Saturday, 31 January 2026

Umrah Wajib: Terapung jam 12pagi.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Suasana lobi syahdu dan romantik je, aku dan kakHajar berbual perlahan. Turun pula Zahida dan ibunya, yang juga kupanggil ibu. Kita tiga pasang dalam satu kereta kabel yang sama siang tadi. Turun pula keluarga Hud, Hud jemaah terpaling muda, baru 2 tahun lebih tapi comel sangat. Malam ni Hud tidur, di dukung ibunya Fatin ditemankan ayahnya sekali. Hud datang sekali dengan tokNan dan neneknya, kita panggil CikNah. Semua comel dalam keluarga ni. Turun pula keluarga YB, YB Yayasan Selangor datang dengan isteri ustazah Aini dan 4 orang anaknya. Dua lelaki dan dua perempuan. Kita berkursus umrah pada hari yang sama sebelum ini. Keluarga terakhir, keluarga Omi, Omi ditemankan dengan dua anak dan dua cucu. Yang jadi boleh rapat, nama weols semua dekat-dekat. KakFara, kakSaz, Syaza, Syazwi dan Syasya, hahahaaa~ ustaz pun gelak tidak percaya, macam mana boleh sekejap sangat jadi rapat. Kita dengan family Omi, kenal masa di airport lagi. Omi beriya interview aku tatkala tuan asben sering menghilang.

Sudah lengkap semuanya, ustaz mulakan dengan bacaan doa dan pesanan-pesanan. Juga acara bersalam-salaman dan bermaafan. Kita peluk semua sekali dengan lapang dada, jemaah perempuan je dan suami sendiri. Salam bermaafan juga salam perkenalan, kita jaga sesama kita.

Mari kita mulakan pergerakan, semua orang berdebar. Sambung bertalbiah dan berbual pun perlahan sahaja, mengusir perasaan bergolak. Ustaz Amin mencari ruang untuk berkumpul, kita sudah sampai bawah, luar hotel depan pintu masuk hotel yang bertentangan dengan pintu utama MasjidilHaram, pintu King Abdul Aziz. Kita jalan berbaris menuju pintu utama, nama je 12 pagi, namun suasananya itu riuh seperti waktu siang. Keramaiannya tu menyebabkan kita berjalan tersangkut-sangkut. Sampai di pintu masjid, buka kasut simpan dalam beg kasut dan aminkan saja doa ustaz. Aku selak buku nota juga, baca doa dalam hati. Kita berjalan lagi menaiki escalator untuk turun ke dataran tawaf. Waktu ini, kita terdiam. Jam bagaikan berhenti berfungsi. Semua orang bagai statik biarpun escalator bergerak turun. 

Mata terus fokus, Kaabah depan mata gais. Kaabah yang selalu tengok dalam karpet tergantung di dinding, Kaabah yang selalu tengok dalam frame dengan bentuk umat manusia saiz semut, Kaabah yang selalu tengok atas sejadah tu, kini depan mata, DEPAN MATA, REAL. Jika ada kuasa, hendak saja terbang sentuh cium dan golek-golek didinding Kaabah tu, namun kita disedarkan betapa-betapa- betaaaaaapa ramainya umat Rasulullah, hamba ALLAH swt sama seperti aku yang sedang berpusing bersama doa-doa mereka. Rasa?

Air mata aku turun, hendak cover aku selak buku. Niat tawaf umrah. 
"pegang tali beg abi" pesan tuan asben. Kita jalan rapat-rapat tidak boleh berpisah. Ustaz di depan. Kita cari ruang untuk dekat dengan ustaz, kita mula masuk dataran tawaf yang seperti trek lumba lari di stadium. Lebih tepat berbentuk segimpat tepat seperti bentuk sejadah. Now, I know macam mana saf di mataf boleh bulat menghadap Kaabah dengan bentuk paling kemas sekali. 

Pastikan tangan tidak bergesel dengan umat bukan muhrim, tutup aurat kecuali muka dan tapak tangan bagi jemaah wanita. Buat tawaf tujuh pusingan mesti dengan wudhu dan bersuci. Kita buat tawaf, seperti kita bersolat. Mesti dengan wudhu sepanjang tujuh pusingan. Aku menghela nafas, pemandangan hanya fokus tuan asben, ustaz, Kaabah di bahu kiri, buku doa dan lantai dipijak.

