aku terlupa mereka datang bersama keluarga, argh! ini menjadikan aku berasa keseorangan dalam keramaian semula. Tolonglah approach aku. Dengan siapa lagi aku hendak berborak, aku mencari handphone, tangan aku shaking, argh! not again.  Beberapa orang AJK yang bersama dengan aku tadi sudah menghilang menghantar tetamu paling atas pulang. Yang di dalam dewan bermesra sesama sendiri, berbual sesama ahli keluarga sendiri, oh my! I need someone to talk. Aku mengadap dinding, membelek handphone dan ditegur oleh teman kelas dari tingkatan 1 hingga 3 merupakan AJK tertinggi alumni, AlKhair.
"are you ok?" aku tengok dia, dia tengok aku. Errr...
"ok-ok!" mulut tak selaras keadaan badan sendiri, dasar betul. Oiii! aku masih ada sedikit rasa sedar diri. Selepas tu, aku cari air masak dan duduk je la di meja. Sudah masing-masing sibuk bergambar, bergelak ketawa. Aku berasa aku betul-betul dah tak sama dengan zaman masa sekolah yang mudah sahaja hendak masuk dengan mana-mana majlis. 

AJK Aisha duduk disebelah aku untuk melepaskan lelahnya, kami makan kek berdua, inilah momen paling buat aku lega sekali, sambil berborak sambil makan, sambil memerhati situasi dalam dewan, alhamdulillah. Terima kasih memanggil dan menerima aku sebagai AJK untuk menjaya makan malam ini. Aku menghantar Aisha pulang sebelum naik ke bilik. Alhamdulillah, aku berjaya menghadapi satu malam bersejarah dalam kehidupan aku sepanjang aku bergelar surirumah sepenuh masa.

Terima kasih yang datang menegur aku, terima kasih yang sudi mendengar dan menerima pendapatku, terima kasih sudi menerima aku, terima kasih sudi berkerjasama dengan aku. Terima kasih kerana menghargai. Teman-temanku yang terbaik! Terima kasih untuk diri sendiri Syasya, U did it! Alhamdulillah!







in purple

my art: guestbook

d'AJKs

d'ALUMNI


ALUMNI with family

meeting last before event.