Sepanjang berpusing 7 pusingan, kadang rasa mudah bergerak, kadang rasa tersepit antara jemaah bukan dari keluarga sendiri, kadang doa termasuk dengan jemaah lain, dorang berdoa bersama-sama satu kelompok, kuat-kuat. Kaki berlaga dengan orang depan, kadang rasa dipijak dari belakang. Jadi, kita kena fokus dengan doa kita. Kita kena stay fokus dengan ibadah kita. Kekal tenang, jangan sesekali berpaling. Jika berpaling, bahu beralih dari Kaabah, satu pusingan tawaf dikira batal kena tambah lagi satu pusingan jika orang lain telah selesai. Jaga-jaga dan bersabar. Alhamdulillah, dipermudahkan urusan kami selesai 7 pusingan, ustaz bawa ke satu ruang depan Hijr Ismail. Biarpun bukan betul berhadapan dengan Kaabah, namun kita masih boleh melihat Kaabah dengan jelas terang dan nyata.

Kita berbaris berbentuk saf, satu baris jemaah lelaki, satu baris jemaah perempuan, rasa macam magikal, orang keliling bagaikan memberi ruang sebebasnya pada kita sekeluarga. Staff yang mengelola air zamzam, turut sama terpaku melihat kebersamaan kita. Mereka hanya terpegun. Kita selesaikan solat sunat tawaf dan bertafakur seketika di ruang itu. Syasya, menangis lagi hinggakan Tuan asben hulur air zamzam. 
"macam tak percaya, Kaabah depan mata" si cengeng. 
"umur berapa sekarang? tidak percaya?" tanya Ustaz Amin.
"42 ustaz" aku menghela nafas panjang, dalam hati doaku memang tidak putus.
"muda, dah sampai MasjidilHaram, Allah panggil buat umrah, nanti mai lagi kak. ALLAH panggil buat ibadah besaq, buat haji. Datang dengan abang polis Wandi" ujarnya.
"doakan la ustaz, mudah-mudahan, InShaaALLAH" jawabku seraya melayankan tuan asben yang hendak bergambar.
"InShaaALLAH" ustaz melihat jemaah keluarga lain pula yang masih mengambil nafas dan mengambil masa. Kita belum habis umrah lagi ni. Kita perlu bergerak ke tempat Saie. 

Tenang sedikit, baru nampak senyuman seorang demi seorang. Kita berjalan ke tempat untuk Saie. Saie, akan bermula dari Safa ke Marwah 1kali. Nanti balik semula Marwah ke Safa 1kali. Sampai lampu hijau kena berlari-lari anak, ulangalik sampai 7kali. Saie ni, boleh dilakukan tanpa wudhu, jadi kita jalan santai-santai je, ada ruangnya berbanding tawaf tadi. Cakap je.

Pusingan satu, done. Pusingan dua, done. Masuk pusingan tengah-tengah, keadaan jadi argh~ kaki tidak jejak lantai wei. Family yang pada awalnya ikut-ikutan jadi saling paut-pautan entah siapa-siapa. Tangan kiri aku kekal pegang buku panduan umrah, tangan kanan aku pegang tuan asben. Belakang aku saling bertukar ahli keluarga pegang tali beg, sekejap cikNa, sekejap Zahida, sekejap lagi ustazah Aini, sekejap lagi si Aishah. Hendak habiskan baki saie yang terakhir tu memang terasa mencabar betul. Memang real weols terapung, tahu je la saiz asian people, petit-petit even kau rasa kau terpaling tinggi. Tuan asben sudah mula rasa kakinya lenguh, dia memang ada masalah lutut sebelum umrah lagi. Aku suruh dia doa, tempat mustajab ni doa je la apa yang kau mahu. 

Aku memang setia dengan buku panduan umrah, selain aku jadikan sebagai penanda pusingan, buku tu aku lekat doa teman-teman rapat yang minta ku bacakan depan Kaabah. Alhamdulillah semua sudah kubacakan, jika ada masa lapang lagi nanti aku buat tawaf sunat, aku bacakan lagi. ALLAH angkatlah doaku dan doa mereka semua, doa insan-insan baik untuk sentiasa baik-baik. Mudah-mudahahan.

Saie habis di Bukit Marwah, sambil aku bersaie tadi ada masa part lega aku sempat berfikir ibu-ibu mesti sanggup buat saie sampai habis, saie ni kan sempena kisah usaha Siti Hajar yang berlari-lari mencari air untuk Nabi Ismail a.s, penat macam manapun, dia tetap tidak putus asa. Lagilah struktur bukit tidak seperti sekarang, semuanya batu sedap dipijak. Alhamdulillah, kita selesai tiga rukun umrah. Kita berkumpul lagi di ruang agak jauh dari tempat saie. Menarik nafas dalam-dalam. 
"saya baru ingat, malam ni malam Jumaat. Keadaan jadi luar biasa ramai" kata Ustaz Amin. Kita berbual bersebelahan tong air zamzam.
"dasat tapi seronok" aku menjawab. 
"best naaa kakSyasya?" tanyanya semula.
"part pusing tu, kaki tak jejak lantai" aku ketawa. 

Bila semua ahli keluarga sudah ketemu, ustaz bawa jemaah lelaki untuk bertahalul, botak terus. Dibawanya ke kedai bawah hotel tempat kita menginap manakala jemaah wanita, potong rambut  eh, potong tiga helai rambut sepanjang seruas jari, buat di hotel ja sebagai simbol keluar daripada pantang larang ihram. Lagipun mudah dan boleh terus rehat. Maka selesailah umrah wajib kita semua, keluarga 7 Januari pada jam hampir 4pagi.

Mengantuk? tidak pun. Tuan asben balik sahaja, kita bersiap untuk Subuh di hotel sahaja, bukan dalam bilik tapi surau hotel. Surau hotel ni berimamkan imam MasjidilHaram. Selepas itu, kita terus bersarapan dan bersedia untuk ke masjid, solat Jumaat. Waktu solat di sini rapat-rapat, malam terasa panjang. Kata umrah musim sejuk, dalam bilik sejuk gila, kita hampir setiap malam tidak buka aircond, namun cuaca luar biasa je mungkin sebab kita berkongsi ruang dengan ramai orang. Jujurnya, aku lebih suka cuaca di luar hotel banding dalam bilik, hahaa~ dalam bilik udaranya sangat menyucuk, aku sensitif dengan sejuk. Kulit aku sudah mula kekeringan.

Waktu solat di MasjidilHaram semasa:
  • Subuh: 5.38am
  • Dhuha: 6.58am
  • Zohor: 12.26noon
  • Asar: 3:32pm
  • Maghrib: 5:53pm
  • Isyak: 7:51pm
Jadi tiba waktu malam tu, memang yadaaa~yadaaaa~yadaaaa je la, kita masuk tidur awal bangun 2am.

Pemandangan yang masih kekal dalam ingatan.

Selesai tawaf.

Sebelum umrah.

Keluarga 7 Jan Mursyid Alharamain Travel and Tours.
Selesai tawaf.

Saie, masa ni je baru mampu cari handphone. Masa jalan lurus kita berpijak bumi nyata. Tiba masa berpusing, naaah~ kita float.



Masa tawaf kita memang tidak keluar handphone, kita fokus beribadah. Kita rasa macam tidak wajar sahaja, hehe~ namun ada je gambar, mutawwif akan ambil gambar pada setiap pergerakkan jemaah. Kitorang sampai sudah hafal, langkah-langkah mencipta kenangan bersama photographer Ustaz Amin. 

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Friday, 30 January 2026

Umrah Wajib: Tempat Miqat.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Selesai berziarah Toif, waktu Zohor sampai ke penghujung. Kerana kita akan bertolak ke Mekah jadinya kita perlu menunggu waktu Asar untuk solat Jamak Takhir Zohor- Asar dalam waktu Asar. Bas bertolak ke Masjid Qarnul Manazil sekaligus berniat umrah di tempat miqat.

Aku cuba menghadam keadaan, masjid ni aku dah google, aku hendak ke tandas lebih dahulu sebelum berwuduk. Masing-masing bersiap untuk ke masjid, jemaah lelaki bersiap dengan kain ihram. Kak Hajar datang kepada aku. 
"Syaaa... kita pergi sama-sama Sya" katanya seraya memelukku.
"akak takde kawan" sambungnya lagi. Alahaiii, jomlah kak. Aku berpapasan dengan kakHajar lepas melihat tuan asben dan jemaah lain juga dengan kumpulan masing-masing. Selepas berwudhu kami bersama menuju pintu masjid. Pintu masuk jemaah wanita sesak, pelbagai bangsa, pelbagai saiz, pelbagai rupa, perbagai gaya. Aku masukkan sekali kasut kakHajar di dalam beg kasut aku, aku campak beg kasut di penjuru pintu hujung kaki penjaga pintu masjid. KakHajar menarik aku ke baris pertama ruang tengah jemaah wanita, kena cerdik menyelit dan menyelah.

Kami solat sunat masuk masjid dahulu, menunggu waktu Asar. Tidak boleh menunggu saja, kami buat beberapa solat sunat lain juga kerana bimbang diarah keluar kerana jemaah wanita kian ramai, bangsa yang bersaiz besar, gemar menyelit ikut rasa hati. Aku dan kakHajar beralih ke bahagian kanan masjid. Lebih tenang sedikit. Usai bersolat, kita kembali ke bas semula. Aku jadi tersentuh melihat pemandangan sekitar masjid, putih berseri kerana jemaah lelaki memakai ihram.

Bila semua sudah di dalam bas, mutawwif memberi taklimat dan berniat ihram. Ikut kesesuaian, aku berniat umrah bersyarat, sebagai langkah berjaga-jaga. Dan, bermulalah kita menjaga pantang larang dalam ihram sehingga selesai melakukan ibadah umrah nanti.

Perjalanan terus ke Kota Mekah diisi dengan bertalbiah, part ni rasa sayu sangat ditambah dengan alunan nada suara Ustaz Amin, airmata tak sempat diempang, nangis. Rasa, menggebu-gebu. Macam tidak percaya, macam iya-macam tidak. Kita akan check-in hotel lebih dahulu. Kami sampai hotel waktu hampir maghrib. Jalan Kota Mekah penuh sesak, Khamis malam Jumaat, semua orang berpusu untuk masuk masjidilharam. Sebenarnya aku tidak faham langsung struktur jalan di sini, jalan pun tidak nampak, lautan kenderaannya sama banyak dengan lautan umat yang berjalan kaki. Bentuk kereta pun sudah seperti lego, bas dan bas saling follow rapat betul. Masuk mencelah pakai niat dan bunyi hon saja, signal? sama je macam Malaysia, seperti tiada fungsi.

Bas berhenti depan hotel tempat kita akan menginap, suasana sekitarnya? penuh dengan orang ramai menanti waktu Maghrib masuk untuk ke masjid, weols diarahkan naik ke lobi hotel lebih dahulu. Pasukan oren beraksi lagi, eheh. Beg warna oren ni memang sering menjadi perhatian, apatah lagi turun tu macam rombongan sekolah, berbaris berdua-dua.

Dapat sahaja bilik masing-masing, ustaz suruh rehat. Makan dahulu namun jangan dilupa untuk menjaga pantang larang. Kami tidur dengan kesopanan dan kesusilaan. Ghisau. Umrah wajib, jam 12am nanti. Aku memang minta sebilik dengan tuan asben, sebab banyak lagi aku kena belajar. Sambil menunggu detik, sambil layan live masjidilharam, tv satu saluran je pun, sambil aku belajar lagi. Untuk umrah pertama.

Kita berkumpul lagi, macam biasa kita dengan pasangan kakHajar jadi terawal, menunggu keluarga lain di lobi hotel. Berdebar? sudah pasti. Entah bagaimana situasinya nanti, MasjidilHaram tidak pernah sunyi, baik waktu siang mahupun waktu malam. 

Rukun wajib umrah:
  • Niat Ihram di miqat.
  • Tawaf
  • Saie
  • Tahalul.
  • Tertib
Syarat-syarat Wajib Umrah: 

  • Islam: Wajib bagi Muslim sahaja.
  • Baligh: Cukup umur (dewasa).
  • Berakal: Waras dan tidak gila.
  • Merdeka: Bukan hamba
  • Berkemampuan (Istito'ah): Mampu dari segi kesihatan, kewangan (perbelanjaan pergi dan balik serta nafkah keluarga yang ditinggalkan), dan keselamatan.
  • Mahram: Wanita wajib ditemani mahram (suami/keluarga terdekat) atau kumpulan yang dipercayai.

Perkara Wajib Umrah (Wajib Dilaksanakan):

  • Berniat Ihram: Memulakan niat umrah di tempat yang ditetapkan.
  • Meninggalkan Larangan dalam Ihram: Mematuhi 13 perkara larangan semasa dalam ihram.
Sumber: Google (Selak-selak).
Aku terlupa hendak photo masjid ni. Teruja sangat agaknya.

Sempit teramat. Jarak antara satu tu, boleh dikata sejengkal je.

Our hotel, berhadapan pintu utama MasjidilHaram. Ini, jika waktu solat bermula memang tidak nampak ruang pejalan kaki tu.

Tiada saluran lain, ini saja.

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Wednesday, 28 January 2026

Should I Continue?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Me not feeling well? huaaa~ 

Dengan batuknya yang alhamdulillah beransur kekurangan.

Rashes alergi cuaca sejuk kering juga beransur hilang parutnya.

Cuma, hati. Hati ni belum betul-betul pulih dan rasanya tidak akan pulih seperti normal semula. Hati kan? bila dikecewakan, bila dipatahkan, tapi ini terus hancur lumat tanpa kesan jadinya, rebah habis jadinya. Cinta hati bila pergi, payah jika tidak ditangisi. Sakit diratapi. Jadi aku ambil masa, hendak memulihkan diri. Tambahan lagi, sakitnya tu datang di tempat paling agung, hendak berkata apa lagi? melainkan TERIMA ujian dengan lapang dada. Mudah-mudahan. InShaaALLAH semuanya akan berlalu, meskipun parutnya ada. Syasya okey- Syasya okey~ (hugs diri sendiri)

Kisah umrah baru sampai di Mekah, malah ibadah umrah wajib juga belum diceritakan lagi, adeih.
Hendak di sambung atau tidak ni? rasanya kena sambung jugalah. Tinggalkan kenangan di sini biarpun kenangan itu masih belum hilang dari ingatan, kita tak move-on huaaa~

Nanti kita sambunglah, hari ni kita kena ke sekolah ambil duit Bantuan Awal Persekolahan dak bertiga tu, sekolah pengetua baru, prosedur pun baru. Tahun lepas daktiga ambil sendiri, tahun ni emak kena panjat bangunan sekolah. 

Okey, semoga semuanya baik-baik sahaja okey. See ya.....love.

Kejohanan Merentas Desa SMKS 2026 - 24.01.2026 (Sabtu).

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Friday, 23 January 2026

Toif: Kereta Kabel. Rose dan Madu.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Mengalami perubahan masa memang memeningkan tambahan bila kena adaptasi dengan waktu yang singkat. Kena pula udara sejuk kering, bukan lagi rasa nyaman malah rasa menyucuk menusuk kulit muka dan hidung. Pedih.

Pagi di Toif, tidur-tidur ayam je la, luggage pun tidak turun dari bas, kita just bawa handcarry berisi baju ganti dan pakaian solat sahaja. Aku berdua dengan tuan asben, makanya bilik pun berdua sahaja. Honeymoon mode gitu. Tuan asben ajak turun bawah, hotel sediakan sarapan pagi, kita akan menziarahi Kota Toif dan terus bergerak ke Mekah nanti. Bermulalah menu tekak Arab, aku ni sejenis ambil menu simple, kopi dengan roti seperti capati tapi aku makan dengan butter dan jem stoberi. Macam pelik? entah, aku cari kuah cecah ala Malaysia, memang tak adalah kan? Janji kenyang sudah.

Naik bilik, terus berkemas untuk check-out. Kali ini aku dan tuan asben selalu jadi paling awal, menunggu ahli keluarga yang lain. Tuan asben tu kan ada extra habit sikit, tu yang kena stanby. Kemana kita?

Ahli keluarga Mursyid Alharamain (MAHM) Travel and Tours, pakej Umrah Premium Ekonomi Khas tidak begitu ramai, kami hanya ada 3 buah keluarga besar, 3 pasang couple, 1 kanak-kanak dan 3 orang mutawwif menjadikan kami mesra dalam waktu yang singkat, dapat pula mutawwif yang super sporting, udah macam rombongan kekanak riang saja. Walaupun terdapat beberapa orang senior yang sudah pernah haji dan umrah namun mereka hanya senyum merai kebersamaan kita. Love.

Sewaktu dalam bas, Ustaz Amin bukan sahaja main peranan as mutawwif malah dia menjadi ketua rombongan, selain bercerita tentang sejarah dan sirah Rasululullah, Ustaz Amin juga kaki mengusik, ada sahaja dia menggelar nama pangggilan setiap ahli keluarga, menjadikan nama panggilan tu melekat sampai ke balik. Kita singgah di Pasar Buah Toif, turun sahaja bas kami diserbu penjual sekitar. Perebutan pelanggan berlaku, aku dengan tuan asben huru hara jadinya. Aku hendak ambil gambar, yang tuan asben diheret ustaz untuk rasa semua buah yang tiada di Malaysia manakala yang penjual galak mempromosi kedai masing-masing.

Aku hanya beli buah kaktus dan mangga, dipaksa oleh ustaz dek asyik kata sedap. Lain-lain buah, sama sahaja dengan di Malaysia. Sekian drama di Pasar Buah, perjalanan diteruskan ke Kereta Kabel Al Hada, tiada dalam tentatif namun undian ramai hendak pergi plus add extra payment, maka marilah. Bas kita yang pertama sampai di stesen nan tinggi itu. Aduhai, sesi gayat hendak bermula, I kenot. Namun... bila lagi.

Angin sejuk menyerbu, pakaian semua tebal belaka. Aku dan tuan asben satu kabin 6 orang. Elok pula ye, hahaaa~ Ngam-ngam ja. Sudah turun, iyalah naik pula. Kita hanya memuji-muji keindahan sekitar yang memang cantik. Tiada kehijauan namun masih natural. Jadi, selesai berphoto kenangan, kita makan tengahari ni kebun Ros. Makan nasi dalam talam, sedap sangat. Mungkin lapar? mungkin sejuk? masa inilah aku mula rapat dengan kak Hajar. Kami berdua kapel pencen, ihiiii~ daripada kekok berbual sampai habis nasi satu talam. Nasi macam nasi kenduri dengan ayam perap, sambal arab, cili dan bawang. Kick lagi sambal belacan, patutlah ustaz berkali pesan jangan lupa bawa sambal belacan sendiri. Suami kakHajar order sate unta, hrmmmm~ for me liat sikit dan perapan tu tidak menusuk sangat ke dalam isi daging namun onz je la. Telan.

Usai makan, kita masuk kilang minyak wangi, jalan-jalan, beli coklat dan berphoto terus berangkat ke Bandar Toif. Turun sahaja bas, melihat keriuhan sekitar, mengingatkan aku pasar lambak atau bazar karat di Malaysia, mereka berjualan begitu sahaja di lambak atas jalan, ada juga berjualan menggunakan kerusi roda, haaa macam tidak terfikiran pula aku, bila tengok sendiri mudah juga untuk pergerakkan. Aku agak tidak selesa dengan situasi mereka yang berjualan asyik dok mengekori kita, selagi tidak beli selagi itulah dia memujuk. 

Ustaz mengajak tuan asben beli madu, lama sangat menunggu dia aku ikut cubit makan roti madu milik Shaza, mereka sekeluarga ramah mengajak aku makan melihatkan aku terkapai keseorangan. Aku juga ambil kesempatan solat sunat di Masjid Abdullah bin Abbas. Punyalah berpusing mencari tempat wudhu, alih-alih aku seorang je yang solat sunat di situ. Janji tinggal kenangan. Abdullah bin Abbas ialah sepupu Rasulullah yang digelar Informan Umat Islam. Boleh baca Kenali Abdullah bin Abbas.  Aku hanya dengar Ustaz Amin cerita, masuk telinga kanan keluar telinga kiri, mata melilau memerhati sekeliling. Selesai kenangan di Kota Toif, kita bergerak ke tempat Miqat Qarnul Manazil untuk Umrah Wajib malam nanti. 

Pagi yang cejuks.

Buah kaktus, rasanya? lembik buah naga, biji macam markisar. Tapi aku rasa biji tu more tu biji jambu batu, aku telan je la semua. Kulit dibuang siap.

Team Omi. Omi. KakFara, KakSaz, Shaza dak kecik & Shazwi Boi.

Yadaaa-yadaa~

Hijau sikit ja.

Family 7 January 2026.

Geng couple.

Family again: Ladang Rose. 

Mutawwif kita: Ustaz Amin.

Bertawaf saya cari tempat wudhu.

See, gitu je dorang berjualan.

Oh oh ti di la sangat.

Thursday, 22 January 2026

Briskwalk di KLIA-JEDDAH.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Catatan 7 JAN 2026 | RABU. 

Flight jam 7pm namun lepas Zohor kita sudah bertolak ke KLIA, Mija datang lepas makan tengah hari, rumah berantakan ku kemas sedikit lagi. Daripada seminggu, dua minggu lepas memunggah bagasi bagai, final mengemas termasuk outfit daktiga yang akan dibawa Mija balik rumah abah. Mereka masih mode cuti sekolah dan ada kenduri sepupu yang perlu dihadiri.

Sampai KLIA, aktiviti kena sidai itu biasa. Masih tercari-cari keluarga yang akan terbang bersama, mujur luggage, handcarry, slingbag semua warna oren terang, daripada jauh sudah nampak ahli keluarga. Kita belum saling mengenali. Lama sangat menunggu, buat solat jamak takdim Zohor-Asar lebih dahulu part ambil wuduk habis basah daripada atas sampai ke bawah, jadi bahan gelak Mija saja. Malu saya.

Usai solat, berjalan semula ke kaunter menunggu, tuan asben beri passport, visa dan tag Travel Agency, Mursyid Alharamain dan mula mengatur bagasi untuk ke balai berlepas. Masih ada masa lagi, bawa daktiga dan Mija pergi makan, sementara menunggu Ustaz Amin our mutawwif ajak jumpa sebentar. Kita dengar taklimat sebelum ke balai pelepasan. Sambung makan semula dan bersedia untuk naik tren.

Semua okey saja, tibalah masa untuk melepasi border passport. Semua orang elok saja guna handphone, ahaaa aku sudah mula rasa tidak sedap hati. Kenapa aku macam tidak ada saja. Lekas-lekas aku tarik nafas, bersandar tepi tiang. Baru terhegeh hendak donlod my borderpass application. Eleh, tak pakai benda tu pun bolehlah sebenarnya. Pakai passport ja. Mujur dak staff tu punyalah baik tolong aku satu persatu. 

Tuan asben sudah lepas, menunggu di sebelah sana. Aku malas nak argue, jadi aku jalan je la sendiri. Sudah lepas satu halangan, datang lagi halangan lagi, part handcarry pulak. Tuan asben asyiklah tinggalkan aku, kejap pergi berak, kejap isap rokok. Aku malas hendak bergantung harap sangat, tapi still kena tunggu dia juga. Maka asyik jadi yang tertinggal ja. Naik tren menuju kapal terbang. Okeylah, terima kasih untuk pengalaman. Atleast, baru ada keyakinan hendak fly.

Masa ini juga sudah mula berkenalan dengan keluarga umrah yang sama batch. Mereka semua ramah tamah belaka, sehingga naik kapal terbang. Uhuuu~ weols naik Amal by Malaysia Airlines MH 156 KLIA-JEDDAH. Panjang sungguh perjalanannya. Makan dua kali, dedua aku tibai habis. Boring tengok movie aku dengar mp3, aku baca majalah. Ada tidak tengok luar tingkap, nampak bintang-bintang bertaburan, pastu tidur, tidur tidak lena sangat kerana ada baby meragam, nangis sahaja sepanjang perjalananan. Flight attendance bergiliran datang tanya untuk ambil berat.

Akhirnya, kami tiba di lapangan terbang Jeddah jam 2am, mamai nyah. Memang tidak dan hendak bergambar bagai, hanya mampu lalu dan tengok je lobi akuarium yang biasa orang bergambar tu, memasing sudah rabak benar. Namun satu yang best, masa melepasi imigresen di sana, semua kaunter buka untuk jemaah Malaysia. Smooth like butter semua orang lepas garisan. Ada satu jemaah Pakistan mungkin, dia depan tuan asben ditinggal oleh temannya, sudah terkapai-kapai dia keseorangan. Kena pula jerit dengan staff Arab dalam kaunter, naaah~ satu department menumpukan kepada isu dia seorang. Sudahnya dia berpindah ke kaunter lain. Menggeleng staff yang menjerit tadi. Staff tu minta passport, yang aunty Pakistan tu tidak faham, dia berjalan ke kaunter lain dengan selamba. Gitu je.

Selesai dapatkan luggage, kita bergerak kepada Ustaz Ishak yang menunggu dan sudah mendapatkan bas. Beratur lagi pasukan oren ni menuju stesen bas. Kita akan masuk Toif malam ini, perjalanan tambah lagi 2 jam dengan bas, waiyooo...~ pemandangan? memang tak nampak apa, aku nampak lampu lori dengan bas je sepanjang jalan. Mata pula, sudah tidak mampu untuk tidur.

Kami sampai di hotel hampir ke waktu Subuh, bergegas solat Jamak Takhir Maghrib-Isyak di hotel Toif. Kami hanya singgah sebentar sahaja, breakfast dan akan melawat Toif sebelum ke Mekah. 

Saya tidak pandai sangat mengolah cerita, maafkan saya ye. Saya pemalu, ambil gambar pun seadanya ja. Saya cuma kongsi perjalanan saya lalui sahaja. Maceh.

Kenalpasti siapa yang akan berangkat pergi.

Pengaruh rakan sebaya.

Sampai ke majalah aku belek.

Fly high~!

Goodies from Amal Malaysia Airlines.
Beg kasut. Spray Wudhu. Face Mask. Sejadah.

Cari luggage memasing, mujur aku tanda dengan sebesar alam.

Menunggu bas untuk ke Toif. Cantikkan oren?

Masa naik.

Masa Turun.

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Wednesday, 7 January 2026

Doakan Kami.



 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Tuesday, 6 January 2026

Pulun Seharian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Daripada hari semalam meninggalkan pesanan demi pesanan, almaklumlah hendak terbang jauh meninggalkan kesayangan-kesayangan. InShaaALLAH semuanya akan baik-baik sahaja.

Awal pagi, pulun kemas bagasi, alhamdulillah dibantu dengan tuan asben, semua jadi mudah. Tidaklah sesak otakku untuk mengemas semua benda serba dua, ada hikmah aku suruh dia masuk taklimat mutawwif yang akan terbang bersama kami tempoh hari, muahahaaa~ jika tidak, keadaan jadi mencabar ye. Dua bagasi kargo, dua handcarry cabin dan dua slingbag. Kasut belum masuk bagasi aku dah penuh, haih~ . Selesai bagasi aku bersiap untuk temankan Arrizqi membeli buku sekolah untuk abang dan kakaknya sekali.

Kali ini tidak rajin hendak angkut daktiga, buku yang dibeli tidaklah banyak, hanya modul sahaja untuk tingkatan 2, tingkatan 3 dan tingkatan 5. Aku dibantu dengan Mustaqim (anak Masni) dan Intan (kawan baik Auni). Alhamdulillah, mereka berdua ramah menyapa aku lebih dahulu, seorang mancari buku seorang kira jumlah kessemuanya. 

Selesai urusan buku, aku membawa Adli dan Arrizqi ke kedai gunting rambut, rezeki kedai gunting lengang sahaja pada waktu kami sampai. Mereka berdua serentak memotong rambut kerana ada dua orang tukang gunting. Adli yang entah gaya apa. Arrizqi gaya dak sekolah sahaja. Maleh aku.

Siap mereka memotong rambut kita kembali ke depan sekolah, aku menghantar kereta untuk dicuci setelah diminta oleh tuan asben sebelum keluar tadi. Tinggal sahaja kereta kita bertiga pergi makan, nasi ayam dua, ABC satu kongsi bertiga. Alhamdulillah, siap kita makan kereta juga selesai dicuci kasi berkilat. Mija akan bawa pulang Alza dengan daktiga selepas menghantar aku dan tuan asben esok hari. 

Balik sahaja rumah, mula menjahit lencana sekolah pada tudung sekolah baru Auni, dia minta aku jahitkan kerana tidak mahu senget, si Auni ni kidal dan boyish sikit, melukis boleh menjahit jangan. Arrizqi juga minta bukakan jahitan bawah seluar sekolahnya, dia telah meninggi. Sehelai je aku buat, sehelai lagi Arrizqi buat sendiri.

Kali pertama, tahun ini aku terlepas untuk menghantar anak masuk awal persekolahan, malahan kena pula minta pertolongan jiran dan teman terdekat untuk hantar dan ambil daktiga pergi pulang sekolah, terima kasih teman-teman terbaik saya, saya sungguh hargainya. Hanya  rahmat dan kasih sayang ALLAH jua membalas jasa baik kalian. 

May ALLAH ease everything for us.

Chaotic Duo.

Mandikan DakAlza.

Dah siap jahit, eh dia terbelit gitu ea? memang buka semula kekdahnya.

Kita doakan semoga semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNYA. Doakan kita selamat pergi dan selamat kembali semula. Ada rezeki kita jumpa nanti-nanti. Tolong tengok-tengokkan bloghijau ye, usah lupakan kita. Love!

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition. 

Sunday, 4 January 2026

Selamat Tahun Baru.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

Balik Johor 30hb Disember 2025.

Birthday tuan asben 31hb Disember 2025.

Selamat Tahun Baru untuk semua 1hb Januari 2026.

Masih di Johor sehingga 5hb Januari.

Semoga semuanya baik-baik sahaja ye, sehingga berjumpa lagi nanti-nanti.

 - الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ 
All praises are for Allah in every condition.